RESIPI KUIH BINGKA UBI GULA MELAKA

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak awal, ehh bukan hari2 ke aku masak awal, ?...Sejak perintah kurangkan pergerakkan ni, macam masa kat rumah banyak betul. Jadi lepas masak tadi kita on bikin projek kuih bingka ubi gula melaka. Sebenarnya, perancangan dari semalam nak buat kuih bingka ni, tapi mood rajin belom datang. Lagi pun tu jam, ubi parut masih kat dalam freezer, masih keras macam kepala batu. Kena keluarkan paling tak pun semalaman, baru lembut. Percaya tak, ubi parut tu dah dekat setahun dalam freezer, abang long che mat yang parut dan dia simpan dalam freezer. Alhamdulillah masih elok dan langsung tak berubah rasa. Resipi asalnya guna gula pasir dan bingka ubi dia warna kuning ajer. Tapi kalau guna gula melaka, sah2 kuih bingka jadi lagi sedap dan harum, tak gitu. Jadi che mat telah menderhaka serba sedikit bahan2 dan teknik membuatnya agar sesuai dengan penggunaan gula melaka... 

Kuih bingka ubi gula melaka ni tak tebal mana sebab che mat buat dalam loyang 8 x 8 x 3 inci, kalau nak tinggi, boleh bakar dalam loyang yang kecil sikit saiznya. Kuih bingka lebih sedap kalau permukaannya berkerak. Bila nak potong, tunggu kuih betul2 sejuk, baru kita akan dapat potongan yang senonoh. Dan pastikan pisau kena tajam, lap pisau setiap kali lepas kita potong kuih tadi. Terpulang pada masing2 nak potong macam che mat atau nak potong wajik (potong intan). Che mat tak guna sebarang gula pasir, sebab gula melaka tu dah cukup manis. Ok, kalau kat rumah ada cukup semua bahan2 dan teringin nak cuba, meh che mat kongsikan resipi kuih bingka ubi gula melaka, kat bawah ni...Jomm semak resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram ubi parut, tak perlu toskan airnya
70 gram kelapa parut putih, guna kelapa untuk buat inti
2 biji telur gred A
2 camca besar mentega, dicairkan
2 camca teh esen vanilla
1/2 camca teh garam
250 ml santan*
150 gram gula melaka, hiris halus*
1 helai daun pandan*(*disatukan dan masak hingga gula hancur, tak perlu sampai mendidih)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 190C, lenser tin berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan mentehga, alas dasar tin dengan aluminium foil, lebihkan sedikit pada bahagian kiri dan kanan tin, agar mudah kita nak keluarkan kuih bila masak nanti. Lenser juga permukaan aluminium foil tadi. Masukkan tin ke dalam oven, biarkan tin panas.
  2. Sementara itu, tapi santan yang dimasak dengan gula melaka tadi ke dalam mangkuk besar. Masukkan ubi parut dan kelapa parut, kacau rata. Tambah telur, garam, esen vanilla dan mentega cair. Kacau hingga semua rata dan sebati.
  3. Berhati2 keluarkan tin dari oven. Tuang adunan kuih bingka ubi ke dalam tin panas tadi. Ratakan dan masukkan kembali ke dalam oven. Bakar kurang lebih 50 - 55 minit atau hingga masak. Uji dengan mencucuk bahagian tengah kuih dengan lidi sate bersih atau cake tester, jika keluar bersih tanda kuih dah masak.
  4. Jika suka permukaan kuih berkerak. tukar fungsi api oven kepada fungi 'grill' dan bakar untuk 4 - 5 minit lagi hingga permukaan kuih bingka kecoklatan. Keluarkan dari oven, biar sekejap dan keluarkan dari tin. Biarkan betul2 sejuk baru dipotong. Selamat mencuba!
RESIPI KUIH BINGKA UBI GULA MELAKA RESIPI KUIH BINGKA UBI GULA MELAKA Reviewed by Mat Gebu on March 27, 2020 Rating: 5

No comments:

PERINGATAN

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.

Powered by Blogger.