RESIPI KARI DAGING SAMA REBUNG MADU

rsz_krsd
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan satu resipi yang dah lama che mat tak masak, iaitu kari daging sama rebung madu. Rebung madu ni ada masa dia akan keluar banyak, ada kala tak muncul2. Banyak pokok buluh madu kat kediaman che mat telah dibuang atas faktor kekangan masa nak mengerjakannya. Kalau dibiarkan pokok akan merimbun besar dan risau jika ia menjadi sarang ular. Tapi kami masih ada tinggalkan beberapa pokok lagi. Rebung madu lebih popular di negeri2 belah utara Malaysia. Kalau kami di Johor, rebung buluh betong menjadi pilihan dan ia juga sesuai dijeruk. Resipi che mat ini mudah, macam resipi kari daging biasa cuma kalau selalu kita taruk kentang dan tomato, tapi kali ni tukar dengan rebung madu. Rebung madu yang telah siap direbus boleh beli dipasaraya2 atau di pasar tani (sesetengah tempat, kat pasar biasa pun ada jual). Daging che mat guna belen daging korban tempoh hari. Jika nak mencuba, resipi che mat tuliskan di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram daging lembu, hiris dan cuci bersih, toskan*
1 inci halia, hiris*
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 camca teh garam*
Air secukupnya*(*rebus hingga empuk dan asingkan air rebusannya)
Rebung madu yang telah siap direbus secukupnya (yang ni che mat agak2 saja, dalam 1 mangkuk saiz sedang)
500 ml pati santan
1/3 cawan cili kisar
3 camca besar rempah kari
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
1/2 camca besar minyak sapi
Air panas secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 batang serai, dihiris
1 tangkai daun kari, dilurut

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
3 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
3 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), masukkan minyak sapi dan biar minyak sapi cair. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum dan layu. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Sementara itu satukan rempah kari dengan bahan2 kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes. Masukkan ke dalam periuk, kacau dan masak hingga rempah garing dan naik minyak (tambah sedikit lagi minyak masak jika perlu).
  2. Masukkan daging, kacau rata dan tuang air rebusannya. Tambah rebung dan biarkan mendidih. Masukkan asam gelugor dan jika perlu tambah sedikit air panas. Masak sekejap dengan api sederhana. Tuang pati santan dan kacau rata. Biar mendidih dengan api kecil sambil dikacau sentiasa.
  3. Masukkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Biarkan mendidih perlahan 10 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman kegemaran anda...Selamat mencuba!!

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.