RESIPI BISKUT SHORTBREAD COKLAT

Assalamualaikum, salam 13 Ramadan, cepat betul kan tau2 dah nak habis minggu ke 2 kita berpuasa. Ada yang tanya che mat, biasa memang buat biskut raya awal ke? Setiap tahun che mat akan mula buat biskut raya selepas 9 atau 10 hari berpuasa, bergantung pada mood juga. Dan setiap sehari, cuma buat sejenis sahaja, tak kesahlah biskut tu jenis susah atau senang, memang had dia, sehari sejenis. Banyak mana tu bergantung juga pada mood, kalau rajin buatlah sampai 10 jenis, kalau tak 7 atau 8 jenis. Tapi takdelah buat banyak, budget che mat setiap jenis dalam 100+ keping saja. Bila dah ada banyk jenis, orang pun akan pilih yang mana dia suka dan makan sikit2. Semalam che mat bikin biskut dahlia, yang tu setiap tahun memang ada dan resipi dia tetap sama yang tertulis dalam blog. Hari ni che mat ada cuba satu lagi biskut yang tak pernah buat, yang tu nanti kena test dulu, kalau sedap, barulah boleh kongsikan resipinya di blog...

Hari ni che mat kongsikan resipi biskut shortbread coklat atau dalam bahasa Inggerisnya chocolate shortbread cookies. Resipi asal che mat dapat dari IG, pemiliknya (di sini) berasal dari Indonesia. Bagi penggemar coklat, ini antara biskut atau cookies yang harus dicuba, cukup sedap, lemak dan manisnya pun ngam2 saja. Cuma jika ikut resipi asal, adunan biskut terlalu lembik dan tidak boleh dicanai. Terpaksa che mat tambah tepung lagi kurang lebih 6 camca besar macam tu. Tapi jangan pulak terlebih tepung, takut biskut jadi keras macam batu kerikil nanti. Hiasan atasnya juga che mat tukar, jika yang asal menggunakan kacang tanah yang ditumbuk, kemudian digaul dengan sedikit gula, tapi che mat gantikan dengan badam cincang, lebih senang dan praktikal. Bolehlah cuba untuk lebaran yang akan datang ni, budak2 mesti suka...Resipi seperti dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
225 gram mentega
150 gram gula aising. diayak
50 gram dark chocolate compound, dicairkan
275 gram tepung gandum,(che mat tambah lagi 6 camca besar penuh, sebab adunan terlalu lembik)*
25 gram susu tepung*
25 gram serbuk koko*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
1 camca teh esen vanilla
1/4 camca teh garam halus
1 kuning telur, disapu atas biskut
Badam cincang secukupnya, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Putar mentega dan gula aising hingga pucat, kurang lebih seminit, guna kelajuan sederhana. Masukkan esen vanilla, garam halus dan coklat yang telah dicairkan tadi, putar sebati. Perlahankan kelajuan mesin, masukkan bahan2 yang telah diayak tadi sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang boleh dicanai. Matikan mixer, bulat2kan doh, dan tutup dengan tuala dapur bersih yang telah dilembapkan.
  2. Panaskan oven pada suhu 160C, sediakan dulang pembakar. Bahagikan doh kepada 4 bahagian, ambil 1 bahagian dan canai setebal 1/2 cm (baki doh ditutup dengan tuala lembap). Terap dengan acuan kegemaran anda, susun dalam dulang pembakar, dan buat hingga siap. 
  3. Sapu permukaan biskut dengan kuning telur dan hias dengan badam cincang. Bakar selama 20 minit atau hingga biskut masak. Keluarkan dari oven dan biar biskut di atas dulang selama 5 minit. Kemudian alihkan ke atas jaringan dan biarkan biskut betul2 sejuk. Simpan dalam bekas kedap udara. Menghasilakn kurang lebih 140 keping biskut, bergantung pada acuan yang kita gunakan....Selamat mencuba!

Post a Comment

0 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.