BEN ASHAARI

Monday, October 26, 2015

RESIPI MI SOTO

rsz_ms
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat skip masak nasi, sebab memang merancang dari semalam nak bikin mi soto. Tapi che mat rebus juga ketupat segera NONA, yelah kot ada yang tak nak mi. Mi soto bukan satu yang susah nak bikin. Yang penting kuah soto, kemudian anda boleh guna nasi impit, mi kuning atau pun mi hoon. Biasanya untuk soto, che mat suka guna rangka ayam, direbus perlahan kurang lebih 1 jam bersama rempah-ratus. Dalam masa sama rebus juga isi ayam terutama bahagian dada, yang ini untuk kita jadikan bahan sampingan masa makan nanti. Begedil antara yang wajib ada kalau anda bikin soto. Begedil che mat hanya guna kentang tak campur daging. Soto sering menjadi pilihan jika ada majlis2 rumah terbuka tak kira hari biasa atau pun di hari2 perayaan...

rsz_1ms1
Di Johor, sambal kicap antara bahan penting jika anda makan soto. Kurang 'bererti' soto tanpa sambal kicap. Bukan soto sahaja, malah benda bergoreng seperti, pisang goreng, keledek, keladi, sukun dan sebagainya yang digoreng harus ada sambal kicap sebagai pencicih, baru JOHOR namanya. Jika anda tidak gemar mi kuning, boleh ganti dengan mi hoon. Kuey teow juga ok, nak makan sama pasta pun boleh. Eh, che mat terlupa nak masukkan soo hoon dan kacang tanah goreng rupanya, patut rasa macam kurang satu bahan, tapi takpe, sebab mi soto, kalau guna ketupat atau nasi impit baru nampak tak berapa lengkap soto kita. Che mat kongsikan resipi kuah soto dan begedil yang simple untuk anda bereksperimen...Jommm....hujung minggu nanti boleh cuba...

BAHAN-BAHAN KUAH SOTO :-)
3 ketul rangka ayam (atau boleh guna kaki ayam dalam 500 gram), cuci bersih dan toskan
2 keping dada ayam, cuci bersih dan toskan
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
1/2 biji buah pala, diparut
2 1/2 camca besar rempah sup
1 camca besar rempah kurma
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1 pokok daun sup, potong kasar
1 camca besar penuh bawang goreng
Garam secukup rasa
Air secukupnya (anggaran 4 - 5 liter)
1 batang kayu manis*
1 kuntum bunga lawang*
6 kuntum bunga cengkih*
3 biji buah pelaga*(*rempah tumis)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya 
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Bawang goreng
Tauhu, digoreng dan hiris
Begedil
Sambal kicap
Daging ayam yang dicarik
Soo hoon goreng (optional)
Kacang tanah goreng (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH SOTO :- Bancuh bahan2 kisar halus, parutan biji pala, rempah sup dan rempah kurma dan kacau hingga menjadi pes rempah. tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan. Dalam periuk, panaskan 1/3 cawan minyak masak. Masukkan rempah tumis (*), serai dan lengkus dan tumis hingga harum. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga wangi dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan rangka ayam, gaul rata dan masak sekejap. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Masukkan 1 camca besar bawang goreng dan daun sup yang dipotong kasar. Jika ada buih2 yang timbul pada permukaan sup, cedok dan keluarkan. Biar mendidih dengan api perlahan selama 1 jam. Kacau sekali sekala.
  3. Kemudian masukkan lada hitam yang ditumbuk halus. Perasakan dengan garam secukupnya kalau anda nak masukkan sedikit serbuk perasa pun boleh, ikut selera masing2. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  4. UNTUK MENGHIDANG :- Mi kuning dicelur sekejap dalam air mendidih, toskan. Ambil secukupnya mi kuning dan taruk dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah soto secukupnya. Taruk taugeh, tauhu, daging ayam yang dicarik, hirisan daun sup hirisan daun bawang, bawang goreng, soo hoon goreng/kacang tanah goreng (jika ada), begedil dan hidangkan bersama sambal kicap. Sedap dimakan selagi hangat.

BEGEDIL KENTANG.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji kentang saiz besar
1 pokok daun sup, hiris halus
1 genggam bawang goreng, diramas
1 camca teh sebuk lada sulah
1 camca besar rata tepung gandum
Garam secukup rasa
1 biji telur, dipukul sedikit
1/4 cawan tepung gandum, untuk menyalut begedil

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas kentang, cuci dan toskan. Kemudian hiris lebar2 dan goreng hingga keemasan dan kentang empuk, guna api sederhana. Balik2kan agar masak sekata. Angkat, toskan minyaknya dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Lecek kentang tadi hingga hancur.
  2. Masukkan daun sup, bawang goreng, lada sulah, tepung gandum dan garam secukup rasa (anggaran 3/4 camca teh). Gaul hingga semua rata. Kemudian ambil 1 camca besar rata adunan tadi, bulat2kan dan tekan leper sedikit. Taruk dalam dulang yang beralas plastik bersih. Buat hingga siap.
  3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali leper (che mat guna non stick frying pan).Golek2kan begedil dengan tepung gandum. Kemudian celup dalam telur dan taruk dalam pan tadi, buat untuk 7 - 8 biji sekali goreng, bergantung pada saiz pan anda guna.
  4. Biar masak sekejap, kemudian terbalikkan dan masak hingga kuning keemasan. Angkat, toskan minyaknya dan taruk atas tissue dapur bersih. Buat kaedah sama untuk baki begedil. Boleh hidangkan bersama mi soto..

No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.