Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat masak lambat dan dalam masa yang sama ada juga rasa agak kurang rajin nak masak. Sebab lauk semalam masih berbaki, jadi che mat masak nasi dan masak yang simple2 sudah memadai. Dalam masa sama, teringin pulak nak makan kuih bakar pandan, nak kuih bakar yang lembut dan sesuai untuk yang kurang gigi....ehhh..silap2 bukan kurang gigi, tapi gigi belum habis tumbuh, maklumla baby...baby tua kerepot..haha. Ini resipi biasa yang che mat selalu bikin, dan kalau tak silap resipi asal dari sorang teman blog masak yang sekarang tidak berblog lagi...terima kasih 'Joe'. Kuih bakar pandan atau ada yang panggil kuih bingka atau bengkang merupakan kuih tradisi orang melayu kita dan kaum peranakan baba nyonya. Antara kuih tradisi popular di Malaysia dan Singapura...
Che mat bikin dalam acuan kuih baulu, tapi leceh sikit. Nak senang bakar dalam bekas besar saja sudah. Cuma kalau bikin dalam bekas comel, nak hidang pun nampak senonoh dan menarik. Rasanya in sha Allah sedap, nak2 kalau ia berkerak sikit dan garing. Kuih bakar akan naik tinggi semasa dibakar, tapi bila masak ia akan turun dan sedikit mengecut. Anda boleh bakar dalam acuan 4 segi, 8 inci x 8 inci x 3 inci. Kalau guna acuan kuih bakar bunga pecah 6 atau 8, anda mungkin dapat 4 - 5 biji bergantung pada saiz acuan anda guna. Susah ke nak bikin?...Serius tak susah, anda boleh kisar dalam blender saja, tapi sebelum tu meh che mat tuliskan bahan2 serta cara membuatnya....Jommmm!
BAHAN-BAHANNYA :-)
6 helai daun pandan, cuci dan hiris kecil*
300 ml air*(*dikisar hingga hancur dan tapis jusnya)
600 ml santan segar (atau anda boleh guna santan kotak dan campur air untuk cukupkan)
3 biji telur gred A
1 cawan gula (che mat cedok keluar 1 camca besar rata)
2 camca besar penuh mentega, cair dan sejukkan
2 cawan tepung gandum
1/3 camca teh garam
Sedikit pewarna hijau makanan
Bijan secukupnya untuk hiasan
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan oven pada suhu 190C, lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega dan alas dengan aluminium foil, lenser juga aluminum foil tadi, pastikan anda lebihkan aluminium foil tadi hingga ke tepi tin, tujuannya agar mudah anda nak keluarkan kuih bila masak nanti. Ketepikan.
- Dalam satu bekas, masukkan telur dan gula, kacau rata dengan whisk hingga gula hancur. Tuang santan dan jus daun pandan. Kacau rata, tambah tepung gandum sedikit demi sedikit dan kacau hingga sebati.
- Tambah garam, pewarna hijau makanan dan mentega cair. Kacau hingga sebati dan tapiskan. Ketepikan sekejap. Masukkan tin pembakar dalam oven dan biar 10 minit. Berhati2 keluarkan tin dari oven dan tuang bancuhan kuih (kacau dulu sebelum dituang dalam tin). Tabur bijan rata2 dan bakar 45 - 50 minit atau hingga masak.
- Untuk mendapatkan permukaan kuih bakar yang berkerak, tukar fungsi api oven pada 'grill' dan bakar 5 - 6 minit hingga permukaannya keperangan (pusing2kan tin untuk mendapat warna sekata), pastikan anda jaga selalu untuk mengelakkan permukaan kuih hangus.
- Keluarkan dari oven, biar hingga kuih sejuk sedikit dan keluarkan dari acuan, sejukkan sepenuhnya atas jaringan sebelum dipotong....Selamat mencuba!!..
1 Comments
amboi ..memanggil2 saya... kuih itu...
ReplyDelete