RESIPI BUBUR PUTIH BUBUR MERAH

 Assalammualaikum salam semua. Hari ni, 22 hb Januari 2019, ulang tahun kelahiran bonda che mat, Puan Jamaliah Bt Hassan (Abdullah) yang ke 78. Alhamdulillah, Allah lanjutkan usia Mak dan diberi kesihatan sebaik2nya. Mak che mat ni dia jenis yang tak berapa suka diberi kejutan. Apa yang che mat boleh buat, cuma melestarikan adat budaya lama, iaitu dengan menghidangkan manisan pencuci mulut, bubur putih bubur merah. Nak kukus pulut kuning pun tak sempat dah, jadi apa yang ada saja lah kan. Hidangan bubur putih bubur merah ini amat sinonim dengan mayarakat orang melayu dan sering dibuat jika ada peristiwa2 penting berlaku, contohnya hari lahir, hari bayi tanggal tali pusat, anak2 baik dari demam dan banyak lagi, kiranya bubur putih bubur merah melambangkan kesyukuran kita kepada yang mana Esa. Tradisi ini semakin dilupakan sekarang, maklumlah era modern, orang lebih kepada hidangan hipster dan up to date katanya. Walau bagaimana pun asal usul dan hidangan warisan kita toksahlah diketepikan pulak. Bubur putih bubur merah biasanya hidangakan dalam mangkuk2 kecil yang cantik dan bewarna warni dan orang tak akan makan banyak, sekadar syarat dan ambik berkat saja. Nak cuba bubur putih bubur merah style che mat yang menggunakan beras pulut? Jomm kita lihat resipi di bawah ni....

BAHAN - BAHANNYA :-)
250 gram beras pulut, cuci dan rendam sejam
1 1/2 cawan santan kelapa sederhana cair
1 3/4 cawan air (untuk menanak pulut)
1 helai daun pandan, disimpul
3/4 cawan gula melaka, hiris*
1 cawan air*(*disatukan, masak hingga gula melaka larut dan tapis)
1/2 camca teh kicap pekat JALEN (untuk warna, yang ni optional, tak taruk pun takpe)
Gula pasir jika perlu
Garam secukup rasa
Air panas secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Toskan pulut, masukkan ke dalam periuk, tuang air dan tambah daun pandan. Masak dengan api kecil hingga pulut masak, kacau sekali sekala. Tuang santan kacau rata dan masak hingga mendidih. Jika terlalu pekat, boleh tambah sedikit air panas. Masak hingga pulut kembang, asingkan dalam 1/3 cawan dan tambah garam, anggaran 1/2 camca teh, kacau rata, ketepikan.
  2. Baki pulut yang di dalam periuk tadi, dimasukkan air gula melaka dan kicap pekat. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih. Rasa dan jika kurang manis, boleh tambah sedikit gula pasir, yang ni ikut selera masing2 lah yea. Kalau bubur terlalu pekat, boleh tambah sedikit lagi air panas.
  3. UNTUK MENGHIDANG : Ceduk secukupnya bubur merah ke dalam mangkuk2 kecil, kemudian sudukan bubur putih ke atasnya, boleh hidangkan, selamat mencuba!

Post a Comment

5 Comments

  1. asalamualaikum Che Mat..sedapnya tengok bubur putih n bubur merah ni...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Mat Gebu sbb share resipi ni..sbb lama sgt cari resepi ni.

    ReplyDelete
  3. Tq share resepi..lama sis cari resepi ni..nanti sis nak cuba n sis post yer..tqsm

    ReplyDelete
  4. Arwah mak selalu buat ni. Sedap sangat. Tapi bila berkahwin dengan orang luar, tak pernah sekali pn buat, depa tak reti makan. Ni ingat nak masak balik bubur ni.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih en.mat gebu share resepi bubur putih, merah. Sy dah lama cari, nk cuba x lama lg besday sy....

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.