Assalammualaikum, salam semua. Hari ni mendung dan hujan di kampung che mat. Lepas saja jemur baju, terus gerimis, terpaksa angkat balik kain baju dan masukkan dalam bakul. Takpe lah lagi pun dah lama juga tak hujan kat sini. Jadi che mat teruskan dengan aktiviti memasak. Hari ni menu yang penuh kenangan, iaitu siput sedut masak lemak, taruk pulak batang keladi. Menu ini menjadi kegemaran arwah Bak, tapi sejak arwah mengidap penyakit gout, kami amat jarang menyediakan hidangan siput sedut, tak sampai hati nak makan. Disebabkan teringin, hari ni che mat masak. Siput sedut kami beli di Rengit, satu bungkus tu RM 9. kurang lebih 1 kg berat dia. Saiz siput tak besar sangat dan tak kecil sangat, kiranya saiz sedang2.
Seperti biasa, kalau masak lemak, che mat lebih suka masukkan batang keladi. Ada orang suka masukkan sayur labu, pucuk turi. pucuk ubi dan sulur keladi, terpulang pada selera masing2. Hidangan seperti ini paling ngam dengan nasi panas, sambal belacan dan ulam2man seperti petai. timun atau pun jering (atau apa2 saja ulaman yang anda gemari). Nak lagi sedap, renjiskan dengan sedikit kicap lemak manis Jalen, mesti bertambah nasi...Resipi tak susah nak disediakan. Kalau kita masak sendiri, kebersihan lebih terjamin terutama bab2 mencuci siput sedut tu, betul tak?...Resipi seperti berikut....
1 kg siput sedut
2 - 3 pelepah batang keladi sayur
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1000 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 1/2 inci kunyit hidup
2 biji cili merah
20 biji cili padi kampung
Secubit belacan (optional)
CARA MEMBUATNYA :-)
- Siput dicuci hingga betul2 bersih, bilas 4 - 5 kali hingga jernih airnya. Toskan, kemudian kerat bahagian bucu siput, kerat pada ruas ke 3 dari atas, buat satu persatu hingga siap. Taruk siput yang siap dipotong tadi dalam besen dan tuang air hingga siput tenggelam. Ambik dengan tangan, toskan dan masukkan ke dalam tapis. Tujuan buat macam ini, untuk mengelakkan serpihan kulit siput terikut masuk dalam masakan kita.
- Sementara itu buang kulit luar batang keladi, kerat pendek, cuci, toskan dan celur dalam air mendidih yang dimasukkan sekeping asam gelugor. Celur hingga 1/2 lembut dan toskan.
- Masukkan siput ke dalam periuk bersama2 serai yang dititik, asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan masak hingga mendidih. Masukkan santan cair, kacau dan biarkan hingga menggelegak.
- Tambah batang keladi dan tuang pati santan. Kacau rata dan masukkan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan biarkan mendidih dengan api kecil dan kacau sentiasa. Masak hingga batang keladi lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, ikan goreng dan ulam-ulaman. Selamat mencuba!
5 Comments
sedapnya. baru makan sabtu lepas..
ReplyDeletewow..tengok gambar pun dah nampak sedap. Menyelerakan.
ReplyDeleteassalamualaikum cik mat...sedapnya tengok menu ni feveret ni..
ReplyDeletelahaiii.. makanan pebret ni . Hhaha memang sedap srut srutt sedut tapi tu la.. nak masak malas hahaha
ReplyDeletecari resepi siput sedut ni, wah nmpk gmbar da terliur. Cuti hari ni nk masak masak ah, lauk rer nih, hahaha
ReplyDelete