BEN ASHAARI

Sunday, March 27, 2016

RESIPI LAKSA ASAM

rsz_la
Assalammualaikum, salam hujung minggu semua. Hari ni che mat bikin laksa asam, satu resipi mudah, senang dan sihat. Tanpa minyak dan yang penting ada ulam-ulaman segar. Seperti yang anda tau, untuk mendapat kuah laksa yang sedap, ikan memainkan peranan penting. Mesti ikan yang segar dan belacan juga, kalau belacan yang anda gunakan sedap, maka bertambah enaklah kuah laksa asam. Ada yang suka tambah serbuk perasa dalam kuah laksa asam, tapi che mat cuma gunakan sedikit gula, tapi terpulang pada individu, nak taruk boleh, tak taruk pun boleh. Biasanya untuk laksa asam, ikan kembong dan ikan selayang (ada yang panggil ikan sardine), digunakan. Tapi kalau tempat anda takde ikan tersebut, boleh guna ikan tongkol atau tenggiri sebagai ganti, tapi rasa sudah semestinya tak sama dengan ikan kembong atau selayang. Resipi macam ni memang sesuai dimakan ketika cuaca panas seperti sekarang. Anda ingin mencuba? Boleh semak resipi dibawah ini...Jommm...

BAHAN - BAHAN KUAH LAKSA ASAM :-)
7 ekor ikan selayang @ ikan sardine, saiz sederhana
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
4 - 5 keping asam gelugor
2 biji bawang besar*
2 inci belacan*(*dikisar halus)
3 - 4 camca besar cili kisar (boleh tambah atau kurangkan)
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa (boleh guna serbuk perasa, jika suka)

BAHAN - BAHAN SAMPINGAN :-)
Mi laksa secukupnya (kalau guna yang kering, rebus hingga lembut, cuci bawah air paip dan toskan)
Hirisan bawang besar
Hirisan daun salad
Hirisan bunga kantan
Hirisan daun kesom
Hirisan cili merah/cili hijau
Telur rebus secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Petis @ otak udang, jika suka (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA ASAM :- Ikan disiang, cuci bersih. Kemudian rebus hingga isi ikan masak. Asingkan ikan dari air rebusan, biar sejuk sedikit, kemudian asingkan isi ikan dari tulangnya, air rebusan ikan disimpan. Kisar tulang ikan dengan sedikit air hingga halus, kemudian ditapis. Isi ikan ditumbuk hingga hancur. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, masukkan air rebusan ikan (tapis dahulu), air dari tulang ikan yang dikisar tadi, bahan2 kisar halus, cili kisar, isi ikan dan juga asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga menggelegak. Tambah air secukupnya dan renihkan 25minit dengan api kecil. Masukkan bunga kantan dan daun kesom. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (kalau anda guna serbuk perasa, tak perlu masukkan gula). Kacau dan masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MENGHIDANG LAKSA ASAM :- Masukkan mi laksa secukupnya dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa mengikut keperluan. Taruk hirisan daun salad, hirisan bawang besar, hirisan cili merah/cili hijau, hirisan bunga kantan, hirisan daun kesom, 1/2 bahagian telur rebus dan juga limau kasturi. Jika suka anda boleh tambah sedikit petis @ otak udang sebelum dihidangkan...Selamat mencuba!!..

No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.