Assalammualaikum, salam semua. Hari ni dah masuk 2 Ramadan, walaupun puasa kali ni Che Mat rasa sedikit letih, namun aktiviti memasak berjalan seperti biasa. Che Mat suka masak cepat terutama masakan seperti kari. gulai atau sambal. Jika hari tu ada menu sayur yang jenis tumis2, petang baru masak. Kali ni nak berkongsi menu ringkas yang sesuai untuk berbuka dan bersahur nanti. Buatnya mudah dan paling sesuai dimakan dengan nasi panas dan direnjis sedikit kicap. Telur puyuh berlado ini che mat masukkan kentang sebagai bahan sampingan. Kalau takde telur puyuh, boleh ganti dengan telur ayam. Ada dua kaedah, pertama telur yang telah direbus, tak perlu digoreng atau kaedah kedua, kita boleh goreng sekejap hingga telur kelihatan 'berkulit'. Jika suka pedas boleh masukkan beberapa biji cilipadi...Resipi seperti dibawah ini..
30 biji telur burung puyuh. direbus dan kupas kulitnya
1 biji kentang saiz besar, kupas dan potong kiub, direndam
1 biji limau kasturi, perah jusnya
1 camca besar penuh gula pasir
1 biji tomato masak ranum
Garam secukup rasa
BAHAN-BAHAN SAMBAL :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
4 biji cili merah
1 pokok daun bawang, hiris
CARA MEMBUATNYA :-)
- Telur burung puyuh yang telah direbus, digoreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Kemudian goreng pulak kentang(toskan dahulu air rendamannya) hingga kekuningan, angkat dan toskan minyaknya. Tomato dikelar sedikit kulitnya, kemudian rebus sekejap, toskan. Buang kulitnya dan cincang halus.
- Tumbuk buah keras hingga halus, masukkan cili merah dan tumbuk hingga hancur, tambah bawang putih dan bawang merah, tumbuk hingga semua lumat. Akhir sekali masukkan daun bawang, dan tumbuk sekejap hingga semua sebati. Ketepikan.
- Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bahan2 tumbuk hingga harum, masak dengan api kecil dan kacau sentiasa. Tambah garam dan gula, kacau dan terus memasak hingga garing, tambah tomato cincang dan gaul rata.
- Masukkan telur puyuh dan kentang yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan akhir sekali masukkan jus limau kasturi. Kacau dan masak sekejap hingga kering, matikan api dan alihkan ke dalam bekas sesuai. Hidangkan ketika berbuka puasa atau bersahur...Selamat mencuba!
0 Comments