Salam Khamis, hari ni kita lihat satu menu yang boleh dikatakan sedikit berprofile tinggi dan dalam kategori menu klasik orang Malaysia khususnya orang Melayu kita (dan juga orang peranakan baba nyonya tapi style mereka masak tak sama lah, cuma ada guna nangka). Masakkan seperti ini serius sedap tapi agak renyah membuatnya dan ada juga yang pantang makan nangka, sebab 'berangin'. Untuk resipi ini che mat guna ayam sebagai rencah, tapi kalau nak lagi sedap anda boleh ganti ayam degan daging, nak2 kalau dapat daging tetel....hmmm, pengsan (sekali2 ok lah, jangan makan selalu...ngeri wooo!!..ngeri sebab asyik nak makan dan makan lagi....takutt!!). Bahan2 che mat gunakan agak banyak juga dan nangka muda dalam 2 biji bersaiz kecil, yang mana bila dah siap disiang dan dipotong kiub kurang lebih 1+ kg. Che mat guna kurang lebih 800 gram ayam yang dipotong pada saiz sederhana. Ini terpulang pada anda nak guna ayam sekor pun boleh. Kari pekat nangka kalau anda makan esok hari, lagi sedap, cicah lempeng....errrrr macam nak buat lempeng pulokk petang karang....apa kata anda?...
BAHAN-BAHANNYA :-)
1.2 kg nangka muda yang telah disiang
800 gram ayam, potong pada saiz sederhana
5 camca besar penuh rempah kari daging Baba's
2 keping asam gelugor
1.5 liter santan cair
500 ml pati santan
1 camca besar penuh gula melaka
5 camca besar cili kisar
2 camca besar kerisik
Garam secukup rasa
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah kecik
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
3 batang serai, hiris halus
3 biji buah keras
BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 pelepah daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
CARA MEMBUATNYA :-)
- Nangka direbus hingga 1/2 empuk, toskan. Ayam dicuci bersih dan toskan. Satukan bahan kisar halus dan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes, ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 3/4 cawan). Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum. Tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing. Tambah pes rempah dah masak hingga rempah garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
- Masukkan ayam, gaul rata dan biar hingga ayam kecut. Tuang santan cair, kacau dan bila mendidih, masukkan nangka, asam gelugor dan kerisik. Kacau dan biar mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala.
- Tuang pati santan, masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukup rasa. Kacau rata dan masak dengan api kecil, kacau selalu dan masak hingga kari kelihatan pekat dan nangka empuk. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain....
2 Comments
Fuhh..kecur air liur ini ...
ReplyDeleteIni lauk orang kampung eden nih..
ReplyDelete