RESIPI KUIH TALAM LABU BERLAUK

Assalammualaikum, salam semua. Entah kerajinan apa yang melanda che mat sejak2 ni pun tak tau lah. Entah2 silap makan jamu, mushkil jugak ni, tapi takpe lah, bukan kita buat kerja yang tak senonoh, yea tak. Biasalah, che mat kan masak awal, jadi bila dah siap kerja2 rumah dan belek pokok2 kaktus, mulalah tangan ni gatal ajer membelek resipi2 yang tertangguh, yang dulu tak kesampaian nak buat atas faktor masa dan bahan2 yang tak cukup. Bila ada masa dan bahan2 pun ada, apa lagi kita kayuh ajer lah. Hari ni che mat nak kongsikan resipi talam labu berlauk. Biasanya orang guna keladi dan jarang2 gunakan labu. Tapi, percayalah, talam labu berlauk ni bukan saja sedap, malah nak buat pun senang. Pastikan guna labu yang kuning, jangan guna labu yang kulit dia hijau, yang tu tak kurang sedap. Talam labu yang ni dalam kategori kuih savory, bukan yang manis2 tu, walaupun ada rasa manis2 sikit.... 

Untuk topping atau bahan tabur atas kuih talam tu, che mat guna daging cincang dan udang kering, Daging, che mat cincang sendiri guna food processor, tapi boleh saja nak guna daging yang cincang yang dijual di kedai. Kalau tak suka daging, boleh ganti dengan isi ayam atau guna udang kering saja. Kuih ni antara kuih yang senang dibuat. Yang utama bancuhan kuih talam tu mesti betul, untuk menghasilkan kuih talam yang senang dipotong, lembut dan tak mudah pecah. Paling penting biarkan kuih betul2 sejuk sebelu dipoton dengan pisau plastik. Lap pisau dengan tissue dapur setiap kali lepas memotong, barulah hasil dia kemas dan senonoh. Kuih talam labu berlauk, sesuai dihidangkan untuk sarapan pagi, minum petang atau dijadikan buah tangan. Kuih2 macam ni, cukup popular di bazar2 ketika bulan puasa...ehh, diam tak diam tak sampai 100 hari lagi kan kita nak berpuasa, mudah2an Allah panjangkan usia kita semua. Jomm kita semak resipi di bawah ini..

BAHAN-BAHAN INTINYA :-)
150 gram daging cincang, taruk dalam tapis dan cuci bawah air paip, toskan
1 camca besar penuh udang kering, direndam
1/2 inci halia, ditumbuk
2 ulas bawang putih, ditumbuk
1 camca teh lada hitam kisar
1 camca besar rempah kari daging
Garam secukup rasa
1/3 cawan air
Hirisan daun bawang secukupnya
Hirisan daun sup secukupnya
Hirisan cili merah, secukupnya
Bawang goreng, secukupya

BAHAN-BAHAN KUIH TALAM :-)
400 gram labu manis, yang telah dikupas dan dibuang bijinya
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
1/2 cawan tepung beras (che mat guna tepung beras cap teratai)
1 camca besar gula pasir
1/2 camca teh serbuk kayu manis (optional)
Secubit camca teh garam
1 cawan santan pekat
1 cawan air
1 camca besar minyak masak
Beberapa titik pewarna kuning makanan (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK BAHAGIAN INTINYA :- Panaskan 3 camca besar minyak masak ke dalam kuali. Tumis halia dan bawang putih tumbuk hingga harum. Masukkan daging cincang dan masak hingga daging berubah warna. Sementara itu toskan udang kering dan tumbuk kasar. Masukkan ke dalam kuali dan gaul rata bersama daging cincang tadi.Tambah serbuk kari dan lada hitam kisar. Kacau rata dan tuang air. Perasakan dengan garam secukupnya dan masak dengan api sederhana hingga daging tadi kering. Angkat dan toskan minyaknya. Sejukkan untuk kegunaan kemudian, ketepikan.
  2. UNTUK BANCUHAN KUIH TALAM :- Labu manis yang telah dikupas tadi, direbus hingga empuk, lecek hingga halus. Dalam mangkuk besar, satukan kesemua bahan-bahan kuih talam, kecuali labu manis. Kacau dengan whisk hingga semua rata dan sebati. Masukkan labu manis yang telah dilecek, kacau hingga rata dan ketepikan sebentar.
  3. UNTUK KUIH TALAM LABU BERLAUK :- Panaskan kukusan, lanser tin berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan minyak masak atau majerin, alas dengan aluminium foil. Lebihkan aluminium foil  pada bahagian kanan dan kiri tin, tujuan untuk memudahkan kita mengeluarkan kuih talam bila dah masak nanti. Sapu juga permukaan aluminum foil dengan minyak masak. Kacau bancuhan kuih talam dan tuangkan ke dalam tin, kukus selama 20 minit dengan api sederhana hingga kuih masak.
  4. Taburkan inti daging atas permukaan kuih talam labu ketika kuih masih panas, tekan2 perlahan dengan belakang sudu agar inti melekat. Biarkan sekejap dan boleh keluarkan dari tin, sejukkan sepenuhnya kuih talam labu diatas jaringan, baru ditabur dengan hirisan daun bawang, daun sup, cili merah dan bawang goreng. Bolehlah dipotong dan hidangkan. Selamat mencuba!
RESIPI KUIH TALAM LABU BERLAUK RESIPI KUIH TALAM LABU BERLAUK Reviewed by Mat Gebu on January 20, 2020 Rating: 5

2 comments:

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.