RESIPI MI JAWA

Assalammualaikum, salam Khamis semua. Moga kita semua berada dalam rahmat Allah dan dilindungi dari penyakit Covid19 yang semakin mengganas sekarang ni. Bagi yang dah vaksin samada sekali atau dua tu, che mat ucapkan tahniah. Lepas vaksin ke dua tu, relak2 dulu yea, jangan konfiden sangat nak merayau tak tentu hala. Bagi vaksin tu betul2 mesra dengan badan kita. Apa2 pun kita manusia selain berdoa kepada Allah swt, kena juga berikhtiar, contohnya vaksin ni lah. Syukur sangat, kat Malaysia, vaksin diberi percuma, che mat ada nampak satu video ni, kat Thailand katanya sapa nak vaksin, dia orang kena bayar, huhu kalau yang ada duit tu mungkin takde masalah, tapi yang tak mampu, tak ke kesian, yea dak. Moga kita semua dilindungi dan kes covid dapat dikawal sepenunuhnya. Hari ni che mat nak berkongsi resipi mi jawa. Resipi ni asalnya che mat ambik di FB, saja lah save dulu dan memang plan nak cuba buat. Sajalah nak rasa, nampak bahan2 dia pun mengancam, selain guna daging, ada juga ditambah udang kering dan udang geragau kering, menarik kan. 

Maka hari ni, che mat cuba buat. Alhamdulillah tak rugi cuba, menjadi dengan sedapnya. Sekali rasa seakan2 mi rebus pun ada, tapi lain. Mi jawa, bahan2 kuah dan bahan2 sampingannya lebih ringkas dari mi rebus. Kalau mi rebus Johor, ada tambah sedikit tauco dan kacang kisar dan bahan tabur pulak ada penambahan tepung udang yang garing macam rempeyek tu. Secara keseluruhannya, mi jawa ni berbaloi untuk dicuba, apa tah lagi waktu pkp ni kan, boleh lah buat untuk makan anak beranak. Resipi yang che mat kongsikan ni untuk makan 6 - 7 orang, tapi kalau tak habis pun takpe, kuah dia kita boleh simpan dalam peti sejuk, atau nak tahan lagi lama, bekukan dalam freezer. Apa2 pun che mat nak ucapkan terima kasih pada pemilik resipi asal di FB, Puan Faridah Hanim. Che mat kongsikan resipi di sini yea, tapi yang ni ikut sukatan che mat lah sebab resipi asal tu agak banyak kuantitinya... Ok, jomm kita mulakan...

BAHAN-BAHAN UNTUK KUAH MI JAWA :-)
500 gram daging lembu, hipis nipis, cuci dan toskan*
1/2 inci halia, hiris*
3 ulas bawang putih, diketuk*
Air secukupnya*(*disatukan dan rebus hingga daging empuk, asingkan airnya rebusannya)
600 gram keledek oren, kupas, rebus hingga empuk dan dilecek halus, simpan air rebusannya
1/2 cawan udang geragau kering, direndam dalam air panas
1/4 cawan udang kering, rendam air panas
1/3 cawan gula melaka, dihiris
1 camca besar cili kisar
1 1/2 camca besar rempah kari daging Baba's
Garam secukup rasa
Gula jika perlu (che mat tak letak sebab dah guna  gula melaka)
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 batang serai, dihiris
1/2 inci halia

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya, dicelur dan toskan
Taugeh secukupnya, dicuci bersih dan toskan
Tauhu digoreng dan hiris
Cili hijau, dihiris
Hirisan daun sup dan daun bawang
Bawang goreng secukupnya
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Telur rebus secukupnya, dikupas dan belah 2

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH MI JAWA :- Panaskan minyak dalam periuk anggaran 1/4 cawan. Tumis bahan kisar halus hingga wangi, masukkan cili kisar dan rempah kari daging, kacau rata dan masak hingga rempah dan cili garing serta naik minyak. Sementara itu, toskan air rendaman udang kering dan udang geragau, kemudian kisar halus kedua2nya. Masukkan ke dalam periuk tadi, kacau rata dan masak sekejap.
  2. Tuang air rebusan daging dan juga air rebusan keledek. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah daging dan gula melaka. Masukkan keledek rebus yang telah dilecek, kacau dan masak hingga mendidih, tambah air jika perlu. Perasakan dengan garam secukupnya dan jika suka kuah mi jawa lebih manis, boleh tambah sedikit gula. Masak sekejap, sesuaikan rasa dan boleh matikan api. Biasanya kuah mi jawa tidah terlalu pekat.... Siapppp!
  3. UNTUK PENYEDIAAN MI JAWA :- Masukkan mi kuning yang telah dicelur tadi secukupnya ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah (kacau dulu kuah tadi) secukupnya dan hias dengan hirisan tauhu, taugeh, hirisan daun sup/daun bawang, telur rebus. hirisan cili hijau dan bawang goreng. Boleh hidangkan. Jangan lupa masak nak makan tu, perahkan dulu jus limau kasturi, baru lah terangkat... Selamat mencuba!..

Post a Comment

3 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.