BEN ASHAARI

Saturday, April 16, 2016

NASI LEMAK DAN AYAM GORENG REMPAH

rsz_nlmg (1)
Assalammualaikum, salam Ahad sahabat2 alam maya semua. Hari ni che mat tak masak, maksudnya tak masak tengah hari. Semalam ada permintaan nasi lemak, jadi che mat masak nasi lemak lebih sikit, tak perlu masak untuk makan tengah hari. Nasi lemak ini atas permintaan Bak, sebenarnya bak tak mintak, tapi dia bagi 'hint', kata lama tak makan nasi lemak. Jadi kita faham2 sajalah maksudnya. Memasak nasi lemak bukanlah susah, malah ini antara hidangan nasi paling senang nak masak. Dan bagi yang kurang arif pasal sukatan santan untuk memasak nasi lemak, anda guna saja beras basmathi. Nisbah beras dengan santan atau cecair ialah 1 bahagian beras basmathi : 1 1/2 bahagian air atau santan, contohnya anda guna 1 cawan beras basmathi, santan atau cecair guna 1 1/2 cawan. Kalau nak guna beras siam atau beras biasa pun tak salah, yang tu anda guna sukatan santan seperti anda memasak nasi putih..

rsz_nlmg1 (1)
Seperti kita tau atau lihat, nasi lemak secara standardnya perlu ada beberapa bahan sampingan yang menjadikan ia 'nasi lemak'. Sambal paling asas dan wajib ada, diikuti timun dan telur. Tiga benda ini kalau takde, bukan nasi lemak namanya. Kemudian ditambah pulak kacang tanah goreng, ikan bilis goreng dan ayam goreng berempah. Ada juga yang gemar nasi lemak mereka dimakan bersama kangkung celur dan ikan selar kuning goreng kunyit atau udang goreng kunyit. Sejak2 ni nasi lemak mula hilang 'identiti', bila lauk pauknya bertambah seperti rendang, paru dan sebagainya. Macam nasi campur jadinya. Walaupun pada pendapat che mat jika terlalu banyak lauk pauk untuk nasi lemak, mencacatkan tapi itu semua terpulang pada individu, selera masing2 tak siapa melarang anda nak makan dengan apa atau cara bagaimana....

rsz_nlmg2
Disebabkan Bak lebih gemar ayam goreng rempah, terutamanya bahagian kepak, maka malam semalam che mat perapkan kepak ayam dengan rempah ratus yang che mat tumbuk sendiri, kemudian pagi ni setelah selesai semua masak nasi lemak, bikin sambal, goreng ikan bilis dan kacang, baru goreng ayam berempah. Ayam tu goreng akhir sebab ia lebih enak dimakan ketika panas bersama nasi lemak. Resipi memang mudah, che mat taruk resipi nasi lemak, sambal tumis ikan bilis dan ayam goreng rempah...3 resipi dalam 1 entri...perghh..kan untung tu....Jommm masak!!

RESIPI NASI LEMAK.....

BAHAN - BAHANNYA :-)
4 cawan beras basmathi, cuci dan rendam 30 minit
6 cawan santan segar
3 ulas bawang putih, diketuk
1 inci halia, dihiris
1 biji bawang besar, belah 4
2 helai daun pandan, disimpul
Garam secukup rasa

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Hirisan timun
Telur rebus/telur mata/telur dadar
Ikan bilis goreng
Kacang tanah goreng
Ayam goreng rempah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan beras dan masukkan ke dalam periuk nasi elektrik @ rice cooker. Tuang santan, masukkan bawang putih, bawang besar, halia, daun pandan dan 1 camca teh garam. Kacau hingga rata.
  2. Masak nasi seperti anda memasak nasi biasa (nasi putih). Bila nasi kering (lampu pada rice cooker bertukar kepada 'warm'), biarkan 5 minit, kemudian gemburkan nasi lemak menggunakan chop stick. Matikan suis rice cooker (untuk mengelakkan nasi berkerak) dan biarkan sementara kita sediakan bahan2 sampingan yang lain.

RESIPI SAMBAL TUMIS IKAN BILIS..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 cawan cili kisar
1/4 cawan jus asam jawa
1 biji bawang besar, hiris kasar
1 genggan ikan bilis, dibersihkan dan direndam sekejap, toskan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci belacan, dibakar (kalau tak boleh makan belacan, tak perlu taruk)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga wangi. Masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga garing dan naik minyak. Tuang jus asam jawa (tuang 1/2 dulu dari 1/4 cawan tadi). Kacau dan masukkan garam secukup rasa dan gula (anggaran 1 camca besar). Kacau rata.
  2. Masukkan ikan bilis dan hirisan bawang besar. Gaul rata dan masak dengan api sederhana hingga sambal pekat sedikit. Rasa dan jika kurang asam, tambah sedikti lagi jus asam jawa, begitu juga garam dan gula. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi lemak..

RESIPI AYAM GORENG REMPAH....

BAHAN - BAHANNYA :-)
10 kepak ayam saiz sederhana
1 biji telur, dipukul sedikit
2 camca besar tepung beras
5 camca besar pati santan (che mat guna santan kotak)
1 camca besar rata serbuk kunyit
1 camca teh penuh garam
1 camca teh gula perang (atau gula pasir)
Minyak untuk goreng terendam

BAHAN - BAHAN PERAP :-)
2 camca besar ketumbar biji*
1 camca teh jintan halus (jintan putih)*
1 camca teh jintan kasar (jintan manis)*(*digoreng tanpa minya hingga wangi)
4 ulas bawang putih
1/2 inci halia
2 batang serai, dihiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kepak ayam dicuci bersih dan toskan. Tumbuk halus bahan2 bertanda (*). Kemudian tumbuk pula bawang, halia dan serai hingga halus. Masukkan kepak ayam ke dalam mangkuk besar. Masukkan bahan2 perap (yang ditumbuk tadi). gula perang, garam, pati santan dan serbuk kunyit. Gaul hingga semua rata dan perap 3 - 4 jam. Seelok2nya semalaman, simpan dalam peti sejuk.
  2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Keluarkan kepak ayam dari peti sejuk. Masukkan telur dan gaul. Tambah tepung beras dan gaul lagi hingga semua rata. Goreng dengan api sederhana hingga kepak ayam kuning keemasan. Balik2kan agar masak rata. Angkat dan toskan minyaknya. Boleh hidangkan bersama nasi lemak...Selamat mencuba!!

4 comments:

timm bill said...

trliur tgk nasi lemak mlm2 berhujan ni..

nadia kasim said...

Mat gebu..resepi awk yg byk2 ni xboleh dwload di Google play store ke?

nadia kasim said...

Resepi awk yg byk2 ni xboleh download di Google play store ke?

YNA said...

ok dah ada idea nak masak apa utk anak2 weekend ni. masak pagi, combo sampai ke malam. hehe tq chemat

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.