BEN ASHAARI

Thursday, December 31, 2009

SELAMAT TAHUN BARU 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010 UNTUK SEMUA PENGUNJUNG BLOG MAT. MOGA DI TAHUN BARU INI MEMBAWA KEBERKATAAN DAN KEBAIKKAN UNTUK KITA SEMUA. TAK LUPA SELAMAT TINGGAL TAHUN 2009 YANG SUNGGUH BERMAKNA DAN PENUH KISAH SUKA DUKA MANUSIA SEJAGAT....MOGA ALLAH S.W.T MEMBERKATI KEHIDUPAN KITA SEMUA......

Wednesday, December 30, 2009

KEK SARANG LEBAH

Kek Sarang Lebah
Kek sarang semut, kek sarang lebah, kek gula hangus dan kalau dalam bahasa orang putih depa dok gelar honeycomb cake... hakikatnya kek yang sama. Resipi nampak mudah, tapi ada masa tak menjadi. Kalau produk akhir menjadi seakan2 apam gula hangus, tu bermakna anda fill....macam mat buat duluuu (tak masuk dalam blog sebab tak jadi...hehehe).... Tadi buat lagi, menjadi lah juga cuma masih belum puas hati, sebab sarang dia tak berlubang besar2....cuma lubang halus2 saja, tapi masih nampak macam sarang lebah.... Tak kesah lah kan janji jadi dan sedap dimakan. Resipi mat dah simpan lama, tapi kurang pasti lah kat mana aku kutip, kalau search kat google, dah melambak resipi sama di blog rakan2 cyber... Jadi mat berterima kasih je lah pada pemberi resipi asal.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan gula pasir
1 cawan air panas
2 camca besar mentega
1 cawan susu pekat manis
1 cawan tepung gandum*
2 camca teh soda bicarbonata*(*digaul dan diayak)
4 biji telur
1/2 camca teh esen vanilla

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan gula pasir dalam periuk, masak hingga gula cair dan menjadi perang, tuang air panas sedikit demi sedikit hingga habis, kacau rata (berhati2, sebab masa tuang air, gula tadi akan memercik). Masukkan mentega, kacau hingga cair dan sejukkan.
  2. Putar telur hingga kembang dan pekat, masukkan susu pekat manis, kacau rata. Masukkan tepung, kacau rata dan akhir sekali masukkan no. 1 dan juga esen vanilla. Gaul rata dan perap adunan 2 - 3 jam.
  3. Tuang dalam tin yang telah dilenser dengan mentega dan alas dasar tin (mat guna tin 8 x 6 x 3 inci) dengan aluminium foil, lenser juga aluminium tadi, bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170C selama 1 jam atau hingga masak, bergantung pada oven masing. Sejukkan sebelum dipotong...

Tuesday, December 29, 2009

KUIH BAKAR

Kuih Bakar
Salam untuk semua, dah beberapa hari teragak nak makan kuih bakar. Bukan tak boleh beli, tapi saja je nak buat, lagi pun nak membuatnya bukan lah payah bebeno, kata mamafami sepatah "masuk semua sekali then putaq, peh tu bakar!"..tu dia pakar yang cakap, bukan mat...hehehe. Rasanya dah pernah buat dulu, resipi dari "Jo'....rindu lah nak menjelajah blog dia (laa ni dia dah berehat dari ber"blog").... Rasanya tak manis sangat, kuih dia pun just nice tak keras dan tak terlalu lembut (pastikan kuih betul2 sejuk sebelum dipotong!!!). Bijan atas dia tu lagi lah menambah keharuman dan ke"lemak"kan kuih bakar....Jomm ramai2 kita semak resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan tepung gandum
3 biji telur gred A
600 ml santan
250 ml jus pandan (kisar 4 -5 helai daun pandan dengan 200 ml air, perah dan tambah air untuk mendapatkan 250 ml)
Sedikit pewarna hijau
1 cawan gula
1/2 camca teh garam
2 camca besar minyak sapi, dicairkan (resipi asal guna mentega)
Bijan secukupnya untuk ditabur

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 200C. Lenser tin (4 x 8 x 3) inci dengan mentega, alas dengan aluminiun foil dan lenser juga aluminium foil tadi. Biar berlebih sikit dibahagian kanan dan kiri tin, supaya senang nak keluarkan kuih bila masak nanti. Ketepikan.
  2. Satukan semua bahan2 di atas kecuali bijan, dan kacau dengan whisk hingga larut dan halus atau masukkan dalam blender dan kisar halus. Tapis adunan dan ketepikan.
  3. Panaskan tin dalam ketuhar selamat 5 minit. Berhati2 keluarkan tin dan curah no. 2 ke dalam tin dan bakar kembali. Lepas 10 minit, keluarkan kuih tadi dan tabur bijan rata2.
  4. Sambung membakar selama 40 - 50 minit lagi hingga permukaan kuih keperangan dan sedikit berkerak. Bila masak, longgarkan tepi kek dengan pisau dan biar sejuk sepenuhnya dalam tin. Potong dan hidangkan....
CATATAN MAT GEBU :- Lepas mat bakar dalam 55 minit, permukaan kuih masih kurang perang, walau pun sudah kekuningan. Apa mat buat, ialah tukar api oven kepada fungsi grill dan bakar 10 minit lagi (bagi yang mempunyai oven fungsi grill). Kuih ni kan kalau berkerak lagi sedap..... Selamat mencuba!!!

