BEN ASHAARI

Monday, August 15, 2016

RESIPI KAMBING MASAK MERAH

rsz_kmm
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat masak kambing. Tempoh hari ada teman FB yang pergi kenduri kawin di Johor, dan antara hidangan yang ada ialah kambing masak merah. Tak pasal2 aku pulak yang termengidam nak makan kambing masak merah. Maka pagi tadi bermulalah operasi memasak. Resipi nampak macam banyak bahan2nya, tapi cara memasak dia amat mudah. Kalau anda rajin, boleh masak nasi minyak untuk digandingkan dengan menu kambing masak merah. Che mat sebab tak rajin atau senang cerita - malas, jadi makan sama nasi putih saja, itu pun sedap bangett. Masak merah ni che mat lebihkan sedikit kuah dia untuk dicicah dengan roti.

rsz_kmm1
Untuk resipi ini penggunaan daging kambing bertulang lebih kurang 1kg lebih. Kalau anda tak makan kambing, boleh guna daging lembu atau ayam. Daging kambing (yang bertulang) anda perlu rebus dahulu, hingga dagingnya empuk. Che mat rebus guna periuk tekanan atau pressure cooker, mengambil masa kurang lebih 20 minit, tapi semuanya bergantung pada periuk tekanan masing2, nasihat che mat bagi yang baru2 nak guna periuk tekanan, sila baca buku panduan dia terlebih dahulu dan langkah2 keselamatan harus dititik beratkan, yelah kang main belasak ajer, sekali meletop, ada pulak periuk terbang sampai kat rumah jiran sebelah. Tapi setakat ni alhamdulillah che mat dah guna lebih 20 tahun, semuanya ok, janji jangan lalai. Kalau teringin nak mencuba, boleh rujuk resipi seperti dibawah ini....

BAHAN - BAHANNYA :-)
1+ kg daging kambing (yang bertulang), dipotong kecil
1 camca besar penuh tepung gandum
3 biji limau kasturi, perah jusnya
1 inci halia, hiris
5 ulas bawang putih, diketuk (tak perlu dibuang kulit)
1 camca teh garam
2 batang serai, diketuk
1 pokok daun ketumbar, cuci dan toskan
1 genggam kacang gajus, goreng hingga perang dan toskan
1 genggam kismis kuning, cuci dan toskan
1 cawan susu sejat
3 camca besar pati oren Sunquick
1 tin kecil tomato puree
1/4 cawan sos tomato
1/3 cawan sos cili
1/3 cawan cili kisar (nak pedas taruk lebih)
2 camca besar gula melaka
Garam dan gula secukup rasa
1 camca besar penuh minyak sapi
1 batang kayu manis*
2 kuntum bunga lawang*
4 biji buah pelaga*
10 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis)
Bawang goreng, untuk hiasan
Kacang pis, untuk hiasan
Daun pudina, untuk hiasan

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
15 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
2 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Daging kambing dicuci, toskan. Kemudian gaul dengan tepung gandum dan jus limau kasturi hingga rata. Perap 20 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan. Masukkan daging kambing ke dalam periuk, tuang air secukupnya, tambah halia, bawang putih dan 1 camca teh garam, rebus hingga daging kambing empuk. Asingkan daging kambing dan air rebusannya ditapis. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan), masukkan minyak sapi. Masukkan rempah tumis dan serai, masak hingga wangi. Kemudian masukkan cili kisar, masak sekejap. Tambahkan tomato puree dan bahan2 kisar halus. Kacau rata dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan tomato sos, cili sos dan juga kismis. Kacau rata dan tuang air rebusan daging kambing (anggaran 2 cawan). Biarkan mendidih, masukkan daging kambing rebus, kacau rata. Masukkan susu sejat, gula melaka dan pati oren sunqiuk, kacau lagi.
  4. Masak hingga pekat, perasakan dengan garam secukupnya dan jika suka masak merah yang agak manis, boleh tambah sedikit gula pasir. Akhir sekali masukkan daun ketumbar (dipotong kasar) dan gajus goreng. Kacau rata dan masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur kacang pis, bawang goreng dan daun pudina sebelum dihidangkan....Selamat mencuba!!

3 comments:

Seri Kandi Tanah Jauhar said...

ni mak akak selalu masak.. bila gigit daging kambing yg lerai dari tulang.. pehhh.. nak pengsan.. sedap giler!

Mazlan Othman said...

Wkmsakam.
Pebret makan masak2 kambing ni.

ZULHILMI TEMPOYAK said...

serius nk cuba weekend ni!

menggeletar tgok..

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.