Apam Balik
Salam petang Khamis, apa khabar...Sekarang ni mat perhatikan ramai sungguh orang dilanda demam, sakit tekak dan selsema.. Mungkin perubahan cuaca yang tak menentu dan mendadak, keadaan bumi pun macam kurang stabil. Ok hari ni mat share lah satu resipi apam balik yang mat ambik dari rumah Hana yang di Jepun tu. Exceli dah lama juga nak buat, resipi dah siap salin awal2 dulu. Kalau kita perhatikan bahan2nya kurang lebih macam pancake saja, dan rasa pun seakan2 sama, lain lah kalau apam balik pasar malam, hmmm memang berbeza koo.. Tapi kalau nak buat untuk minum petang bersama family ok juga, sedap, lembut dan lemak2 rasanya. Sekarang ni kan masa agak ketat, jadi nak letak 2 atau 3 N3 masak2 memang tak sempat. Projek tertangguh pun belum terlaksana...erkk dateline 25 HB nihh...satu hapa pun tak buat lagi...erkkk..tak bley jadi nih, kena rajinn...

Apam Balik
Satu adunan ni akan menghasilkan 7 - 8 keping apam balik, mat guna non-stick pan berukuran 20 cm. Satu petua untuk mendapat permukaannya yang mulus, tanpa panau atau tompok2 ialah, gunakan api paling kecil, lepas tu permukaan pan tu, mat cuma guna paper towel bersih, dicelup dalam sedikit minyak makan dan sapu nipis. Bila pan panas sedikit, sendukkan adunan, ratakan. Insya allah, permukaan apam atau pancake anda jadi mulus. Masa nak angkat tu pun berhati2, gunakan sudip plastik atau jenis silicone untuk mengelakkan non-stick pan calar dan apam tercedera..amacam faham kan?...hehehe..Ok jom lihat resipi pulak..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan tepung naik sendiri (self raising flour)
2 camca besar gula halus
3/4 cawan susu segar (mat guna 2/4 cawan susu sejat + 1/4 cawan air)
1 camca teh esen vanilla
1 biji telur
1/4 camca teh soda bicarbonate
1/2 camca teh baking powder
1 camca besar mentega cair
Secubit garam

BAHAN TABUR :-)
1/2 cawan kacang tanah, ditumbuk kasar*
2 camca besar gula pasir*(*disatukan)
1/2 cawan jagung cream
Sedikit mentega atau majerin

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Dalam bekas, satukan telur dengan gula, pukul hingga sebati. Tuang 1/2 cawan susu dan kacau rata. Masukkan tepung, soda bicarbonate dan baking powder, kacau rata dan tuang baki susu tadi. Masukkan mentega cair dan garam. Kacau hingga semua rata dan sebati. Ketepikan selama 15 minit.
  2. Panaskan non-stick pan, gunakan api paling kecil, sapu permukaan kuali dengan minyak (mat sekadar lap permukaan kuali dengan paper towel bersih yang dicelup sedikit minyak masak). Bila panas, sendukkan bancuhan tadi anggaran 1 1/4 senduk nasi, rata dan dia biar sekejap.
  3. Tutup permukaan pan tadi, bila kelihatan berbuih dan kering, boleh sapu sedikit mentega dan ratakan krim jagung, dan kacang tanah + gula pasir tadi. Biarkan sebentar, kemudian angkat dan lipat dua. Ulangi proses hingga siap. Boleh dihidangkan...