RESIPI KEK PISANG

RESIPI KEK PISANG

Assalammualaikum, salam semua. Che mat masak nasi lemak pagi tadi, masak ala kadar saja, tu pun sebab semalam dah masak sambal tumis ikan bilis, jadi masih berbaki, tu yang buat nasi lemak. Maka tengah hari tadi tak masak nasi putih. Tapikan bila kita tak buat kerja yang dah biasa kita buat, mula lah rasa bosan, rasa tak lengkap, tu yang buat kek pisang. Kebetulan kelmarin masa keluar berbelanja, nampak orang jual pisang berangan, beli lah sesisir. Plan nak buat cekodok, mak che mat kan suka cekodok, tapi pisang tu sesisir kan ada banyak biji, che mat ambik lah 2 - 3 biji, teringin pulak nak buat kek pisang. Resipi kek pisang ni dah banyak kali buat dan resipi dia pun memang dah ada dalam blog, tapi takpe lah, kita tulis lagi. 

RESIPI KEK PISANG

Kek pisang ini boleh dipelbagaikan, nak masukkan kacang walnut atau pecan pun boleh, nak tambah parutan keju pun sedap atau boleh masukkan coklat chip. Che mat kurangkan gula dan guna gula perang. Lagi pun pisang tu pun dah manis. Ada dua pilihan sama ada nak guna minyak jagung atau mentega yang dicairkan. Kalau guna mentega cair, rasa dia lagi sedap lah. Kalau guna minyak jagung, pun sedap juga. Kalau takde minyak jagung, belasah guna minyak masak pun jadi juga, asal jangan guna minyak petrol dah lah yea. Satu lagi, kalau nak buat kek pisang, pilih pisang yang masak ranum, baru kek jadi wangi. Sedap ni hidangkan time minum petang dengan teh O panas atau kopi O....Nak cuba buat, jomm semak resipi dia..

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram pisang berangan atau pisang emas (tanpa kulit)
100 gram gula perang (resipi asal 150 gram gula pasir)
250 gram tepung gandum, diayak
5 biji telur gred A
15 gram ovallate
1 camca teh rata soda bicarbonate
1 camca teh esen vanilla
1/2 camca teh garam
200 ml minyak jagung 
 
CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 170C, lenser acuan bundt pan (acuan berlubang tengah) dengan mentega atau boleh gunakan tin berukuran 8 x 8 x 3 inci, alas dasar tin dengan kertas minyak. Jangan lupa sapukan juga dengan mentega. Sementara itu, lecek pisang dengan soda bicarbonate hingga sebati. Perapkan 30 minit, ketepikan.
  2. Masukkan gula perang dan ovallate ke dalam mangkuk adunan, putar hingga rata. Tambah telur dan putar dengan kelajuan tinggi hingga aduna kembang seperti adunan kuih baulu. Perlahankan kelajuan, masukkan pisang lecek sedikit demi sedikit hingga habis. Putar sebati.
  3. Masih dikelajuan perlahan, masukkan  pula tepung sedikit demi sedikit hingga habis, tambah esen vanilla dan putar rata. Cedok 5 - 6 camca besar adunan dan masukkan ke dalam bekas berisi minyak jagung atau mentega cair, gaul rata hingga sebati. Kendian masukkan balik ke dalam mangkuk adunan dan gaul rata dengan spatula. Pastikan adunan digaul hingga betul2 rata, kalau tak, bila kek masak nanti tak sekata.
  4. Bakar kek dalam oven yang telah dipanaskan tadi selama 50 minit atau hingga masak, Uji dengan mencucuk lidi sate bersih atau cake tester di bahagian tengah kek, jika keluarnya bersih, tanda kek dah masak. Keluarkan kek dari oven, biarkan 5 minit dan boleh keluarkan dari acuan, sejukkan atas jaringan dan boleh dipotong...Selamat mencuba!

RESIPI KEK PISANG RESIPI KEK PISANG Reviewed by Mat Gebu on 1/11/2021 05:53:00 PM Rating: 5

1 comment:

  1. Sedapnya.. Nina suka kek pisang! Tak jemu di makan buat pun senang.

    ReplyDelete

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.