Monday, December 28, 2009

GULAI PEDAS UDANG

Gulai Pedas Udang
As'laikum semuaa, apa khabar..Hari ni masukkan resipi ulang tayang yang ke sebelas ribu juta kali..ahaks, tak lain tak bukan gulai udang galah....kenapa udang galah?...sebab musim udang galah telah kembali. Seperti biasa udang ni masak apa2 pun sedap. Tapi kan nak cerita sikit, udang galah ni pun ikut sungai..kalau sungai tu 100% air tawar, udang dia rasa lain, kalau sungai yang ada pasang surut (bercampur air laut) udang nya lagi sedap dan rasa berbeza sikit. Lagi satu kata orang2 tua..kalau sungai banyak udang, mesti ada "pak ya"....seramm sehh!!... Jomlah tengok resipi kalau sudi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
10 ekor udang galah bersaiz besar
2 -3 biji timun
2 helai daun kunyit, disiat2
2 batang serai, dititik
1 keping asam gelugor
800 ml santan cair
300 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
20 - 30 biji cili padi hijau*
1 inci kunyit hidup*
7 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci belacan*(*ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, kerat kaki2 kecil, kerat muncung nya yang tajam dan juga sedikit kulit kepalanya. Perlahan2, menggunakan hujung pisau tarik keluar kotoran dari kepalanya (kira mcm beg sampah si udang tuu, seperti dalam gambar). Buat hingga siap, cuci bersih dan toskan. Timun dikupas kulit, kerat 2 setiap biji, belah 4 setiap keratan. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, satukan udang, serai titik, bahan tumbuk halus dan sedikit santan cair. Kacau rata dan masak atas api sederhana hingga udang kecut (jadi warna kemerahan). Tuang lebihan santan cair, kacau dan biar mendidih.
  3. Tambah asam gelugor dan timun. Tuang pati santan dan tambah garam secukup rasa dan secubut gula. Masukkan daun kunyit dan biar mendidih perlahan 2 - 3 minit sambil dikacau selalu.
  4. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi hangat, sambal belacan dan ulam-ulaman. Kalau rasa tak nak guna cili padi, takut pedas, boleh ganti dengan cili merah dalam 3-4 biji...

Saturday, December 26, 2009

KEISTIMEWAAN 10 MUHARRAM.....

Waterlily
As'laikum semua, kita lari sedikit dari hal masak2. Esok hari Ahad bersamaan 10 Muharram (hari "Asyura") 1430 hijrah, adalah hari yang begitu istimewa dalam bulan Muharram. Banyak peristiwa2 penting yang belaku pada hari tersebut, antaranya :-)

Allah SWT menjadikan ’Arasy;

Allah SWT menjadikan Lauh Mahfuzh;

Allah SWT menjadikan Qalam;

Allah SWT menciptakan alam;

Hari pertama Allah SWT menurunkan rahmat;

Hari pertama Allah SWT menurunkan hujan dari langit;

Allah SWT menjadikan Malaikat Jibril;

Nabi Adam a.s. bertaubat kepada Allah SWT dan taubatnya diterima sehingga dia bersih dari segala dosa dan kesalahan;

Nabi Idris a.s. diangkat oleh Allah SWT ke langit;

Nabi Nuh a.s. berlabuh bahteranya setelah mengharungi banjir yang melanda bumi selama 6 bulan;

Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan dari api Raja Namrud;

Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk beberapa tahun akibat fitnah Zulaikha;

Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun setelah berada dalam perutnya selama 40 hari;

Nabi Daud a.s. diampuni Allah SWT;

Nabi ’Isa a.s. dinaikkan kelangit sewaktu dikejar kaum pelampau Yahudi yang ingin membunuhnya;

Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya, dengan membelahkan Laut Merah sebagai laluan untuk melepaskan dari dikejar oleh Fir’aun dan bala tenteranya;

Allah SWT menurunkan Kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.;

Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan dengan sebuah kerajaan yang besar;

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Tirmidzi, daripada Abu Qatadah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, ”Puasa pada hari ’Asyura’ bahawasanya aku kira Allah SWT akan menebus dosa tahun yang dahulunya.”

Dalam riwayat yang lain, dianjurkan kita berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas hari ’Asyura’ supaya puasa itu berlainan dari puasa kaum Yahudi, yang perpuasa pada hari itu.

