Assalammualaikum, salam semua. Hari ni nak kongsikan resipi tradisi yang begitu klasik. Mesti ramai yang pernah makan, terutama hidangan lauk pauk yang bertemakan masakan kampung, menu ini antara yang harus ada. Pisang muda masak lemak atau ada yang panggil gulai pisang muda. Menu klasik ini che mat masak atas permintaan bonda. Kebetulan pokok pisang emas depan rumah berbuah, dan che mat ambik dalam lebih kurang 1 sisir untuk dimasak gulai. Ada stok cendawan kukur kering, kita rendam dan masukkan sekali. Untuk rencahnya. kita guna tulang ikan masin kurau, tetapi harus direndam 1 - 2 jam untuk mengurangkan rasa masinnya. Masakan seperti ini boleh dimasak lebih dan rasanya lebih enak bila keesokkan hari nya. Tapi harus dipanaskan lah untuk mengelakkan lauk basi. Satu lagi petua yang selalu che mat tulis, tudung periuk jangan sekali2 ditutup rapat ketika lauk tengah panas, ini boleh menyebabkan wap yang terkumpul di bahagian dalam penutup periuk akan menitis masuk ke dalam masakan kita dan boleh menyebabkan lauk kita cepat basi. Resipi seperti di bawah ini...
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 sisir pisang muda (che mat guna pisang emas)
4 - 5 ketul tulang ikan masin kurau yang masih ada isinya, cuci dan rendam 1 jam
1 cawan cendawan kukur kering, direndam hingga kembang
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air panas secukupnya
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
20 ulas cili padi (boleh lebih atau kurangkan)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam 10 minit, toskan
1/2 inci belacan
CARA MEMBUATNYA :-)
- Pisang dicuci bersih, buang sedikit bahagian hujung dan pangkalnya. Hiris serong setiap satu dan rendam dalam air. Buat hingga siap. Cendawan kukur yang telah kembang dibersihkan. Toskan airnya dan perah. Tumbuk cendawan tadi dalam lesung batu. jangan tumbuk sampai hancur, sekadar pecah2kan sahaja. Tujuannya untuk mengeluarkan aroma cendawan kukur bila dimasak nanti. Ketepikan.
- Toskan pisang tadi, masukkan ke dalam periuk bersama cendawan kukur, serai titik, asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan masak sekejap atas api. Kemudian tuang santan cair, kacau dan masak hingga pisang empuk. Tambah sedikit air panas jika perlu.
- Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan biarkan mendidih dengan api perlahan. Akhir sekali masukkan daun kunyit, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!
1 Comments
sedap tu...
ReplyDelete