BEN ASHAARI

Monday, November 25, 2013

AYAM CENCALOK NYONYA MELAKA...

rsz_ayam_cencalok_nyonya_melaka
Ayam cencalok nyonya Melaka?...Simbolik sangat kan nama masakan ni, sebenarnya che mat dah beberapa kali buat dan ia tidak menjemukan. Makan dengan nasi panas aje pun sudah cukup mengasyikkan. Nampak macam aneh, tapi rasanya memang sedap...yang tak makan cencalok pun ada tu tidak menolak bila dihidangkan. Resipi asal dari chef nyonya yang che mat hormati, siapa lagi kalau bukan Chef Florence Tan yang awet muda sentiasa. Dan sebagai menghormati beliau, che mat tambah "Nonya Melaka" depan nama "Ayam Cencalok" tu. Pertama kali che mat buat dulu dan terus rasa suka, ini antara resipi yang harus dipelihara kerana keunikkannya. Buat pun tidak lah susah mana. Walaupun ia menggunakan cencalok, tapi dari segi rasa, tidaklah kuat mana rasa cencalok. Bagi anda yang suka pedas, anda boleh ketukkan 3-4 biji cili padi. Che mat hanya guna cili merah dan hijau. Masakan seperti ini anda harus berhati2 dalam penggunaan garam, sebab cecalok memang sedia kala masin...Ok, che mat tulis resipi ayam cencalok nyonya Melaka. Sebelum tu, kita kasi pantun satu rangkap dulu...

PANTUN GURINDAM SENI PUSAKA,
MAKSUD YANG ELOK SIMPAN DI DADA,
AYAM CENCALOK NYONYA MELAKA,
MASAKNYA MUDAH PANTANGNYA ADA.

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram dada ayam, hiris memanjang, cuci dan toskan
8 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 biji cili merah, belah 2 setiap 1, buang biji dan hiris serong
1 biji cili hijau belah 2 setiap 1, buang biji dan hiris serong
3 camca besar cincalok, toskan dan perah sedikit airnya
3 helai daun limau purut
1/2 camca besar pes asam jawa (atau 4 biji limau kasturi, perah jusnya)
1/2 cawan air
1 camca teh gula
Garam jika perlu

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
1/2 inci kunyit hidup
2 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang putih hingga harum, masukkan bahan2 tumbuk halus dan tumis hingga wangi, tambah cencalok dan pes asam jawa. Kacau rata. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam berubah warna. Tuang air, kacau dan biar mendidih.
  2. Masukkan daun limau purut, bawang merah hiris, cili hijau dan cili merah. Kacau rata dan masukkan gula. Masak hingga pekat, rasa dan jika perlu baru masukkan garam secukup rasa. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan lauk2 lain..

2 comments:

gadisBunga™ said...

tengkiu che mat konsi resepi! nanti nak buat!

careno said...

tak penah try lg ni... mcm sodap jer...

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.