Begitulah satu hari yang penuh rahmat, pengampunan, pertolongan, penyelamatan, barakah dan kebesaran. Yang sesuai disambut dengan penuh kesyukuran.Memperbanyakkan zikrullah, istighfar, bersedekah, menziarahi orang-orang sakit dan sebagainya....

Sunday, December 20, 2009

BAHULU LAPIS

Bahulu Lapis
As'laikum semua, salam maal hijrah untuk semua umat Islam, masih belum terlewat kan ucapan tu....Kebelakangan ni mat sibuk sikit, memasak tu ada juga, tapi lauk biasa2, macam singgang, gulai dan sebagainya...nak tangkap gambar pun tak sempat. Dalam masa yang sama juga ada tetamu bermalam dirumah. Resipi hari ni agak mudah dan merupakan resipi olahan dari resipi "bahulu gulung" (n3 dibawah). Mat saja nak menghabiskan stok strawberry dan kiwi filling, jadi kita cuba ubah suai dari bahulu gulung ke bahulu lapis. Resipi asal dari "Ayin Yin"....

Bahulu Lapis
Membuatnya mudah teramat sangat, yelah kalau mana yang malas nak gulung tu boleh buat berlapis macam diatas, selain cantik, ianya juga sedap. Lagi satu, rasanya kurang manis, tapi kalau lapisan tu disapu jem, rasanya boleh tahan juga manis. Kalau sapu dengan bluberry filling pun sedap.... Kalau resipi asal ada menggunakan tepung jagung, kali ni mat guna 100% tepung gandum sahaja, hasilnya masih sedap, lembut dan gebu... Jadi kalau rajin boleh lah mencuba yeaa....

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji telur gred A
100 g gula pasir
100 g tepung gandum*
1/2 camca teh baking powder*
1/4 camca teh serbuk vanilin*(*digaul rata dan diayak)
3 camca besar mentega, cair dan sejukkan
Strawberry filling secukupnya
Kiwi filling secukupnya



CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 180C. Lenser loyang berukuran (14 x 14 x 1) inci dengan mentega, alas dasarnya dengan kertas minyak, lenser juga kertas tadi, biarkan kertas lebih tinggi dibahagian kanan dan kiri tin, tujuan supaya senang mengalihkan kek bila masa. Ketepikan.
  2. Putar telur dan gula pasir dengan kelajuan tinggi sehingga kembang dan pekat. Pada kelajuan perlahan, masukkan tepung sedikit demi sedikit. Putar rata, kemudian masukkan mentega cair. Putar sekejap hingga sebati.
  3. Tuang dalam tin tadi, ratakan dan bakar 25 - 30 minit hingga kuning keemasan dan kek akan mengecut sedikit di sekeliling tin. Keluarkan dari oven, alih atas jaringan dan biar sejuk (alih dengan mengangakat lebihan kertas dibahagian kiri dan kanan tin tadi).
  4. Tanggalkan kertas pengalas tadi perlahan2. Potong kek kepada 4 kepingan yang sama saiz (7 x 7) inci. Sapu dengan kiwi filling, lapiskan, kemudian dengan strawberry filling, lapiskan dan terakhir dengan kiwi filling, lapiskan dengan kepingan terakhir.
  5. Kemaskan tepi2nya dan boleh dipotong, hias ikut kreativiti masing2 sebelum menghidang. Perisa jem atau filling bergantung pada selera masing2. Kalau guna blueberry filling pun sedap!!!...Selamat mencuba!...

Sunday, December 13, 2009

BAHULU GULUNG

Bahulu Gulung
As'laikum semua, selamat petang.....Dah minum petang ke semua, hari ni mat buat bahulu gulung, sesaja nak menghabiskankan "strawberry filling"....nak buat muffin macam malas dan jemu, jadi kita buat bahulu gulung. Resipi mat guna "Ayin Yin" dari blog "Manis Manis.., Bahulu dia kurang manis dan sedap bila dimakan bersama jem atau isian yang kita sapu tu. Terima kasih kerana sudi berkongsi resipi..... Ok ni mat resipi dia....senang je nak buat u!!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji telur gred A
100 g gula pasir
100 g mentega, cair dan sejukkan
1/4 camca teh vanilin@1/2 camca teh esen vanilla
75 g tepung gandum*
25 g tepung jagung*
1/2 camca teh baking powder*(*disatukan diayak)
Jem kegemaran secukupnya (mat guna "strawberry filling)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Lenser tin 12 inci x 12 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser kertas minyak. Panaskan oven pada suhu 180C.
  2. Putar telur, gula dan serbuk vanilin hingga kembang dan pekat, gunakan kelajuan tinggi. Pada kelajuaan perlahan, masukkan tepung yang telah diayak tadi. Putar rata.
  3. Tuang mentega cair dan gaul hingga sebati. Tuang dalam tin dan bakar 25 - 30 minit atau hingga kuning keemasan.
  4. Biarkan sejuk sebentar dan terbalikkan di atas sehelai kertas minyak. Sapu jem kegemaran dan gulung kemas. Potong sebelum dihidangkan.

