RESIPI KELADI MASAK LEMAK

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni atas permintaan mak che mat, kita masak satu menu klasik orang dulu2, kiranya lauk pauk tradisi time balik dari kebun dan tu jam pulak yang ada cuma pokok keladi sayur. Maka terhasillah menu keladi masak lemak. Che mat guna keladi dan juga batangnya. Batang keladi tu sebahagiannya dah dimasak dengan siput sedut, jadi belen dia che mat simpan dan hari ni baru masak. Keladi pulak beli seketul dan setengahnya digoreng, yang setengah lagi masak lemak. Biasanya perencah dia che mat guna ikan bilis tamban, tapi boleh juga gantikan dengan tulang ikan masin kurau atau guna ikan sepat masin. Kalau suka pedas, macam che mat, boleh guna cili padi, kalau tak tahan pedas, guna cili merah. Untuk aroma, boleh guna sama ada daun kunyit atau daun selasih, tapi serai mesti ada, jangan tak taruk pulak. Resipi memang mudah, meh che mat kongsikan di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ketul keladi (kurang lebih sebesar penumbuk orang dewasa)
Batang keladi yang telah siap bersiang secukupnya (kurang lebih RM 1)
2 keping asam gelugor
1 genggam ikan bilis tamban saiz besar, direndam 20 minit
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 kotak santan Kara ( 200 ml)*
1/4 cawan air panas*(*disatukan dan kacau rata)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 1/2 inci kunyit hidup
1/4 cawan cili padi kampung (che mat campur yang merah dan hijau)
1/2 inci belacan
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Kupas keladi, potong kiub besar2 dan rebus 1/2 empuk. Keluarkan dan dalam periuk yang sama, masukkan sekeping asam gelugor dan celur batang keladi hingga lembut, pastikan lembut untuk mengelakkan rasa gatal masa makan nanti. Tos dan ketepikan. Ikan bilis tamban  dibuang sisiknya, belah 2 setiap 1 dan buang tulang tengahnya, buat hingga siap, cuci kembali dan toskan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama baki asam gelugor, ikan bilis tamban dan serai, kacau rata dan tuang air secukupnya, anggaran 2 1/2 cawan. Kacau dan masak hingga mendidih. Masukkan keladi, dan masak hingga keladi empuk Tambah batang keladi dan santan, jika kurang kuah boleh masukkan sedikit lagi air panas. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula, anggaran 1/2 camca teh. Kacau perlahan dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas, ikan masin dan sambal belacan. Lebih sedap jika ada ulam2man seperti petai, jering atau kerdas....Selamat mencuba!

Post a Comment

0 Comments

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.