KERABU TELUR DADAR...

rsz_egg_kerabu
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Che mat hari ni tak masak sangat, cuma masak asam pedas dan pucuk paku tumis belacan. Menu yang anda nampak ni che mat bikin 2 hari lepas, dan terlupa nak masukkan dalam blog. Tadi periksa2 file ternampak ada yang tertinggal. Jadi untuk hari ni dari takde entri, kira boleh lah kan kerabu telur dadar che mat jadikan entri hari Jumaat. Resipi mudah dan boleh dianggap sebagai pelengkap untuk santapan anda. Kerabu telur sedap dimakan sejurus anda siapkan. Makan sama nasi panas dan ikan goreng pun dah cukup sangat. Bila kita bikin kerabu, tak kesahlah apa jenis kerabu sekali pun, keseimbangan rasa masam, manis, pedas dan masin itu perlu ada dan anda lah sebagai penentunya. Di resipi hanya cadangan dan selebihnya ikut deria rasa kita yang akan menikmati hidangan tersebut. Kalau anda suka pedas, boleh tambah hirisan cili padi, tapi che mat dah guna cili pada dalam 'bumbu' untuk kerabu, jadi che mat tak taruk hirisan cili padi lagi. Kalau dah bersedia, jomm kita lihat resipi mudah, kerabu telur dadar...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji telur gred A*
1/2 camca teh lada hitam*
1 camca teh tepung jagung*
Secubit garam*(*disatukan dan kacau hingga semua sebati)
1 biji bawang besar, hiris nipis
1 kuntum bunga kantan, mayang halus
1 genggam pucuk daun kesom, mayang halus
1 biji tomato, buang biji dan hiris kecil
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, cuci dan goreng garing
2 - 3 biji limau kasturi, perah jusnya
Sedikit sos ikan
Sedikit gula 

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
1 biji cili merah
10 biji cili padi
1 ulas bawang putih, dibakar
1/2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan non-stick pan bersaiz 10 inci dengan sedikit minyak (che mat celop tissue dapur bersih ke dalam minyak masak dan sapukan atas pemukaan pan). Tuang 1/3 bancuhan telur dan lenggangkan hingga mendapat telur dadar yang nipis. Masak dengan api kecil, bila permukaan telur dadar pucat dan kering bila disentuh, boleh angkat. Buah kaedah sama dengan baki telur tadi hingga siap (tak perlu terbalikkan telur tadi). Biar sejuk.
  2. Ambil sekeping telur dadar, gulung dan kemudian hiris halus, buat hingga selesai. Alihkan ke dalam mangkuk besar. Tambah hirisan bawang besar, bunga kantan, daun kesom dan tomato. Masukkan  bahan2 tumbuk halus, gaul rata2 dan renjiskan sedikit sos ikan (jangan banyak2, nanti masin). Masukkan sedikit gula, jus limau kasturi dan akhir sekali ikan bilis goreng. Gaul rata2 dan sesuaikan rasa, jika ok boleh hidangkan bersama nasi panas dan ikan goreng... Selamat mencuba!!.

Post a Comment

4 Comments

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. ujan ujan ni... arghh lapar.. hahah salah guna id google lak tadi...

    ReplyDelete
  3. atkiners memang suka makan menu telur...boleh dicuba..tq CMG

    ReplyDelete

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.