Thursday, December 10, 2009

AYAM MASAK HALIA BERKUAH

Ayam Masak Halia Berkuah
Salam sekali lagi, baki ayam kampung tu mat masak satu lagi resipi mudah, yelah kan rendang pedas tu kalau budak2 makan, ada kang masing2 mulut semua melopong, pastu menelan air batu sehendak2 tidak... Kalau resipi yang ni tak pedas cuma berangin sikit2 jeee....Sepatutnya tak letak kentang, tapi guna cendawan butang, cuma kali ni mat kehabisan stok cendawan butang, aku belasah je kentang. Sedap leerr guna kentang!!....

BAHAN - BAHANNYA :-)
700 g ayam, dipotong sederhana besar (mat guna ayam kampung lebih masak rendang tu)
4 biji kentang sederhana besar, kupas dan potong 4 setiap biji, rendam
70 g halia muda, dihiris halus
4 ulas bawang putih, hiris halus
1/2 camca teh lada hitam biji, tumbuk halus
1 batang leek, dikerat2
1 camca besar sos tiram
1/3 cawan kicap cair
2 camca besar sos "lee & perrins"
1 camca besar sos lada hitam
1/2 camca teh minyak bijan
1500 ml air
Garam dan gula (jika perlu)
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Hirisan halus halia muda, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, masukkan minyak bijan. Tumis halia dan bawang putih hingga harum, masukkan sos tiram, sos lada hitam, lada hitam tumbuk, sos "lee & perrins" dan leek. Kacau rata dan masukkan ayam, gaul dan biar ayam kecut.
  2. Tambah air dan masukkan kicap cair. Biar mendidih dan masak hingga ayam lembut. Masukkan kentang dan terus memasak hingga kentang empuk. Tambah 1/2 camca teh gula dan rasa dan jika perlu tambah sedikit garam. Masak 1 - 2 minit lagi dan boleh diangkat.
  3. Tabur dengan hirisan daun bawang dan halia muda sebelum dihidangkan bersama nasi hangat atau pun bubur nasi.....

RENDANG PEDAS REMBAU

Rendang Pedas Rembau
3 hari lepas, kami telah korbankan seekor ayam kampung yang agak besar atas sebab2 tertentu, kira tu ayam senior leerr. Besar bukan main, selepas dibersihkan semua bulu, beratnya kurang lebih 2.5 kg!!...besar kan ayam tu. Bonda mat dah siap2 semua siang dan kerat2....Jadi giliran hamba pulak menentukan menu untuk ayam tu. Mat buat 2 jenis masakan. Ok yang pertama ni kita masak rendang pedas rembau. Bahan2 digunakan pun tak banyak dan mudah untuk dimasak.... tapi untuk perhatian, mat masak rendang ni menggunakan periuk tekanan@ pressure cooker bagi menjimatkan masa. Faham2 jelah ayam kampung kalau dah senior....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1.8 kg ayam kampung, dipotong sederhana besar
2 inci halia + 5 ulas bawang putih = ditumbuk halus
500 ml pati santan*
2 liter santan cair*(*dari 2 biji kelapa)
4 helai daun kunyit, mayang halus
2 helai daun limau purut (optional)
1 camca besar gula melaka
2 camca besar kerisik
3 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
3 inci halia tua*
1 inci kunyit hidup*
15 batang serai, hiris halus*
2 genggam cili padi hijau*(*dikisar halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sehari sebelum memasak rendang, ayam tadi dicuci bersih, cucuk2 dengan garfu dan perap bersama halia + bawang putih tumbuk dan sedikit garam. Simpan dalam peti sejuk.
  2. Dalam kuali, masukkan ayam tadi bersama bahan kisar halus, gaul rata dan masak dengan api perlahan hingga ayam sedikit kecut. Tuang santan pekat dan juga santan cair. Kacau rata dan biar mendidih.
  3. Bila kuah pekat. Tambah kerisik, gula melaka, daun limau purut (optional), garam (yang ni kena jaga2, kalau tak rendang jadi masin bila kering) dan asam gelgor. Kacau rata, dan terus memasak hingga rendang hampir kering.
  4. Jika ayam masih belum lembut, tambah air panas secukupnya dan terus memasak hingga ayam lembut. Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit, gaul rata dan boleh diangkat.
  5. KAEDAH MEMASAK MENGGUNAKAN "PRESSURE COOKER" :- Masukkan ayam, bahan kisar halus, daun limau purut (jika guna) dan sedikit garam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang pati santan dan tambah sedikit lagi santan cair (jangan isi banyak2 santan, cukup sekadar menutup ayam tadi). Kacau rata dan tutup periuk tekanan. Didihkan hingga bunyi "berdesir" kedengaran. Kecil kan api dan terus memasak 20 - 25 minit. Kemudian angkat periuk tadi dan letak bawah air paip mengalir untuk menyejukkan periuk. Bila tiada lagi bunyi desiran, buka periuk dan alihkan ke dalam kuali. Masukkan kerisik, asam gelugor, gula melaka dan sedikit lagi garam jika perlu. Masak seperti biasa hingga rendang kering. Tambah hirisan daun kunyit, gaul rata dan boleh matikan api. Kering atau lembap rendang tadi terpulang pada citarasa masing2.....Lagi satu, teknik penggunaan "pressure cooker" bergantung pada jenis periuk yang anda miliki..

