RESIPI KUIH BINGKA PISANG

rsz_kbp
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Kat rumah che mat ni kadang2 pening juga kepala, kalau masa stok makanan banyak, sampai tatau apa nak buat. Contohnya macam pisang, ada orang beri dan ada juga yang sendiri punya (maksudnya sendiri punya pokok pisang yea, bukan sendiri punya pisang!), kalau masa banyak sampai tatau nak bikin apa. Dah nama pun rezeki yea dak, takkan kita nak tolak. Biasa kalau dah banyak sangat, che mat ambil isi dia, kemudian bekukan dalam freezer, bila2 nak bikin cekodok atau kuih tinggal keluarkan, biar sampai hilang suhu sejuk dia dan bolehlah kita jadikan bahan cemilan. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi mudah dan rasa dia in sha Allah sedap...

rsz_kbp1
Pernah makan kuih bingka pisang atau kuih bakar pisang? Resipi ini che mat pernah buat sekali, banyak tahun dulu. Dan teman2 blogger masakan ketika itu, rata2 telah mencubanya. Buatnya memang mudah dan bahan2 juga tak banyak. Kali ni che mat kurangkan sukatan gula dia, tau sajalah pisang sendiri dah manis, kau taruk lagi gula, mau manis berganda. Bingka pisang sedap dimakan sejuk. Kalau nak makan esok, buat malam ni, kalau suka, boleh dinginkan dalam peti sejuk, lagi sedap. Nak memotongnya juga lebih mudah, kemas ajer...Kalau dah sedia, jomm kita semak resipi kat bawah ni...

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram pisang yang telah dibuang kulitnya (che mat guna pisang lemak manis)
1 cawan tepung gandum
1/3 cawan gula perang (soft brown sugar @ gula pasir biasa)
1 cawan santan ( che mat guna 200ml santan kotak + 50 ml air)
1 cawan susu sejat
2 camca besar mentega, dicairkan dan biar sejuk
1/4 camca teh garam
1 biji telur
1 camca teh esen vanilla (atau boleh guna beberapa titik esen pisang)
Bijan secukupnya, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 180C. Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega. Alas tin dengan aluminium foil dan lenser juga permukaan aluminium foil tadi dengan mentega. Masukkan pisang dalam mangkuk besar. Lecek pisang hingga hancur dan ketepikan.
  2. Satukan susu cair, santan, mentega, garam, gula perang dan telur ke dalam mangkuk. Kacau rata dengan whisk hingga gula hancur. Masukkan tepung gandum dan kacau hingga rata dan tepung tidak berbintil2. Kemudian ditapis (kalau nak cepat, boleh kisar bahan2 tadi dengan blender).
  3. Kemudian masukkan (no.3) ke dalam mangkuk berisi pisang lecek tadi. Tambah esen vanilla atau esen pisang, gaul rata dengan spatula. Tuang ke dalam tin yang telah disediakan. Tabur atasnya dengan bijan hingga rata. Masukkan ke dalam oven yang telah dipanaskan dan bakar selama 1 jam atau hingga masak dan permukaannya keperangan (nak kerak boleh tambah waktu membakar, tapi pastikan jangan sampai rentung).
  4. Keluarkan dari oven. Biarkan kuih bingka suam dan boleh keluarkan dari loyang. Biar sejuk baru dipotong dan boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi.
CATATAN MAT GEBU :- Selapas 50 minit membakar, periksa kuih bingka dengan mencucuk bahagian tengahnya dengan lidi sate bersih, Jika keluarnya masih ada sedikit adunan yang melekat, itu tanda kuih hampir masak dan tambah masa membakar 6 - 7 minit lagi. Masa membakar, kuih bingka akan naik tinggi terutama di bahagian tengahnya, ini normal. Bila kuih cukup masak dan mula sejuk, ia akan kembali kepada bentuk asal....Selamat mencuba!!

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.