Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat rebus ketupat segera NONA atas permintaan Bak dan dalam masa sama ada juga permintaan kurma ayam. Che mat masak seringkas yang boleh dan kali ni gunakan susu sejat. Biasanya atas permintaan Bak, che mat gunakan santan. Rempah kurma anda boleh guna apa2 jenama yang anda suka, samada Baba's, Adabi dan lain2. Tapi kali ni che mat guna rempah kurma timbang yang didatangkan khas dari Batu Pahat, dari kedai Syarikat Ismail Yahya yang terkenal di bandar Batu Pahat. Kedai ini menjadi tumpuan peniaga2 makanan untuk membeli rempah ratus sebagai ramuan masakan mereka. Rempah dibancuh dari bahan2 terpilih berdasarkan pilihan menu apa yang anda ingin masak.
Masakan kurma kali ni che mat masukkan telur rebus dan kentang. Disebabkan Bak tidak boleh makan pedas maka che mat masukkan 2 biji cili hijau yang dikisar halus. Untuk menambah rasa, sedikit kismis dikisar bersama bahan2 lain dan che mat tambah juga sedikit gula melaka. Jika anda suka masakan kurma yang cair sedikit, jangan masak terlalu lama. Disebabkan che mat makan sama ketupat, memang perlukan kuah kurma yang agak pekat sedikit. Ada yang masukkan kacang badam kisar ke dalam masakan kurma untuk mendapat rasa lemak dan ini juga boleh menjadikan kuah masak kurma menjadi pekat. Rahsia masakan kurma yang sedap ialah dengan menambah sedikit minyak sapi dalam minyak tumisan. Nak mencuba?...ok, che mat tuliskan resipi seperti di bawah ini..
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam dikerat 12 atau ikut suka, cuci bersih dan toskan
5 biji kentang, kupas dan belah 2 setiap 1, rendam
5 biji telur rebus
4 camca besar penuh rempah kurma
1/2 biji buah pala, disagat halus
1/2 cawan susu sejat (susu cair)
1 camca teh penuh gula melaka
1 1/2 camca besar minyak sapi
1/2 biji limau nipis, perah jusnya
Garam secukup rasa
1 biji cili merah, belah 2
1 biji cili hijau, belah 2
1 pokok daun ketumbar, kerat kasar
Air secukupnya
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 biji cili hiijau
2 camca besar kismis, rendam dalam sedikit air panas
1 biji tomato yang masak ranum (pilih yang warna merah)
BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
1 helai daun pandan, disimpul
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih
CARA MEMBUATNYA :-)
- Kentang direbus hingga empuk. Tos dan sejukkan, kemudian goreng hingga kekuningan, angkat dan ketepikan. Kemudian goreng pula telur rebus hingga kekuningan, angkat dan ketepikan. Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kurma dan parutan biji buah pala, kacau rata hingga menjadi pes rempah. Tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan.
- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan), masukkan minyak sapi. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum dan bawang layu. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa.
- Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam), kacau dan biar hingga mendidih. Masukkan susu cair, jus limau nipis, gula melaka dan garam secukup rasa. Kacau dan masak dengan api kecil hingga ayam masak.
- Tambah kentang dan telur rebus goreng. Kacau perlahan dan masak hingga pekat (kalau suka berkuah, boleh tambah sedikit air panas). Akhir sekali masukkan hirisan daun ketumbar, cili merah dan cili hijau. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama ketupat atau nasi. Jika suka boleh tabur hirisan daun sup dan bawang goreng sebelum dihidangkan....Selamat mencuba!
3 Comments
tgk masakan che mat memang terus lapar....
ReplyDeleteSalm Che Mat,
ReplyDeleteBoleh tanya rempah kurma, Che Mat guna jenama apa? ke yang timbang?
@umi's cup cake - w'salam...che mat guna yang timbang, tapi kalau yang paket che mat suka guna rempah kurma Baba's...
ReplyDelete