LEMAK PUTIH UMBUT KELAPA

Lemak Putih Umbut Kelapa
Salam semua, hari ni nak masak satu lauk yg biasa orang2 kampung masak, terutama jika penebangan pokok kelapa dilakukan. Sekali imbas rupa masakan umbut kelapa tu macam rebung. Tapi umbut kelapa rasanya lemak dan manis. Sedap dimasak lemak putih, lemak pedas, acar dan kerabu. Kira ini antara makanan yang murah tapi sedap.....Umbut tu abah mat pi ambik kat kebun, asalnya pokok kelapa tu elok je, dek kerana hangat hati dia tebang pokok tu dan ambil umbutnya....biasalah kat kampung ni kadang2 masalah juga, kebun kita dah mcm hak org ramai, nak ambik apa, main rembat jeee.....jadi dari asyik naik hangin, elok lah kita hapus kan saja pokok2 tu semua.....senang cerita!!!....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1.5 kg umbut kelapa, disagat nipis dan rendam (aggaran sahaja)
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit, tos dan tumbuk kasar
1 camca teh lada hitam biji, tumbuk halus
2 - 3 batang serai, dititik (tak suka serai, ganti dgn daun kunyit)
1200 ml santan cair
300 ml pati santan
2 biji bawang besar, hiris halus
4 ulas bawang putih, diketuk
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan umbut tadi dan masukkan ke dalam periuk bersama2 udang kering, bawang besar, bawang putih, lada hitan dan serai. Kacau rata dan tuang santan cair. Masak hingga mendidih.
  2. Perlahankan api dan masak lagi hingga umbut lembut. Tambah santan pekat, garam secukup rasa dan secubit gula. Kacau rata dan biar mendidih perlahan untuk 2 - 3 minit lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan, ulam-ulaman dan ikan masih atau ikan goreng...kalau ada petai atau jering, lagi lahh sedap.......

Tuesday, December 8, 2009

KARI ASAM IKAN PARI...

Kari Asam Ikan Pari
As'laikummm...aloo apa kabar semuaa, salam selasa....Masih lagi dalam mood "peranakan", hari ni mat menghabiskan baki ikan pari. Nak masak asam pedas dah jemu, goreng pun macam tak lalu, nak panggang, baru semalam buat. Jadi mat masak lah "kari asam", rasa2nya dah ada kot resipi kat sini. Kadang2 ada juga orang komen kat mat, ada tu kat email, depa dok tanya, aku ni tunjuk gambar masakan ke atau tayang set pinggan mangkuk?...Aiseyy menn, pedas kan, tapi alah small matter, tak kuasa nak layan, itu hak aku laaa, nak letak apa pun...Lagi pun pinggan mangkuk ni semua sendiri punya, ada aku pinjam mak abah koo punya keee?...Amacam pedas tak?.... Kekadangkan gaya pertanyaan tu tak salah, tapi style ayat depa tuu, adehhhh..manyak busuk maaaa!!!!.....

Kari Asam Ikan Pari
Ok berbalik pada resipi ni, ianya ibarat gabungan tiga bangsa, asam pedas org melayu + kari orang india + dimasak oleh cina peranakan....kelas kann. Lagi satu mat perhatikan, rasanya begitu unik, tapi penggunaan herba seperti serai, bunga kantan dan daun kesom adalah "wajib" untuk mendapat rasa sebenar. Tatau lah orang lain, tapi ini resipi yang mat masak. Jika tak makan ikan pari, guna ikan tenggiri pun sedap..Ayam pun sedap juga dimasak gaya sebegini....dah tema "Nyonya Delicacies", kena lah pantun lagi...

