RESIPI TAUHU BAKAR

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni hujan sedari pagi dan sekarang ni pun masih mendung, cuaca agak lembap dan dingin. Balik dari pasar pagi di Benut tadi, che mat siap2kan masak untuk makan tengah hari. Dan dari semalam tekak ni termengidam nak makan tauhu bakar. Jadi siap ajer masak, kita pulun buat tauhu bakar pulak. Resipi ini agak ringkas dan sesuai juga dihidangkan masa berbuka puasa nanti, yelah kita pun tak lama lagi dah nak masuk bulan Ramadan, tinggan kurang lebih 9 hari saja. Dan, in sha Allah che mat akan kongsikan resipi2 ringkas sama ada untuk berbuka atau pun bersahur, jika berkesempatan. Tauhu bakar biasanya menggunakan tauhu pok, sejenai tauhu bertekstur ringan dan bersarang. Biasanya orang cina suka masukkan dalam kuah mi kari mereka, sebabnya ia akan menyerap kuah dan memberi perisa pada tauhu tadi....

Che mat guna dalam 6 keping tauhu pok bersaiz 3 inci x 3 inci. Tauhu ini kurang sesuai kalau digoreng seperti tauhu putih biasa, sebabnya tauhu pok akan menjadi keras bila sejuk nanti, kecuali kalau kita bubuh inti seperti tauhu begedil. Kuah dia boleh disiapkan awal dan simpan dalam peti sejuk. Biasanya tauhu bakar dihidangkan dengan hirisan timun, sengkuang dan taugeh. Kacang tumbuk ditabur atas tauhu bakar sebelum dihidangkan, nak lagi enak boleh tabur sedikit bijan yang digoreng tanpa minyak. Kalau ada yang nak mencuba, terutamanya di bulan puasa nanti, meh che mat kongsikan resipinya di bawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 keping tauhu pok, saiz sebesar tapak tangan
Timun secukupnya, diracik halus
Sengkuang secukupnya, diracik halus
Taugeh secukupnya, buang ekor, dan siram dengan air panas mendidih, toskan
Kacang tanah tumbuk, secukupnya
Sedikit bijan, digoreng tanpa minyak hingga wangi, sejukkan
Hirisan cili padi, jika suka

BAHAN-BAHAN KUAHNYA :-)
1 botol petis @ pes otak udang
1 camca besar penuh sos tiram
4 camca besar cili kisar
2 camca besar kicap pekat #Jalen
5 - 6 biji cili padi, ditumbuk halus (optional)
1/4 cawan jus asam jawa @ 1/2 camca besar pes asam jawa
3 camca besar gula melaka, hiris kecil*
1 1/2 cawan air*(*disatukan dan masak hingga gula melaka larut, tapis dan ketepikan)
Gula secukup rasa (jika perlu)
1 camca besar tepung gandum + 3 camca besar air = dikacau rata

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAHNYA :- Dalam periuk, masukkan petis, sos tiram, cili kisar, cili padi tumbuk (jika guna), kicap pekat, jus atau pes asam jawa dan juga air gula melaka tadi. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Rasa dan jika kurang manis, boleh tambah sedikit gula pasir atau secukup rasa mengikut selera masing2. Tambah bancuhan tepung gandum (pastikan dikacau dulu bancuhan tepung gandum tadi sebelum dimasukkan ke dalam periuk). Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga kuahnya pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api, biarkan sejuk sebelum digunakan.
  2. UNTUK TAUHU :- Tauhu pok dicuci, kemudian lap kering dengan tissue dapur yang bersih. Panaskan kuali pemanggan dan panggang tauhu pok tadi hingga keperangan pada kedua2 bahagian. Buat hingga siap dan ketepikan. Jika guna tauhu pok jenis kecil, boleh lebihkan.
  3. UNTUK MENGHIDANG TAUHU BAKAR :- Tauhu pok dipotong 4 setiap satu dan susun dalam piring atau bekas sesuai. Taruk timun dan sengkuang yang telah diracik halus tadi, tambah taugeh dan siramkan dengan kuah secukupnya. Tabur dengan kacang tumbuk dan sedikit bijan. Jika suka pedas, boleh tambah hirisan cili padi. Hidangkan segera...Selamat mencuba!!

Post a Comment

1 Comments

  1. perghhh ini la kali pertama saya tengok online users lebih 100 sejak blog ni disekat dulu...alhamdulillah!

    ReplyDelete

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.