Assalammualaikum, salam semua. Hari ni masak menu permintaan Bak, iaitu masak kurma. Menu yang agak senang dimasak dan che mat guna seekor ayam kampung. Memang che mat masak lebih, sampai esok pun boleh makan. Masakkan macam ni, lepas sehari lagi sedap, cuma anda kena jaga betul2, sebab masakan kurma antara masakan yang cepat rosak atau basi. Jika anda panaskan, pasti ia menggelegak dengan sempurna dan kacau sekali sekala. Jangan tutup periuk rapat2 ketika lauk masih panas, ini akan menyebabkan wap air yang terkumpul, menitik balik dalam lauk akan buat masakan kurma cepat basi. Ini petua yang che mat selalu amalkan untuk semua jenis masakan bersantan. Kuah kurma biasanya agak pekat. ini terpulang pada anda nak yang berkuah atau pekat. Dan selain ayam, boleh guna daging lembu, daging kambing atau pun telur rebus (telur rebus kasi goreng sekejap sebelum dimasak kurma). Sedap dimakan bersama nasi putih atau sebarang nasi berperisa. Cicah roti canai, roti jala atau lempeng pekak pun sedap. Bahan2 nampak agak banyak, tapi percayalah, membuatnya amat mudah....
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung, potong ikut suka, cuci dan toskan
4 - 5 biji kentang, kupas belah 4 setiap 1 dan rendam
3 camca besar penuh rempah kurma Baba's (atau sebarang jenama)
1 cawan pati santan (atau susu cair)
2 camca besar kerisik
1 biji tomato masak ranum, cincang halus
1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
1/2 camca besar gula melaka
1 camca besar minyak sapi
Garam secukup rasa
Air secukupnya
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 biji cili hijau
3 biji buah keras, hiris
1 camca teh lada hitam
BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1 helai daun pandan, disimpul
1/2 camca teh jintan kasar
1/2 camca teh jintan halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
CARA MEMBUATNYA :-)
- Bancuh rempah kurma sama bahan2 kisar halus dan kacau rata hingga menjadi pes, tambah sedikit air jika perlu. Ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), masukkan minyak sapi dan biar minyak sapi cair. Masukkan semua bahan2 tumis dan masak hingga wangi dan bawang perang. Tambah bancuhan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
- Masukkan tomato cincang, gaul rata dan tambah ayam. Gaul hingga mesra dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam). Kacau dan biar mendidih, masak hingga ayam empuk, tambah air panas jika kuah kering tapi ayam masih keras.
- Masukkan kentang (toskan) dan masak hingga kentang empuk. Tambah kerisik dan pati santan (atau susu cair). Kacau rata, perasakan dengan garam secukupnya dan masukkan gula melaka. Masak sekejap dan akhir sekali masuk belahan cili merah dan hijau. Biar mendidih seketika dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau roti...Selamat mencuba!!.
1 Comments
Lama dah Kjee tak masak kurma ayam... fav Nadia ni. Esok nak masak Nasi Tomato dan Kurma Ayam lah... rasanya hehehe kalo rajin.
ReplyDelete