PERAHU BERLABUH DI TANJUNG TUAN
BAWA BERSAMA INTAN PERMATA
KARI ASAM LAUK PERANAKAN
BUAT TATAPAN GENERASI KITA

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 keping ikan pari, kurang lebih 700 g
2 biji tomato, dibelah 4 setiap biji
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap kuntum
2 batang serai, dititik
1 genggam daun kesom (laksa leaf)
1 cawan jus asam jawa
1/2 cawan cili kisar
2 1/2 camca besar rempah kari ikan
1 liter air (atau secukupnya)
Garam dan gula secukup rasa
8 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci belacan, dibakar*
1/2 inci kunyit hidup*
1/2 inci lengkuas*
1/2 inci halia*
3 biji buah keras*
15 biji lada hitam*(*ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dikerat kepada beberapa bahagian, perap dengan jus limau kasturi dan garam 10 minit, cuci bersih dan tos, ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan tumbuk halus dan serai. Tumis hingga harum dan masukkan cili kisar dan rempah kari (tambah sedikit air untuk mengelakkan rempah kari hangus). Terus menumis hingga harum dan terbit minyak.
  3. Tuang air, kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan pari, bunga kantan dan daun kesom. Bila mendidih, tuang jus asam jawa, tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Biar mendidih perlahan.
  4. Akhir sekali masukkan belahan tomato dan masak 1-2 minit, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas. Selalunya kari asam ni memang rasa masam sedikit......

Monday, December 7, 2009

IKAN BAKAR ALA NYONYA...

Ikan Bakar Ala Nyonya
Salam Isnin semua....sebelum apa2, nak cerita sikit, tau tak plan nak bakar ikan pari ni dah seminggu lebih, ikan tu pun macam dah merajuk. Bayangkan 2 hari lepas mat bangun dalam jam 2 pagi, keluarkan ikan dari freezer, lepas tu sempat chat dengan mamafami pulak tu (yang mama tu pun macam burung pungguk, pagi2 buta jam 2 dia bakar muffin, sabau jeee aku!!), dan sempat berborak pasal menu yang nak dimasak pagi tu.....Selain lemak pedas jantung pisang, mat nak bakar ikan. Bila sampai time nak memasak, tiba2 kan aku jadi malass kooo, teruk kan penyakit malas ni...ikan tu kena lah simpan balik dalam freezer. Dannn hari ni baru lah kerajinan tu datang, itu pun sebab segan dengan mama, yelah berdegar2 nak bakar ikan kononn, last2 hampeh..hehehehe...

Ikan Bakar Ala Nyonya
Hari ini mat bakar ikan gaya nyonya...kenapa nyonya? Sebab dari rempah dan herba yang mat guna ada antara tu paling kerap digunakan di dapur peranakan. Mat balut dengan daun kunyit sebelum dibalut dengan aluminium foil, kalau dapat balut dengan daun pisang sebelum tu lagi bess...apa nak buat pisang semua dah arwah kat rumah ni, kalau daun pokok lain banyak lah, takut, lepas makan, terbongkang kat katil hospital pulak sebab keracunan, choyy!!! ..suweyy ko cakap macam tuuu!....hehehe.. Eh, sebab ini masakan ala2 peranakan, mesti ada pantun, tak gitu...

MAMAFAMI BERKASUT MANIK,
SAMBIL MENYALAI DAGING RUSA,
MASAKAN PERANAKAN MEMANG MENARIK,
BOLEH DIMAKAN TAK KIRA MASA

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 keping ikan pari (anggaran 500g), perap dengan garam dan asam jawa, cuci bersih dan toskan
2 helai daun kunyit, siaz besar
2 kuntum bunga kantan, hiris halus
2 helai daun limau purut
1/2 cawan santan
3 biji limau kasturi, ambil jusnya
2 keping aluminium foil
Garam dan gula secukupnya
4 camca besar cili kisar (boleh guna 6 - 7 biji lada merah)
8 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1/2 inci lengkuas*
1 hirisan nipis halia*
2 biji buah keras*
2 batang serai, hiris halus*
1/2 inci belacan, dibakar*
1/2 inci kunyit hidup*(*ditumbuk lumat)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. PES REMPAH :- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk lumat hingga harum, masukkan santan, daun limau purut, garam dan gula secukup rasa. Masak dengan api perlahan hingga menjadi pes. Matikan api, masukkan jus limau kasturi, kacau rata dan ketepikan

  1. UNTUK IKAN BAKAR :- Bentangkan sekeping aluminium foil, alas dengan daun kunyit. Pes rempah dibahagi kepada 4 bahagian. Ratakan 1 bahagian pes rempah tadi dan tabur hirisan bunga kantan. Letak sekeping ikan pari, lumurkan dengan 1 bahagian lagi pada keseluruhan ikan, tabur dengan bunga kantan. Bungkus kemas2. Buat kaedah yang sama untuk yang lagi satu.
  2. Bakar ikan tadi atas api bara hingga masak, kurang lebih 15 minit untuk setiap bahagian. Atau boleh juga dibakar dalam oven. Bakar dalam kuali pun ok, cuma kalau guna api bara, bau dan rasa dia lagi sedap. Enak dimakan begitu saja atau boleh juga perahkan jus limau kasturi lagi sebelum dimakan....yumm yumm!!...

