RESIPI PISANG MUDA MASAK LEMAK

Assalammualaikum, salam semua. Sebenarnya pisang muda masak lemak ni che mat masak semalam dan tak plan pun nak dijadikan entri blog. Tetapi kat IG ada pulak yang mintak che mat kongsikan resipi dia. Maka hari ni, kami rajinkan diri kemaskini blog dengan resipi pisang muda masak lemak. Ada yang tanya che mat, pisang apa yang sesuai kalau nak masak lemak? Sejujurnya che mat ni bab2 pisang agak bengong juga, tak reti sangat nak bezakan, tapi yang che mat guna ni pisang lemak manis, tapi guna muda. Kuantiti dia tu terpulang lah, yang ni dalam satu sisir kecik kurang lebih ada 16 biji pisang muda. Dan untuk menambah kesedapan dia, kami masukkan cendawan kukur dan rencah dia guna tulang ikan masin kurau. Selain tu, nak guna ikan talang masin pun boleh, waimah ikan sepat masin atau ikan kembong masin pun ok, tapi perlu setiap ikan masin akan beri rasa yang berlainan pada masakan kita. Kalau takde ikan masin, kau humban masuk ikan bilis pun boleh, sedap jugak rasa dia. Cara memasak agak mudah dan kalau sapa2 rajin macam che mat (cewaaahhh...) bolehlah tumbuk bahan2 dia guna lesung batu, beza tau rasa masakan kita bila bahan masakan ditumbuk. Kalau  malas, blender aje lah, jadi juga... Ok, meh kita semak resipi dia kat bawah ni....JOmmmm!

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 sisir pisang lemak manis yang muda (anggaran 16 biji)
2 cawan cendawan kukur segar, rendam, buang segala kotoran dan toskan
3 - 4 ketul tulang ikan masin kurau, rendam semalaman 
1 keping asam gelugor
2 batang serai, diketuk
1 kecil kotak (200 ml) santan Kara
1 kiub ikan bilis Maggi
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
Belacan sebesar hujung jari
2 biji cili merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pisang muda dicuci bersih, siat sedikit kulitnya dan masukkan ke dalam bekas berisi air, pisang tadi kerat serong setiap satu (boleh juga diketuk perlahan dengan belakang parang)dan masukkan ke dalam bekas sama dengan kulit pisang. Buat hingga selesai. Toskan air rendamannya dan masukkan pisang serta kulitnya ke dalam periuk.
  2. Cendawan kukur diperah sedikit dan tumbuk, tapi toksah tumbuk hingga hancur, tumbuk2 manja sahaja. Masukkan cendawan ke dalam periuk yang berisi pisang muda tadi. Tambah serai dan juga bahan2 tumbuk halus.
  3. Tuang air secukupnya (hingga pisang dan cendawan kukur tenggelam), kacau dan masak hingga mendidih. Bila pisang hampir empuk, boleh masukkan tulang ikan masin kurau, pastikan ditoskan dulu air rendamannya. Tambah asam gelugor dan kiub ikan bilis. 
  4. Masukkan santan, jika kurang kuah boleh tambah sedikit lagi air. Kacau dan masak dengan api sederhana hingga mendidih, kacau setiasa untuk mengelakkan santan berkepala. Perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api, Boleh hidangkan..
CATATAN MAT GEBU :- Masakan ni lebih sedap setelah beberapa jam dimasak, dan lagi sedap bila dimakan keesokkan harinya.... Selamat mencuba!..

 

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.