Assalammuaalaikum, salam semua. Hari ni Selasa 13 April 2021 bersamma 1 Ramadan 1442 Hijrah, hari pertama umat Islam seluruh dunia berpuasa. Tahun ni, masuk tahun ke 2 kita semua berpuasa dalam era penyakit covid19 yang masih aktif dimana2. Nak tak nak kita terpaksa membiasakan diri dengan keadaan begini. Yang penting SOP kena jaga, toksah ambik mudah, nak2 kawasan yang dibenarkan menjalankan aktiviti bazar Ramadan. Hari pertama puasa, mesti yang mula dah pening apa nak masak, sama lah dengan che mat. Sebenarnya dari semalam dah plan, punya lah dasat, yea dak. Hari ni memang nak masak thai beef green curry atau tukar bahasa kita, jadi kari daging hijau thai. Pes untuk kari hijau tu che mat dah buat awal2 lagi dan simpan dalam peti sejuk. Jadi nak masak pun senang. daging lembu beli yang jenis batang pinang, baru cepat masak. Kalau guna daging yang biasa pun ok, tepi kenalah rebus dulu. Bagi yang nak gantikan daging dengan ayam pun sesuai. Takde masalah...
Kalau kita tengok mana2 resipi thai green curry, mereka mesti ada masukkan terung pipit yang kecik2 tu dan ada juga yang masukkan terung bulat hijau. Yang tu ikut suka sebenarnya, tapi che mat sendiri memang suka terung pipit, jadi kita masukkan lah. Bagi yang tak suka atau susah nak dapat, boleh masukkan terung bulat biasa, kalau takde jugak, masukkan terung ungu. Kalau takde juga, tak payah letak apa2. Untuk resipi ni che mat guna santan segar, tu bagi yang ada lah, kalau takde, belasah santan kotak pun boleh, jadi jugak. Resipi kali ni agak panjang sikit sebab ada 2 , satu resipi untuk pes kari hijau dan satu lagi resipi kari daging hijau thai. Jomm, kita semak kat bawah ni..
UNTUK PES KARI HIJAU...
BAHAN-BAHANNYA :-)
2 batang serai, hiris halus
10 batang cili hijau, buang biji
5 biji bawang merah kecil
5 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1/2 inci halia
1/2 camca teh serbuk jintan manis
1/2 camca teh serbuk jintan putih
1 camca teh penuh serbuk ketumbar
1 camca teh serbuk lada sulah
1/2 cawan hirisan daun ketumbar dengan akar2nya sekali
1 genggam daun selasih
1 inci belacan, dibakar
1 camca besar gula melaka
3 - 4 camca besar sos ikan
3 biji limau nipis, perah jusnya
1 camca teh garam
CARA MEMBUATNYA :-)
- Masukkan bahan tadi ke dalam alat pengisar atau blender, kecuali, jus limau nipis, sos ikan, gula melaka dan garam. Kisar hingga halus dengan sedikit air. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 1 cawan. Tumis bahan2 kisar tadi hingga garing, gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Masak hingga naik minyak.
- Masukkan gula melaka, sos ikan dan garam, kacau rata dan akhir sekali masukkan jus limau nipis, kacau rata dan masak sekejap lagi. Biarkan pes sejuk dan boleh simpan dalam peti sejuk untuk lebih tahan lama. Pes dah siap, jommm kita masak kari daging hijau thai!...
UNTUK THAI BEEF GREEN CURRY....
BAHAN-BAHANNYA :-)
450 gram daging batang pinang, hiris, cuci dan toskan
3/4 cawan terung pipit, cuci dan toskan
3 camca besar penuh pes kari hijau (resipi di atas)
1 batang serai, diketuk
2 biji limau nipis, perah jusnya
Sos ikan secukup rasa
3 helai daun limau purut
1 genggam daun selasih
5 biji cili padi merah, belah 2 setiap 1, tapi tak putus
5 biji cili padi hijau, belah 2 setiap 1, tapi tak putus
1 biji bawang besar, belah 6
1 cawan pati santan
4 cawan santan cair
Garam jika perlu
CARA MEMBUATNYA :-)
- Dalam periuk, panaskan 2 camca besar minyak masak. Masukkan pes kari hijau dan serai, kacau rata dan masak sekejap. Masukkan daging, kacau dan masak hingga daging kecut dan berubah warna. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih.
- Tambah terung pipit, masak hingga terung dan daging empuk. Tuang pati santan, masukkan daun limau purut, cili padi merah dan hijau, kacau dan masak dengan api kecil, kacau sentiasa. Tambah sos ikan secukup rasa, kacau dan boleh masukkan daun selasih. Masak sekejap dan akhir sekali tambah jus limau nipis, kacau dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan masa berbuka puasa nanti dengan nasi panas.. Selamat mencuba!
1 Comments
menarik.. boleh masuk dlm list utk menu berbuka puasa..
ReplyDelete