ASAM PEDAS IKAN SEMBILANG LAH LAGI!!!....

Asam Pedas Ikan Sembilang
As'laikum, sebelum tu...."perhatian"...masakan asam pedas ini adalah atas permintaan, jadi tolong jangan komplen kata ini lauk ulang tayang, resipi dah basi, atau "macam dah tak de idea jee, asyik2 asam pedas". Apa2 pun mat letak kat sini adalah tanpa paksaan dari sesiapa. Yelah kan mana u all nak, resipi ulang tayang ke atau blog ku ditumbuhi hutan belukar dan didiami tenggiling, kutu, beruk dan ular?.... Oleh yang demikian, dediam dan kalau sudi tengok dan jika tak sudi JANGAN tengok!!!......Ok ini resipinya....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan sembilang sederhana besar
1 cawan jus asam jawa
1 genggam daun kesom
1 cawan cili kisar
1/2 inci halia, dititik
1/2 inci lengkuas, dititik
Garam dan gula
8 biji bawang merah*
1/2 inci kunyit hidup*
3 ulas bawang putih*
1/2 camca teh halba*
1/2 inci belacan*
3/4 camca teh lada hitam (optional)*(*ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan sembilang, dikerat2, cuci dan perap dengan garam dan jus limau nipis 10 - 15 minit. Cuci bersih dan toskan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan tumbuk halus, halia dan lengkuas dan tumis hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga terbit minyak. Tuangkan air (anggaran 700ml) dan biar mendidih.
  3. Masukkan ikan dan daun kesom, kacau rata. Tambah jus asam jawa, perasakan dengan garam dan secubit gula. Biar mendidih perlahan 3 - 4 minit hingga ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
CATATAN MAT GEBU :- Jika suka boleh tambah terung, bendi, sawi jeruk atau tomato. Terpulang pada kegemaran masing2. Mana yang guna serbuk perasa tu, boleh juga dicampakkan dalam 1/4 camca teh, bagi sedap lagi katanya!(kalau lebih2, tak lama pastu botak lah kepala u all.....tak dapek den nak menolong!!!)...

Sunday, December 6, 2009

LEMAK PEDAS JANTUNG PISANG

Lemak Pedas Jantung Pisang
Salam sejahtera untuk semua, dah makan tengah hari ke?....Ada tu bersiap2 nak pi majlis perkahwinan nampak......mesti ada kang pengantin perempuan tanya " u dah potong ke?'....hehehe.."of couse!!" jawab pengantin jantan..ahak, ambik koo!!.. Hari ni kan plan asal nak nak bakar ikan pari, sekali macam malas pulak. Jadi mat masak jelah lemak pedas jantung pisang. Ini mat gunakan jantung pisang hutan, rasanya lemak dan sedap. Kalau nak guna jantung pisang lain pun ok, cuma jantung pisang hutan ni kecik, kena guna lebih sikit dalam 2 - 3 biji. Kalau yang makan petai, boleh tambah petai dalam masakan ni, lagi leerr sedap dan boleh melelehh air liur gitu....ok jom kita semak resipi....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 - 3 biji jantung pisang hutan (atau jantung pisang biasa, ikut saiz, kalau besar guna 1 dah ok)
10 ekor udang bersaiz besar, dibersihkan
2 keping tempe, dikerat2
2 papan petai (optional)
2 helai daun kunyit, disiat2
300 ml pati santan
800 ml santan kemancar (santan cair)
2 keping asam gelugor
Garam dan gula
20 - 30 biji cili padi hijau (byk mana, ikut suka memasing)*
1/2 inci kunyit hidup tua*
7 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci belacan, dibakar*(*ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Jantung pisang, dibelah 4 setiap biji dan masukkan ke dalam periuk bersama bahan2 tumbuk halus, asam gelugor dan udang. Gaul rata dan tuang santan kemancar. Jerang atas api hingga mendidih, masukkan tempe. Kecilkan api dan masak hingga jantung lembut.
  2. Tambah daun kunyit, petai (akalu guna), garam dan gula secukup rasa. Masak lagi 3 - 4 minit dengan api swderhana sambil dikacau sekali sekala. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat dan ulam-ulaman serta ikan goreng......sedappp uuu!!!!...
CATATAN MAT GEBU :- Kalaup perhatikan, jantung pisang tu mat tak celur dulu kan, dari pengalaman dan hasil tunjuk ajar orang terdahulu...jantung pisang, pisang muda atau nangka muda tak perlu dicelur, kira rebus dengan santan cair dengan rempah untuk gulai hingga lembut dan terus masak seperti biasa. Ini akan mengekalkan rasa manisnya.....

