RESIPI KERABU JANTUNG PISANG ALA NYONYA

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni dah 22 Syawal, kurang lebih seminggu lagi habis dah bulan raya. Lama juga che mat cuti dari kemas kini blog. Bukan apa, kekangan masa, tambah pula hari raya, kesibukkan tu memang tak boleh nak dielak dah. Hari ni che mat kongsikan satu resipi kerabu dari jantung pisang. Semalam che mat beraya ke rumah tok sedara di Johor, dan dia ada kasi jantung pisang nipah, 2 biji dan 3 sisir pisang nipah. Nampak ajer jantung pisang, sel2 kat otak che mat terus berfungsi dan idea terus dihantar ke peti cadangan. Maka hari ini terhasillah kerabu jantung pisang ala Nyonya. Resipi ringkas tapi amat sedap dimakan dengan nasi panas, topup pulak ikan kembong goreng, heaven sangat!. Nak ratah begitu saja pun boleh takde masalah..... 

Selain jantung pisang nipah, pisang apa lagi boleh guna, tanya makcik bebawang goreng pada che mat. Selain jantung pisang nipan, jantung pisang kapas dan pisang hutan pun sedap. Tapi kalau guna jantung pisang hutan, kena guna lebih, mungkin dalam 3 - 4 biji, sebab saiz dia kecil. Resipi ini menggunakan santan dalam 1/3 cawan macam tu. Rasa manis, masin dan masam tu pandai2lah awak serasikan, tekak kan masing2, jadi kena lah ikut citarasa sendiri yea dak. Kalau suka pedas boleh tambah cili api. Menu macam ni, tak payah nak lauk macam2 sangat,  ada nasi panas dan ikan goreng pun dah cukup. Lepas2 raya ni rasa jemu juga kan makan ayam dan daging. Kalau nak mencuba, resipi che mat tuliskan kat bawah ni...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji jantung pisang nipah ( guna 2 biji kalau jantung pisang saiz kecil)
2 keping asam gelugor
2 camca teh garam
6 biji bawang merah kecil, hiris halus
2 kuntum bunga kantan, hiris halus
1 batang serai, ambil bahagian putihnya dan hiris halus
3 helai daun limau purut, buang bahagian tengahnya dan hiris halus
3 - 4 biji cili padi, hiris halus (optional)
4 biji limau kasturi, perah jusnya
1/3 cawan isi udang, dicelur 30 saat dalam air mendidih dan toskan
1/3 cawan pati santan (boleh guna santan kotak)
Sedikit air (anggaran 3 - 4 camca besar)
Garam dan gula secukup rasa


BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
2 biji cili merah
4 - 5 biji cili padi kampung
Sebesar ibu jari belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Didihkan air, masukkan asam gelugor dan 2 camca teh garam. Kupas jantung pisang hingga jumpa bahagian yang lembut, cuci, belah dua dan masukkan ke dalam periuk. Rebus hingga jantung pisang empuk, tos dan biarkan sejuk.
  2. Dalam periuk kecil, masukkan santan, air dan bahan2 tumbuk halus, kacau rata dan masak hingga suam, tak perlu sampai mendidih. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula, kacau rata dan matikan api, sejukkan. 
  3. Jantung pisang diperah sedikit airnya, kemudian hiris kecil. Masukkan ke dalam mangkuk besar bersama2 hirisan daun limau purut, bawang merah, bunga kantan, serai, cili padi dan udang. Tuang santan santan yang dimasak tadi dan gaul rata. Masukkan jus limau kasturi dan gaul lagi. Seimbangkan rasa dan jika ok boleh hidangkan sebagai pembuka selera. Selamat mencuba!

Post a Comment

1 Comments

  1. Sedapnyaaa..kegemaran aku segala jenis kerabu Mat, lagi-lagi kerabu taugeh, perghhhh

    ReplyDelete

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.