RESIPI LEMAK CILI API DAGING SALAI SAMA MANGGA MUDA

 Assalammualaikum, dekat sebulan juga che mat tak kemas kini blog. Nyaris2 bersawang. Apa2 pun terima kasih pada pengunjung setia blog tiffinbiru. Walaupun sekarang dunia blogging tak segah dulu, ramai orang beralih kepada FB dan IG, tapi che mat rasa blog terutama blog masakan, masih releven dan masih dapat membantu dalam menyalurkan resipi2 terpilih yang telah dicuba terlebih dahulu sebelum dijadikan entri blog. Hari ni che mat masak lemak cili api daging salai sama mangga muda. Mangga muda tu kenalan abang che mat beri tempoh hari masa kami  ke Mersing. Mangga yang che mat guna ni jenis mangga atau pelam epal. Jadi rasa dia takde lah masam sangat walaupun muda. Daging salai tu beli punya. Lama dah beli di Rembau dulu, dan che mat bekukan dalam freezer. Kalau rajin nak salai sendiri pun boleh, cuma kalau salai atau kuali tu kurang kick sikit sebab takde bau2 asap. Yang ni mereka salai atas bara apa, jadi aroma dia cukup wangi. Biasanya daging salai, mereka akan guna daging batang pinang. Cara che mat masak, selain hiris lawan urat, che mat titik daging tu dalam lesung batu biar dia leper sikit dan empuk, maklumlah sejak menuju ke usia warga emas ni, gigi semua dah tak kuat, risau pulakm sedap2 makan kang, tengok2 gigi hilang satu!...Nak try masak, jomm che mat kongsikan resipinya di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
Daging salai secukupnya, kurang lebih 400 gram
2 biji mangga muda
2 batang serai, diketuk
2 keping asam gelugor
1 cawan pati santan (atau 1 kotak, 200 ml santan Kara)
1 helai daun kunyit, disiat
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3  cawan cili api kampung (boleh kurangkan jika tak tahan pedas)
3 inci kunyit hidup tua
1/2 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Daging salai dihiris nipis lawan urat, hiris pada saiz sederhana. Kemudian titik atau ketuk daging salai yang dihiris tadi agar leper. Masukkan ke dalam periuk bersama2 bahan2 kisar halus dan serai. Kacau rata.
  2. Tuang air secukupnya , anggaran 3 cawan. Kacau dan biarkan mendidih, kecilkan api dan masak hingga daging salai lembut. Sementara itu, kupas buah mangga muda, cuci dan hiris kasar2. Ketepikan.
  3. Masukan asam gelugor ke dalam periuk berisi daging, dan jika kurang kuah boleh tambah sedikit lagi air panas. Bila daging dah empuk, masukkan santan, kacau dan biarkan mendidih dengan api kecil, kacau sentiasa. 
  4. Masukkan mangga muda dan daun kunyit. Kacau dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan dengan nasi panas dan lauk pauk lain.
CATATAN MAT GEBU :- Che mat taruk akhir mangga muda tu sebab takmo dia jadi terlalu lembut dan hancur. Biar mangga terendam dalam kuah panas dan ia akan lembut sendiri. Selain buah mangga muda, boleh guna buah bacang muda, lagi sedapppp! Selamat mencuba...
RESIPI LEMAK CILI API DAGING SALAI SAMA MANGGA MUDA RESIPI LEMAK CILI API DAGING SALAI SAMA MANGGA MUDA Reviewed by Mat Gebu on June 28, 2020 Rating: 5

3 comments:

  1. Cara masak dan aroma asap salai tu yang jadikan hidangan meletop.

    ReplyDelete
  2. Sedapnya uittt...ni kalau hirup kuah aje dah sedap Mat oiii

    ReplyDelete
  3. Tak pernah terfikir mangga masuk dalam kuah lemak. Campur daging salai pulak tu. Mesti cuba resepi ni nanti.

    ReplyDelete

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.