rsz_asam_pedas_ikan_sembilang
Assalammualaikum, salam Jumaat. Entri seperti biasa. Asam pedas lagi, yang memang tanpa jemu punya lah. Kali ini asam pedas ikan sembilang yang segar. Masa mat beli ia masih hidup lagi (beli semalam), harga agak tinggi juga, mungkin sebab ia hidup, sekilo RM 24.. tapi yang mat beli ni dalam Rm 14 macam tu. Ikan segar dah semestinya hasil masakan kita lebih sedap dan nyaman. Pada mat apa lah sangat, bukan nak beli hari2, dan kemungkinan nak jumpa yang segar dan masih hidup pun tak selalu, kecuali anda kaki pancing. Kebiasaan, kalau masak ikan sembilang daun kesom antara herba yang wajib dicampurkan sekali, selain mengenakkan kuah, menambah aroma, ia juga tak sikit banyak dapat menghilangkan bau ke 'ikan' nan si sembilang tadi. Kalau orang tanya, che mat tak jemu ke asyik2 asam pedas je?..Of coz tidak, kalau jemu takkan ku masak kerap menu asam pedas...Bersedia untuk resipi, ok jommm!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan sembilang segar (kurang lebih 1 kati atau 600 gram)
2 biji terung
1 genggam daun kesom
1 3/4 senduk nasi cili kisar
1/2 camca besar pes asam jawa
1/4 camca teh halba
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sembilang dikerat kepada beberapa bahagian kemudiab cuci bersih dan perap dengan limau nipis dan sedikit garam selama 10 minit, cuci bersih dan toskan. Terung dibelah dua, kemudian kerat 2 setiap belahan dan direndam. Ketepikan..
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan halba dan cili kisar, tumis hingga cili garing. Guna api sederhana dan kacau sentiasa. Tambah pes asam jawa, kacau dan tuang air secukupnya (anggaran 3 cawan). Biar mendidih.
  3. Masukkan ikan dan daun kesom, tambah juga garam secukup rasa dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api sederhana, masukkan terung dan masak hingga terung lembut dan ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk-pauk lain.