Assalammualaikum, salam Jumaat. Bertemu kembali setelah beberapa hari che mat tak kemas kini blog. Sebenarnya ada urusan lain yang perlu didahulukan. Yelah, walaupun blog sebahagian dari hidup che mat. tapi kita perlu dahulukan apa yang penting. Hari ni che mat masak menu klasik orang2 melayu kita. Menu tradisi ini boleh dikatakan berprofile tinggi jugalah sebab penggunaan santan dan kerisik. Nangkan muda antara bahan mudah didapat dan sering menjadi hidangan orang Melayu dan tak lupa orang peranakan Nyonya. Boleh dipelbagaikan, dan paling ringkas, nangka muda direbus kemudian makan bersama sambal belacan sebagai ulam. Ada juga mereka2 yang 'kalah' dengan nangka muda dan jika dimakan, perut jadi sebu, kata orang nangka ni angin, jadi yang kalah tidak digalakkan makan takut memudaratkan diri pulak nanti...
Gulai nangka muda kerisik che mat gunakan ayam kampung sebagai rencah utamanya. Anda boleh ganti dengan daging kalau suka, sebab rumah che mat ada yang berpantang dari makan daging lembut, maka kita guna ayam kampung. Che mat suka gandingkan menu macam ni dengan sambal belacan dan telur masin. Sayur tak perlu sebab dah ada nangka muda dalam gulai. Satu petua orang dulu2 bila anda masak gulai2 macam ni, biarkan beberapa jam untuk mendapat rasa yang lebih enak. Maksudnya anda boleh masak pagi jika untuk makan pada waktu tengah hari. Kalau tak habis, panaskan dan boleh makan keesokkan hari, lagi sedappp...Tapi satu nak pesan, jangan tutup tudung periuk rapat2 masa lauk tengah panas, nanti air wap yang terkumpul akan jatuh balik dalam gulai dan ini boleh menyebabkan gulai kita cepat basi, seelok2nya renggangkan sedikit tudung periuk ketika gulai panas. Che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini..
BAHAN - BAHANNYA :-)
1 kg nangka muda
1 ekor ayam kampung (atau ayam daging dalam 800 gram)
5 batang serai, diketuk
3 tangkai daun kari, dilurut
1 keping asam gelugor
1 kiub pati ayam Maggi (optional)
1.5 liter santan cair
600 ml pati santan
4 camca besar kerisik
1 camca besar gula melaka
Garam secukup rasa
Air secukupnya
BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
3 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 biji buah keras, hiris
2 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
10 biji cili padi
BAHAN - BAHAN REMPAH :-)
2 camca besar ketumbar biji
1 camca teh jintan putih (jintan halus)
1 camca teh jintan manis (jintan kasar)
1/4 camca teh halba
1 camca teh lada hitam
5 kuntum bunga cengkih
CARA MEMBUATNYA :-)
- Ayam dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan (anda boleh juga rebus dulu ayam tadi hingga empuk sebelum dimasak bersama nangka). Nangka dipotong kiub, kemudian rebus hingga 1/2 empuk dan toskan. Bahan2 rempah digoreng tanpa minyak hingga wangi (disangrai), kemudian kisar halus (guna pengisar kering). Ketepikan.
- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan). Tumis serai dan daun kari hingga harum. Masukkan bahan2 kisar halus dan kacau rata. Tambah rempah yang telah dikisar halus tadi. Gaul rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
- Masukkan ayam yang telah direbus, gaul dan masak sekejap. Masukkan nangka, gaul rata dan tuang air rebusan ayam dan santan cair. Kacau dan biar mendidih.
- Masukkan kerisik, asam gelugor dan pati santan (dan sedikit air jika perlu). Tambah gula melaka, kiub pati ayam (jika guna) dan garam secukup rasa. Kacau sentiasa dan masak hingga nangka empuk dan kuah pekat sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan telur masin rebus....Selamat mencuba!
0 Comments