Dalca Ayam Ala Johor
Anda pasti dah biasa dengan masakan dalca. Bila sebut dalca, ia merupakan satu hidangan pelengkap bagi nasi minyak, nasi beriani dan pelbagai jenis nasi lagi. Kalau di Johor, dalca memang tak asing lagi. Selain dimakan bersama nasi2 berperisa seperti disebut tadi, ia juga sesuai dimakan bersama nasi putih, dibuat pencicah roti, prata, lempeng atau pun roti jala. Ada beza ke dalca orang Johor dengan neger2 lain?.. Hmm pada dasarnya sama, cuma yang mat tau lah kan, orang Johor buat dalca, mereka akan letak pisang muda dan ubi keledek dalam dia selain sayur2 lazim yang biasa diguna pakai. Kali ni mat tambah pisang muda, nak letak keledek, takde pulak. Selalunya dalca guna daging dan daging pulak jenis yang sedikit berlemak atau tetel. Tapi kali ni mat guna ayam, sebab mat kan kena aviod iteww daging, huhu..tapi bedal gak lah sekeping dua...cobaaaannnn!!!... Ok semak resipi pulak..tapi sebelum tu kita lihat entri pilihan DTS kali ini ---> di sini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 ekor ayam, dipotong kecil (agak2 lah yea, tapi jgn kecik sgt), cuci dan toskan
3 biji kentang, kupas, belah 8 setiap satu, rendam
1 batang lobak merah, dipotong baji, rendam
10 tangkai kacang panjang, kerat pendek
2 biji tomato, belah 4 setiap satu
1 biji terung bulat, buang sedikit kulit dan dadu besar, rendam
5 biji pisang muda, buang sedikit kulit luarnya, hiris sederhana tebal, rendam
1 cawan kacang dhal, rebus hingga empuk, tos dan asingkan airnya
2 biji cili merah, belah dua
2 biji cili hijau, belah dua
1 keping asam gelugor
1 cawan pati santan
2 camca besar cili kisar
4 camca besar rempah kari daging (Baba's)
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 pelepah daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3/4 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh bahan kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes. Ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing. Masukkan pes rempah kari dan terus memasak hingga rempah garing dan terbit minyak. Guna api sederhana dan kacau selalu.
  2. Masukkan ayam, kentang, pisang dan lobak merah. Gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya (juga air rebusan kacang dhal). Kacau rata dan masak hingga kentang empuk. Masukkan asam gelugor. Biar mendidih.
  3. Tambah kacang dhal, kacang panjang, terung dan santan. Kacau dan biar mendidih. Tambah garam secukup rasa dan secubit gula. Akhir sekali masukkan tomato dan cili merah/hijau yang dibelah. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi kegemaran anda atau roti canai, lempeng dan sebagainya..