BEN ASHAARI

Sunday, November 5, 2017

RESIPI MI KARI

rsz_mkcm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni tiba2 mengidam mi kari, dah macam pembawak budak pulak che mat tu kan. Sekarang ni dasatlah, apa2 orang sebut, contohnya betik masak air atau bening, terus tu jam jugak tekak nak makan bening betik, apa punya 'saka' pun tatau lah. Macam mi kari yang che mat bikin ni, tau dak, jam 11+ pagi tadi tiba2 nak makan mi kari. Pada hal dah siap masak untuk makan tengah hari. Disebabkan nak sangat buat, kita gunakan apa yang ada dalam peti sejuk, kiranya mi kari bidan terjun ajer lah, janji ada rupa mi kari. Che mat ada belen dada ayam saiz besar, ada pula seketul rangka ayam dan sedikit sawi jepun, taugeh dan ada 2 keping tauhu 'pok' saiz besar yang tersimpan dalam freezer. Alhamdulillah, kira ok lah bahan2 untuk mi kari, walaupun ringkas. Mi dia che mat guna mi lidi (itu saja yang ada kat rumah), tapi perlu direbus dulu sebelum boleh dimakan dengan kuah kari.

rsz_mkcm1
Kalau orang tanya, resipi mi kari che mat ni berapa orang boleh makan. Hurmm masalah juga sebab kita kat rumah ni cuma ada 3 orang dan buat pun tak banyak. Tapi resipi yang ni boleh makan untuk 5 - 6 orang, bergantung pada keadaan masa makan tu, maksudnya tengah lapar atau tidak. Untuk kuah mi kari, che mat guna air rebusan tulang ayam dan bahagian dada ayam tu direbus sekali dan digunakan sebagai bahan tambahan semasa menghidang. Kalau suka nak tambah kerang atau udang, silakan, atau ada yang suka makan sama sambal pun boleh. Ikut selera masing2...Resipi seperti di bawah ini....

BAHAN-BAHAN KUAH MI KARI :-)
1 keping dada ayam saiz besar, cuci bersih dan cucuk dengan garfu*
1 rangka ayam atau boleh guna 4 - 5 kaki ayam, cuci bersih dan toskan*
1 inci halia, hiris nipis*
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 camca teh garam*
2 biji keledek oren saiz sederhana (atau boleh ganti dengan 2 biji kentang) kupas, potong dadu besar2 dan rendam
2 camca besar penuh rempah kari daging Baba's
2 camca besar cili kisar
2 camca besar cili sos
1 kiub pati ayam MAGGI (optinal)
2 keping tauhu pok saiz besar, potong kecil
1 bungkus bebola ikan/fishcake(che mat guna jenama Mushroom), dihiris
400 ml santan (kalau guna santan kotak yang 200ml tu, tambah air jadikan 400 ml)
Air rebusan ayam secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
3 biji bawang merah kecil. hiris
2 ulas bawang putih, dihiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
4 biji buah keras, dihiris
1 batang serai, dihiris
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya (che mat guna mi lidi kering, rebus hingga lembut, tos dan cuci bawah air paip untuk membuang kanjinya, toskan)
Telur rebus secukupnya, belah 2 setiap 1
Hirisan daun sup/daun bawang
Hirisan cili hijau dan cili merah
Limau kasturi, dibelah 2 setiap 1
Sawi jepun secukupnya, dicelur
Taugeh secukupnya, dibersihkan dan celur sekejap
Bawang goreng untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH MI KARI :- Masukkan semua bahan2 bertanda (*) ke dalam periuk dan masukkan juga keledek, tuang air secukupnya (anggaran 1.5 liter) dan rebus hingga isi ayam empuk, keluarkan isi ayam dan asingkan. Keluarkan juga rangka ayam tadi. Keluarkan keledek yang telah empuk, masukkan dalam satu bekas dan lecek halus. Isi ayam dicarik2 dan ketepikan. Air rebusan ayam ditapis dan ketepikan. Sementara itu satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau hingga menjadi pes rempah. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum. Tambah cili kisar. Kacau rata dan masak hingga garing. Tambah pes rempah dan sos cili, masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang air rebusan ayam, kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan santan dan kiub pati ayam Maggi (jika guna). Kacau rata dan tambah keledek lecek, fishcake atau fish ball dan juga tauhu pok. Perasakan dengan garam secukupnya. Kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga mendidih sambil dikacau selalu. Biarkan mendidih perlahan selama 8 - 10 minit. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MI KARI :- Masukkan mi secukupnya dalam mangkuk sesuai. Tuang secukupnya kuah kari bersama isi2nya. Hiaskan dengan sawi celur, taugeh, hirisan cili hijau/cili merah,  hirisan daun sup/daun bawang, bawang goreng dan telur rebus. Akhir sekali perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas. Selamat mencuba!!

No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.