Saturday, December 5, 2009

MOCHA BUN

Mocha Bun
As'laikum semua, selamat malam, sebenarnya nak masukkan n3 ni petang tadi, tapi siang tadi ada hal lain yang perlu dibereskan. Hari ni mat cuba buat roti yang menggunakan sejenis bahan pemangkin yang di panggil "water roux"... Ini semua mat jumpa masa menziarah blog mamafami, dia tu kan rajin mencuba segala macam tok nenek resipi, baik barat mau pun timur, tah2 resipi kutub utara pun dia tau. Tapi resipi bun ni mat kutip kat blog "hana" the vouge jawa mom yang baru menghasilkan anak baru2 ni..amponnn Hana!!!, dengan penambahan "water roux" ini roti menjadi anjal, lembut dan memantul bila ditekan (tapi kalau u all pijak dgn kaki of couse lah penyek!!!)... Sebelum tu nak minta ampon juga, sebab berlakunya sedikit pengubahsuaian mengikut keadaan semasa...tak banyak cuma sikittt jeee..jadi minta halal lah yea... Untuk resipi yang original tanpa di inject botox, silicone mau pun pembedahan plastik, sila ke sini untuk ke blog "Hana" dan sini untuk ke blog "Mama Fami".........

BAHAN-BAHANNYA :-)
190 g tepung roti (high protein flour)
50 g gula halus
2 g garam halus
6 g instant yeast
1/2 camca teh bread improver
1 kuning telur
50 g susu segar (mat guna "nescafe mocha" dlm tin)
1 camca besar serbuk koko + 1 camca besar air panas
60 g "water roux" (resipi di bawah)*
1/2 camca teh coffe emulco
30 g mentega

BAHAN "WATER ROUX" :-)
50 g tepung gandum*
250 ml air*(*disatukan, kacau rata dan jerang dengan api kecil sambil dikacau selalu hingga adunan bertukar menjadi seakan2 berkanji. Matikan api, sejukkan. Guna seperti yang disyorkan dalam resipi. Selebihnya ditutup dengan plastik cling dan simpan dalam peti sejuk. Boleh tahan 3 hari...rupa "water roux" seperti gambar di bawah).


CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan semua bahan di atas kecuali mentega, gaul rata hingga menjadi doh. Tambah mentega dan terus menguli hingga mendapat adunan yang lembut dan anjal (kurang lebih 20 - 25 minit), kemudian alih adunan ke dalam bekas dan tutup dengan plastic, biar kan 1 jam hingga adunan kembang. KAEDAH LAIN :- Masukkan semua bahan ke dalam bread maker, pilih setting untuk "doh" dan tekan "on". Biar hingga siap, dari proses mengadun, menguli dan memerap mengambil masa 1 jam 30 minit....(ikut BM memasing yeaa).
  2. Keluarkan adunan, uli sekejap untuk membuang udara, biarkan 10 minit. Bagi2 adunan ke beberapa bahagian yang beratnya setiap satu 35g. Bulat2kan dan susun dalam tin yang telah disapu dengan sedikit mentega. Biarkan doh naik 2 kali ganda.
  3. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190C selama 25 - 30 minit, bergantung pada oven masing2. Sapu mentega pada permukaan roti sejurus keluar dari oven. Sejukkan atas jaringan sebelum dihidang....

Friday, December 4, 2009

HONEY MILK PUDDING.....

Honey Milk-Pudding
Salam petang Jummat untuk semua, apa khabar....Hari ni mat buat "honey milk-puddings" yang begitu mudah dan ringkas, resipi ambik kat blog "Kak Jun". Rasa dia tak manis, dan kalau kak jun drizzle kan madu atas dia, mat pulak cuma drizzle dgn sos coklat (beli punya!!)...Bukan apa, madu ku cukup untuk resipi je, tak de lebih untuk di drizzle...hehehehe....Kalau nak tengok rupa yang di drizzle dengan madu, boleh menjelajah ke blog kak jun di sini.......

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 1/2 camca besar gelatin halal (mat guna jenama "nur")
3 camca besar air
685 ml susu segar
55 g gula halus
1 camca teh esen vanilla
3 camca besar madu
Madu untuk dicurah atas pudding (mat guna "Hershey Chocolate Syrup") #

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Satukan gelatin halal bersama air ke dalam periuk, kacau dan masak dengan api kecil hingga gelatin larut (gelatin menjadi pekat sedikit). Tambah bahan2 lain di atas kecuali bahan bertanda "#". Kacau hingga gula larut dan masak dengan api kecil selama 5 minit.
  2. Tuang dalam bekas sesuai dan biarkan hilang wap panas. Simpan dalam peti sejuk selama 4 jam atau seelok2nya semalaman.
  3. Keluarkan pudding dan letak dalam bekas sesuai. Curah sedikit madu sebelum dihidangkan. Macam mat, makan dengan syrup coklat tu pun sedap u!!....Hidangkan sejuk.....

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.