KARI IKAN SENANGIN

rsz_kasi_ikan_senangin
Assalammualaikum salam Selasa. Mendung cuaca kat kampung che mat, hujan renyai2 sekali sekala..ehh dah macam ramalan cuaca pulak. Tapi begitu lah, dah musim tengkujuh, hujan merata tempat. Seperti yang anda tau negeri2 belah Pantai Timur mengalami musibah banjir sekarang ni, mudah2an hujan reda dan keadaan kembali pulih seperti sedia kala. Hari ni che mat tak masak apa sangat. Pagi tadi keluarkan ikan senangin dan che mat masak kari. Kari biasa2 saja yang kurang pedas. Hujan2 ni sedap pulak makan kari ikan. Belen2 kuah tu nanti boleh lah bikin lempeng pekak dan cicah sama kuah kari. Kari ikan ni che mat guna santan. Kalau anda tak nak guna santan pun boleh dan petua nak kasi kuah kari tu rasa lemak seakan2 bersantan, anda boleh kisar buah keras dalam 3 biji dan  gaul sama rempah kari ikan tadi. Tapi Bak suka kari yang ada santan. Kalau suka pedas boleh tambah cili kisar semasa menumis. Che mat cuma guna 1 camca besar cili kisar. Jadi kari tak pedas cuma ada rasa 'angin2' saja...Bagi yang nak mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan senangin saiz sederhana (kurang lebih 500+ gram)
1 biji tomato saiz besar
1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
1 keping asam gelugor saiz kecil
1 camca besar cili kisar
1 camca besar sos cili JALEN
3 1/2 camca besar rempah kari ikan Baba's
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1 inci halia*
1/2 inci kunyit hidup*
3 ulas bawang putih*
4 biji bawang merah*(*ditumbuk halus)
1 cawan santan
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1/3 camca teh biji sawi
20 biji halba
1/3 camca teh jintan manis
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan senangin disiang kemudian kerat kepada 5 bahagian, bersihkan dan perap dengan jus limau kasturi selama 10 minit. Kemudian cuci bersih dan toskan. Tomato dibelah 6, kalau guna tomato saiz kecil, guna 2 biji dan belah 4 setiap 1. Rempah kari dibancuh dengan 1/2 cawan air, kacau hingga menjadi pes. Ketepikan.
  2. Panaskan 1/3 cawan minyak dalam periuk. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum dan bawang layu. Tambah bahan2 tumbuk halus, cili kisar dan sos cili. Kacau rata dan masak hingga cili garing. Masukkan pes rempah, kacau selalu dan masak dengan api kecil hingga rempah garing dan naik minyak.
  3. Tuang air (anggaran 800 ml atau secukupnya), kacau dan biar mendidih. Masukkan asam gelugor dan kiub ikan bilis (jika guna). Masukkan ikan dan masak sekejap. Tuang pati santan dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali tambah tomato, cili hijau dan cili merah. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, telur dadar dan ulam2man..

Post a Comment

1 Comments

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.