RESIPI CINNAMON ROLL

 Assalammualaikum, salam semua. Diam tak diam Ramadan dah semakin hampir, perasaan sedih tu ada jugalah sebab tahun di kita semua menyambut Ramadan tak sama seperti tahun2 sudah. Mungkin raya juga begitu. Tak mengapalah, kesihatan lebih utama, wabak yang kita tengah hadapi ini bukan melibatkan Malaysia sahaja, tapi seluruh dunia. Besangka baik, setiap kejadian itu pasti ada rahsia yang tersimpan. Disebabkan ramai yang bekerja dari rumah, sudah semestinya dapur juga tak kering, lalu lintas ke dapur, pasti sibuk dari pagi hingga lah ke malam. Apa tah lagi jika rumah kita ramai kanak rabena yang sentiasa riang. Tak lupa juga pak dia yang turut serta beriang ria. Semalam che mat ada buat roti, kira macam roti paun, tapi tak sempat nak buat entri, semalam tangan che mat sakit, tak larat wakk nak pegang kamera untuk tangkap gambar, tu yang malas nak tulis entri. Tapi hari ni dah ok sikit (tapi sebenarnya sakit tu dah beralih ke lengan pulak...huhu), hari ni kita bikin cinnamon roll, tu orang putih panggil, kalau melayu, roti gulung kayu manis...

Resipi cinnamon roll ni pada asasnya sama seperti resipi tuna roll, cuma inti dia kita tukarkan dengan gula perang yang digaul dengan serbuk kulit kayu manis. Kemudian ditabur kismis sebelum digulung ketat. Kalau ikut resipi asal, akan dapat 10 ketul, dan menggunakan bekas kertas bersaiz 4 inci. Tapi che mat guna belas kecik sikit, tu pasal cinnamon roll tu montok bukan main. Kalau jarikan 12 biji pun ok, jika guna acuan yang kecik sikit. Resipi asas untuk doh roti, che mat uli sepenuhnya dengan breadmaker. Atau yang mana ada stand mixer tu, pun boleh guna, tapi pastikan pasang pencangkuk untuk doh. Roti macam ni, kita boleh pelbagaikan intinya, nak letak parutan keju boleh, atau kalau nak lebih adventure, boleh try sambal tumis, atau serunding. Baru kita tau sedap atau tidak...Ok, jomm kita semak resipi...

BAHAN-BAHAN DOH ROTI :-)
250 gram tepung roti (tepung berprotein tinggi)
50 gram gula halus
10 gram susu tepung
1/2 camca teh garam halus
1/4 camca teh bread improver
1/4 camca teh bread softerner
20 gram mentega
30 gram telur (pecahkan sebiji telur, pukul rata dan timbang, simpan bakinya)
6 gram instant yeast
125 ml air
5 - 6 biji ceri merah, dibelah 2 setiap 1, untuk hiasan

BAHAN-BAHAN INTI :-)
2 camca besar mentega, biar pada suhu bilik
3 camca besar penuh gula perang (brown sugar)
1 camca teh rata serbuk kulit kayu manis
1/2 cawan kismis kuning atau hitam

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK DOHNYA :- Sediakan Breadmakaer (BM). Masukkan air diikuti dengan semua bahan2 untuk doh, kecuali ceri merah. Hidupkan bread maker. Pilih setting untuk DOH, dan tekan 'ON', breadmaker akan memulakan tugas. 5 minit pertama BM akan menggaul ke semua bahan2 tadi. Kemudian proses menguli akan berlaku selama 25 minit. Lepas tu pemerapan doh selama sejam berjalan. Tapi, ia bergantung pada breadmaker masing2.
  2. Kalau takde breadmaker, boleh guna stand mixer yang dipasang hook untuk menguli doh dan prosesnya juga sama seperti menggunakan BM, cuma mentega dimasukkan setelah semua bahan2 tadi bersatu menjadi doh. Terus menguli untuk 8 - 10 minit pada kelajuan perlahan, sampai doh jadi lembut dan anjal. Perap sejam.
  3. UNTUK CINNAMON ROLL :- Keluarkan doh. Alihkan doh ke atas meja kerja yang telah ditabur dengan sedikit tepung. Canai doh tadi menjadi 4 segi memanjang  (14 x 10 inci). Sapu permukaannya dengan mentega. Gaul rata gula perang dengan serbuk kulit kayu manis dan tabur rata pada permukaan doh yang telah disapu mentega tadi. Tabur pulak kismis.
  4. Berhati2 gulungkan doh tadi, bermula dengan bahagian dari depan kita, dan gulung ketat2 ke atas seperti membuat swiss roll. Kemaskan gulungan, menggunakan pisau tajam, potong kepada 10 atau 12 bahagian yang sama besar. Susun setiap 1 ke dalam acuan kertas dan tekan sedikit biar leper. Atau boleh juga gunakan acuan muffin yang telah disapu dengan mentega. Buat hingga siap dan perap selama 45 minit.
  5. Panaskan oven pada suhu 180C, pastikan oven dipanaskan kurang lebih 10 - 15 minit terlebih dahulu. Sapu permukaan cinnamon roll dengan telur (baki dari resipi tadi) dan hiaskan dengan ceri. Tekan sedikit agar ceri melekat. Buat hingga siap dan bakar selama 25 minit, hingga kuning keemasan. Pastikan bakar pada rak bawah. Sejukkan cinnamon roll atas jaringan dan boleh hidangkan. Selamat mencuba!
RESIPI CINNAMON ROLL RESIPI CINNAMON ROLL Reviewed by Mat Gebu on 4/08/2020 04:07:00 PM Rating: 5

1 comment:

  1. Whoaaawww. Selalu tengok cinnamon rolls rupa dia lain. Yang ni nampak lebih comel dan menarik hehe. Tapi tak pernah cuba lagi makan cinnamon roll setakat ni

    ReplyDelete

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.