Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Hari ni che mat masak satu menu saja, selebihnya nak habiskan belen2 lauk semalam. Tempoh hari di IG, ada yang mintak che mat kongsikan resipi lodeh kering. Lodeh kering ni sebenarnya sama saja dengan sambal goreng, cuma lodeh kering kita taruk pati santan. Tapi perlu diingatkan, masing2 ada resipi tersendiri dan che mat pun sama. Biasanya orang jawa suka masukkan pedal ayam, hati ayam dan usus ayam dalam lodeh kering, selain tu ganti dengan udang (macam che mat buat), paru atau daging pun boleh. Sedap dimakan dengan ketupat atau nasi putih biasa. Lodeh kering ni bahan2 asas dia mesti ada tauhu, tempe, kentang, kacang panjang, fucuk @ tauhu kering, suhun dan santan. Memasak dia pun tak susah mana, tapi rasa dia serius sedap terangkat. Makan macam tu pun sedap. Tak perlu cerita banyak, meh che mat kongsikan resipinya di bawah ini...
BAHAN-BAHANNYA :-)
2 keping tempe berbungkus daun, dipotong kiub
1 keping tauhu, dipotong kiub
1 biji besar kentang, kupas, dipotong kiub dan rendam
4 tangkai kacang panjang, hiris serong
1/2 cawan isi udang yang telah dibersihkan
Fucuk @ tauhu kering secukupnya, rendam hingga lembut dan potong kecil
1/2 cekak suhun, kerat pendek cuci dan toskan, tak perlu direndam
1 kiub pati ikan bilis Maggi
1 camca teh pes asam jawa
100 ml santan (che mat guna santan Kara)
Garam secukup rasa
BAHAN-BAHAN HIRIS :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia, dimayang halus
2 biji cili hijau
2 biji cili merah
CARA MEMBUATNYA :-)
- Goreng berasingan tauhu, tempe dan kentang - ditoskan dahulu (sebelum digoreng, gaulkan tempe, tauhu dan kentang dengan sedikit garam) hingga masing2 kuning keemasan, angkat dan toskan. Keluarkan minyak dan tinggalkan kurang lebih 1/4 cawan. Goreng bawang merah, bawang putih dan halia hingga layu dan bertukar keperangan. Masukkan cili hijau dan merah, kacau rata dan masak hingga cili layu.
- Masukkan udang, kacau dan masak hingga udang berubah warna, tambah kiub ikan bilis (hancurkan) dan pes asam jawa, kacau rata. Masukkan fucuk (toskan dulu air rendamannya), gaul rata dan masukkan tempe, tauhu dan kentang yang telah digoreng tadi.
- Masuk kacang panjang, kacau hingga semua rata. Sederhanakan api, masukkan pati santan dan kacau rata. Masukkan suhun, gaul dan masak hingga kering. Perasakan dengan garam secukupnya (rasa dulu, baru masukkan garam secukupnya), masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan lodeh kering dengan nasi putih atau ketupat. Selamat mencuba!.
1 Comments
Aku kalau dapat ni Mat, memang ratah ajerrr...
ReplyDelete