BEN ASHAARI

Tuesday, April 25, 2017

RESIPI RENDANG AYAM CILIPADI

rsz_racp
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan satu resipi rendang ayam yang boleh dikatakan mudah dimasak. Tak perlu tumis2, semua main lebur dalam kuali, dan masak sampai kering. Tapi rendang ayam ini memang pedas, cili padi dia che mat guna dalam satu mangkuk (kurang lebih 2 genggam). Che mat guna ayam daging saja, tapi kalau dapat ayam kampung, lagi sedap. Nampak tak ada jelmaan kacang panjang kat rendang tu? Ni semua gara2 tu hari, masa masak gulai labu, entah macam mana boleh tercicir dua tangkai kacang panjang, dari kecut, elok masukkan ajer dalam rendang. Seperti biasa, rendang boleh digandingkan dengan macam2 makanan utama seperti nasi, ketupat, lemang, roti dan sebagainya. Kalau nak mencuba, meh che mat tuliskan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam saiz sederhana (kurang lebih 1.2 kg)
2 - 3 tangkai kacang panjang, kerat pendek (optional)
1 keping asam gelugor
3 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit, hiris halus
1 liter santan pekat
1 camca besar gula melaka
2 camca besar kerisik
Garam secukup rasa
Sedikit air panas, jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
12 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 mangkuk cili padi merah (kurang lebih 2 genggam)
2 inci kunyit hidup
1 inci halia
1 inci lengkuas
4 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali, tambah ayam dan gaul rata. Hidupkan api dan masak sekejap hingga ayam kecut. Tuang santan, masukkan asam gelugor dan sedikit garam. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah sedikit air panas jika perlu.
  2. Kecilkan api dan terus memasak hingga pekat. Tambah kerisik, daun limau purut, kacang panjang dan gula melaka. Kacau rata dan masak hingga rendang kering. Rasa dan tambah garam jika perlu. Akhir sekali masukkan daun kunyit, gaul rata dan masak sekejap, Rasa lagi dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, ketupat, lemang atau roti...Selamat mencuba!

1 comment:

Azura Aziz said...

wah, lamanya tak masak rendang ayam ;)

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.