Assalammualaikum, salam Khamis semua. Cuaca panas sekarang ni, che mat sendiri rasa macam nak bercawat ajer kat rumah. Bila cuaca panas, tengok nasi pun rasa tak jalan dah. Jadi tadi che mat selongkar peti sejuk, tengok bahan2 yang ada. Rancangnya nak bikin mi sup, ala mi sup campak2 ajer, bukan jenis susah sangat. Dalam freezer ada pulak 2 ekor udang saiz besar, baki che mat masak rebung tu ari, ini sudah bagus, tak lengah lagi terus ke dapur. Mi sup ini memang amat senang, main tumis macam masak sup sayur saja. Mi che mat guna kuey teow jenis kering jenama A1, yang tu ikut anda, nak guna mi kuning boleh, mi hoon boleh atau kuey teow. Jika suka anda boleh makan sama cili hijau jeruk atau sambal kicap. Entah kenapa hari ni tekak cuma nak makan sama hirisan cili padi saja. Gitulah bila usia dah meningkat, tekak pun berubah2 dah....Ok, jom che mat kongsikan resipi mi sup campak-campak ini...
2 ekor udang saiz besar, dibersihkan
1 keping fish cake, potong kiub atau hiris
1 pokok sawi bok choy ( @ sawi jepun), cuci dan toskan, tak perlu dipotong
1 biji telur
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 biji bawang merah, hiris halus
1/4 camca teh minyak bijan
1/2 camca teh serbuk lada sulah
500 ml air
Garam secukup rasa
Mi pilihan anda secukupnya (agak2lah yea, sebab ni untuk hidangan 1 orang)
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Hirisan cili padi merah, untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan 2 camca besar minyak masak dalam kuali, tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan air dan biarkan mendidih. Tambah lada sulah, garam, udang dan fishcake. Kacau rata dan masak dengan api perlahan.
- Masukkan telur dan bila telur kelihatan kentan, angkat keluar dan asingkan. Tambah sawi dan masak sekejap hingga sawi lembut. Rasa kuahnya dan jika kurang masin tambah sedikit lagi garam. Matikan api.
- Masukkan mi pilihan anda ke dalam mangkuk sesuai. Cedok keluar sawi dan susun atas mi tadi, diikuti udang, fishcake dan telur. Tapis kuah dan tuang atas mi. Tabur hirisan daun bawang, cili padi dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas....
CATATAN MAT GEBU :- Terpulang pada anda sama ada nak menapis kuah sup atau tidak sebelum dituang dalam mangkuk berisi mi. Che mat tapis untuk mendapat kuah yang jernih. Jika suka anda boleh hidangkan dengan sambal kicap. Jika guna bebola ikan, anda boleh kerat 2 setiap 1, tak perlu dihiris.....Selamat mencuba!
2 Comments
sedapnya mee up macam ni...SA pun selalu buat..puas makan
ReplyDeleteoh tapis rahsianya ... duk heran macam mana sup kedai tu ada yang jernih tapi sedap
ReplyDelete