SUP KAMBING ALA MAMAK

rsz_skm
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bikin sup kambing ala mamak. Plan asal nak bikin laksa asam, yelah cuaca panas2 ni kalau masakan yang bersantan, rasa tak boleh nak masuk dah, muak. Tapi che mat masak ikut permintaan, kalau ada yang nak, kita 'on' ajer. Kalau untuk diri sendiri, pandai2 leer masak yang lain. Contohnya selain che mat masak sup kambing, untuk diri sendiri ada menu asam rebus ikan tongkol. Untuk Bak pulak dia nak asam tumis terung taruk ikan masin pari. Menu2 simple macam tu in sha Allah tak jadi masalah nak masak. Untuk sup kambing ni che mat guna kurang lebih 1.2 kg dan menggunakan rempah sup khas dari Syarikat Ismail Yahya, Batu Pahat, Johor. Tapi kalau takde, anda boleh guna rempah sup + rempah kurma atau takde rempa kurma, boleh guna rempah sup + rempah briyani. Boleh guna sebarang jenama yang anda suka, tapi kalau che mat suka jenama Baba's. Boleh tambah kentang jika suka. Kebetulan ada lobak merah, jadi masukkan sajala dari dia kecot macam tu saja. Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1.2 KG daging kambing (che mat guna bahagian peha), dipotong
1 batang kayu manis*
2 kuntum bunga lawang*
4 biji buah pelaga*
7 kuntum bunga cengkih*(*rempah tumis)
1 batang lobak merah, dipotong berbaji, rendam
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 helai daun pandan, disimpul
1 genggam bawang goreng
2 batang serai, diketuk
1/2 camca besar lada hitam, tumbuk halus
2 camca besar rempah sup*
1 1/2 camca besar penuh rempah kurma*
1/2 cawan air*(*dibancuh hingga menjadi pes rempah)
5 biji bawang merah kecil. hiris
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun sup/daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
10 biji cili padi (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Gaul daging kambing dengan 1 camca besar tepung gandum hingga rata. Perap 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Masukkan ke dalam periuk bersama2 daun pandan, serai, rempah tumis, lada hitam tumbuk, daun sup yang dikerat kasar dan air secukupnya. Kacau dan masak hingga mendidih.
  2. Sementara itu, panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Goreng bawang merah hiris hingga perang, pastikan jangan hangus. Kemudian masukkan bahan2 kisar halus dan kacau rata. Tambah pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Kemudian masukkan rempah yang ditumis tadi ke dalam periuk berisi daging kambing. Kacau rata dan terus merebus hingga daging kambing empuk. Masukkan lobak merah (jika guna), kacau dan jika perlu tambah sedikit air panas. Masak hingga lobak merah empuk. Perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  4. Cedok sup kambing ala mamak ke dalam mangkuk sesuai, tabur hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Hidangkan bersama roti atau nasi. Kalau nak makan dengan ketupat pun boleh.....Selamat mencuba!!.

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.