BEN ASHAARI

Sunday, March 16, 2014

TIBA - TIBA AKU MENGIDAM KARIPAP....

rsz_karipapp2

Assalammualaikum, salam semua. Bertemu dipetang Ahad. Hari ini bumi Sedenak dibasahi hujan dan hingga sekarang cuaca masih mendung, sujud syukur pada mu ya Allah, atas rahmat yang dikau turunkan hari ini setelah hampir 3 bulan tanah Sedenak ketandusan, alhamdulillah. Dan che mat hari ni memasak dengan begitu selesa. Mula memang nak buat entri makan2, tapi menu amat biasa sangat dan satu lagi ia ulang tayang, jadi tak perlu dijadikan entri pun tak mengapa. Cuma masak asam pedas ikan senangin, bening bayam campur tempe, ikan terubuk pekasam goreng, telur dadar dan sambal sotong kembang baki menu semalam. Kan, biasa2 sangat, kalau buat entri pun macam nak tak nak aje orang masuk, dah selalu nauu.. Maka petang tadi dengan tahap rajin2 malas che mat buat karipap untuk minum petang...

rsz_karipapp1

Karipap yang che mat buat ni kan macam tak senonoh sangat, rupa pun tah macam hapa, tak comey langsung. Tapi kenapa che mat jadikan ia sebagai entri blog?...Sebab ia sedap okehh....Sebab terlalu rajin, che mat buat betul2 10 biji karipap, hahaha, adehh, ada baki doh dengan inti ku simpan dalam peti sejuk. Kalau malam nanti tak boleh tidur, baru buat, tu pun kalau rajin, kalau tak, duduk diam2 lah yea dalam peti sejuk itu. Untuk pastri karipap che mat guna resipi Ros dari blog Jintan Manis. Inti pulak che mat guna kentang dan ikan tuna. Kalau anda buat sampai siap, boleh dibekukan, tapi pastikan jangan ditindih antara satu sama lain ketikan belum keras, nanti melekat. Pastikan dialas dengan plastik....Kalau anda rajin nak buat, che mat share resipi...Jomm...

BAHAN-BAHAN KULIT KARIPAP :-)
400 gram tepung gandum
2 camca besar marjerin
1/2 cawan minyak masak, dipanaskan
1/2 cawan air ais yang dingin*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan kacau rata)

BAHAN-BAHAN INTI :-)
250 gram kentang, dikupas kulit, didadu kecil
1 tin tuna dalam tin, toskan dan hancurkan isinya
1 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 camca besar rata rempah kari ikan (Baba's)
1/2 camca teh lada hitam
Garam dan gula secukup rasa
1 cawan air
2 camca besar hirisan daun sup dan daun bawang

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK KULIT KARIPAP :- Masukkan tepung ke dalam bekas, tambah majerin dan kacau hingga mendapat tekstur seakan2 serbuk roti. Tuang minyak panas sedikit demi sedikit hingga habis sambil digaul dengan sudu. Kacau rata. Tuang sedikit demi sedikit air ais yang dicampur dengan garam tadi. Gaul hingga adunan menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di mangkuk adunan. Bulat2kan dan bungkus dengan plastik. Sejukkan dalam peti sejuk selama 2 jam (che mat sejukkan 1 jam sahaja).
  2. UNTUK INTI KARIPAP :- Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih hingga harum, masukkan rempah kari, masak sekejap, guna api kecil. Tambah kentang, gaul rata dan tuang air. Bila kentang 1/2 empuk, masukkan ikan tuna dan lada hitam, kacau rata dan masak hingga kentang empuk.
  3. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masak hingga kering. Masukkan hirisan daun sup dan daun bawang, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Biar inti sejuk sebelum digunakan.
  4. UNTUK KARIPAP KENTANG TUNA :- Keluarkan doh, bagikan kepada 2 bahagian, simpan sebahagian lagi dalam peti sejuk. Bulat2kan doh sebesar saiz syiling 50 sen yang dulu. Canai dan sudukan inti secukupnya, anggaran 1 camca besar (kalau penuh sangat, nanti susah nak kelim), kemaskan tepinya dan kelim untuk mencantumkan karipap. Susun dalam loyang yang dialas plastik bersih. Buat hingga siap (kalau anda nak senang, sila guna acuan karipap).
  5. Goreng dalam minyak sederhana panas dengan api kecil. Balikkan karipap agar masak sekata. Goreng hingga kuning keemasan. Angkat, toskan minyaknya dan letak atas tissue dapur yang bersih. Anda boleh hidangkan panas atau pun sejuk....Selamat mencuba!!!..

1 comment:

Hariz said...

Wow. Terliur cikmat saya tengok

Ikhlas,
profhariz.com

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.