RESIPI MI HOON SUP TULANG

Assalammualaikum, salam semua. Siang tadi, che mat bikin mi hoon sup tulang, itu pun atas permintaan mak che mat, sebenarnya dia takde lah mintak, cuma ada bagi hint sikit lah, kata teringin pulak nak makan sup tulang, makan dengan mi hoon. Stok tulang serangka memang ada, che mat beli Jumaat lepas di pasar pagi Simpang Renggam. Bahan2 pun memang cukup, jadi pagi dalam jam 7 macam tu che mat dah mula masak. Resipi memang seringkas yang boleh dan untuk lebih cepat, che mat gunakan perencanh sup daging dan tulang ADABI, keluaran bumiputera yang memang tak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Serius perencah sup daging dan tulang ni wajib kita simpan kat rumah sebagai stok. Che mat gunakan tulang lembu, kalau mana yang suka sup kambing pun boleh guna perencah ni, cuma kena tambahlah serba sedikit bahan lain agar sup bertambah sedap. 

Untuk resipi ni che mat guna 1 paket besar perencah sup dan tulang seperti gambar kat atas tu. Dia datang dalam paket kecik dan paket besar, kalau paket kecik, guna lah dua untuk 1 kg tulang. Lepas tu ikut selera masing2lah nak tambah kentang ke, lobak merah, saleri, semua boleh. Macam che mat cuma masukkan kentang dan serai sebagai penambah rasa. Kalau suka pedas boleh masukkan lada hitam tumbuk, eh, senang cerita ikut selera kita lah nak macam mana. Atas permintaan di FB dan IG, che mat kongsikan resipi mi hoon sup tulang di sini, jangan lupa mencuba..

BAHAN-BAHAN SUP TULANG :-)
1 kg tulang rusuk lembu, cuci bersih dan toskan
2 batang serai, diketuk
1 pokok daun sup, dikerat kasar
1 camca besar bawang goreng
3/4 camca besar lada hitam biji, tumbuk halus
3 biji kentang, kupas, belah 4 setiap 1 dan rendam
1 paket besar perencah sup daging dan tulang ADABI ( kalau yang kecik, guna 2 paket)
1 sup bunjut tulang Adabi
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
Air secukunya untuk merebus
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN SAMBAL KICAP :-)
1 paket cili padi thai yang warna merah, dibuang tangkainya
3 ulas bawang putih
1 camca besar penuh bawang goreng
1 cawan kicap lemak manis
1 camca besar penuh gula

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi Hoon secukupnya, dicelur hingga lembut dan toskan
Tauhu goreng secukupnya, dihiris
Hirisan daun bawang
Hirisan daun sup
Taugeh, dibersihkan
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK SUP TULANG :- Tulang tadi direbus selama 15 minit dan buang air rebusan pertamanya. Rebus kembali, masukkan bahan2 kisar halus, serai, perencah daging dan sup tulang Adabi, daun sup yang dipotong kasar, bawang goreng, sup bunjut, lada hitam tumbuk, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih. Rebus hingga daging pada tulang lembut. Tambah air panas jika perlu. Masukkan kentang dan masak hingga kentang lembut. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa.
  2. Boleh juga dimasak dalam periuk tekanan, masukkan semua bahan2 untuk sup tulang, kecuali kentang, masak selama 25 minit atau mengikut arahan pada periuk tekanan masing2, pastikan anda bacan betul2 cara menggunakannya untuk mengelakkan sebarang kemalangan. Lepas daging pada tulang dah lembut, baru masukkan kentang dan masak hingga kentang empuk.
  3. UNTUK SAMBAL KICAP :- Cili padi dan bawang putih digoreng dengan sedikit minyak hingga layu. Masukkan ke dalam blender bersama2 kicap lemak manis, bawang goreng dan gula. Kisar hingga halus, dah boleh digunakan untuk dimakan bersama mi hoon sup atau sebagai pencicah goreng pisang dan sebagainya.
  4. UNTUK MENGHIDANG :- Sediakan mangkuk sesuai, masukkan secukupnya mi hoon, tuang kuah sup tulang dengan isi2nya sekali. Hias dengan hirisan tauhu goreng, daun sup, daun bawang, taugeh dan curahkan secukupnya sambal kicap. Akhir sekali, perahkan jus limau kasturi sebelum dimakan. Selamat menjamu selera..

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.