IKAN KELI SALAI LEMAK TEMPOYAK SAMA PUCUK UBI SIMPUL..

rsz_kslcp
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat masak lewat sikit. Sebab bonda berpuasa dan che mat malas nak masak awal. Yang tak puasa santap aje lah apa yang ada...ada biskut, sila makan biskut, ada roti sila makan roti yea. Hari ni kita bikin ikan keli salai lemak tempoyak sama pucuk ubi simpul. Nama bukan main menjela panjang, tak muat surat beranak. Ikan keli anda boleh salai atas bara api, taruk sabut biar banyak asap untuk dapat rasa 'salai' yang lebih ampuh. Atau boleh juga salai dalam kuali ajaib. Cuma kalau guna kuali tu, takde lah rasa 'salai' yang asli, rasa ke asap an. Menu tradisi orang Negeri Sembilan ini biasanya menggunakan santan kelapa yang pekat sekurang2nya dari 2 biji kelapa untuk jumlah ikan seperti dalam gambar (2 ekor ikan keli saiz besar). Tapi che mat guna sebiji sudah lah. 

rsz_kslcp2
Tahap kepedasan bergantung pada selera dan ketahanan mental anda. Tapi identiti masakkan seperti ini memang kena pedas dan berapi, cuma jangan sampai masuk hospital sudah lah. Che mat guna cili padi kampung dalam segenggam, atau kurang lebih 35 biji, banyak ke?...errr...boleh kurangkan, toksah khuatir. Bahan2 dia pun kalau anda tengok mudah dan 'asas' sahaja. Serai che mat taruk 3 dan perasan tak daun kunyit yang guna untuk alas ikan salai tu?...Yang tu pun che mat campakkan sekali dalam piuk. Jangan membazir...zaman gst ni kena jimat cermat..

simpul
Bagi yang tak berapa pasti nak simpul pucuk ubi, che mat kongsikan gambarnya (ni gambar lama). Guna pucuk ubi yang muda (terpulang nak guna pucuk ubi batang hijau atau merah atau pucuk ubi pulut, tapi pastikan guna pucuk yang muda sahaja). Asingkan pucuk ubi dari tangkainya, cuci dan toskan. Kemudian ambik 2 - 3 helai pucuk yang lembut, gentel skit kasi lembut (nanti bila masak cepat empuk, sebab kita tak rebus dulu pucuk ubi tadi), dan simpul seperti dalam gambar. Tak susah kan (kalau tak kuasa, tak yah simpul pun boleh, cuma kurang ke asli annya sikit...ehemm)....Ok jom kita mula masak...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan keli saiz besar (che mat guna ikan keli liar)
1 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*
1 camca teh minyak masak*
3 batang serai, diketuk
1 camca besar penuh tempoyak
1 helai daun kunyit, dihiris halus
1 keping asam gelugor (kalau saiz kecil, guna 2)
20 tangkai pucuk ubi (atau secukupnya), cuci, toskan dan disimpul
1 liter santan cair
500 ml pati santan
Air jika perlu
Garam secukup rasa
35 biji cili padi kampung (boleh kurangkan)
1 1/2 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan keli disiang, kerat 2 atau 3 bahagian bergantung pada saiz ikan keli, bersihkan. Kemudian gaul dengan sedikit tepung gandum, biar 5 minit dan cuci bersih. Perap sekali lagi dengan jus limau nipis sekalam 10 minit. Cuci bersih, toskan dan gaul dengan bahan2 bertanda (*) hingga rata. Panggang atau salai ikan keli tadi atas api bara yang ditambah sabut kelapa (untuk mendapat bau aroma asap). Salai hingga ikan keli masak, balik2kan sentiasa agar masak rata. Ketepikan.
  2. Dalam alam pengisar (blender), masukkan cili padi, kunyit hidup (hiris kecil), tempoyak dan 1/2 cawan santan cair. Kisar hingga halus dan tuang ke dalam periuk. Tambah serai titik dan asam gelugor. Tuang baki santan cair, kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan ikan keli salai dan pucuk ubi simpul tadi. Kacau perlahan dan masak hingga pucuk ubi lembut, tuang sedikit air jika perlu. Kemudian tuang pati santan dan masukkan hirisan daun kunyit. Kacau perlahan dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak dengan api kecil dan kacau sekali sekala hingga mendidih. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Post a Comment

3 Comments

  1. sedapnya.. boleh suruh mak masak nie 😄😄😱

    ReplyDelete
  2. sedapnya...klu makan lauk gini kena tambah nasi berpinggan2 ler jawabnya..:)

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.