rsz_dsc_2467
Kek keju, bukan jenis bakar, tapi jenis dingin beku. Yang ini guna gelatin halal. Tang gelatin tu anda boleh guna jenama NUR, NONA atau jenis halal keluaran Halal Gel, ada dijual di MyDin, 1 kotak mengandungi 5 sachet. Nanti lain kali senang2 mat share yea gambar dia. Ni mat buat untuk semalam. Sebenarnya, isi mangga tu anda boleh ganti dengan stoberi, peach atau nenas. Lain kali nak try guna buah naga yang merah tu lah. Untuk base mat guna biskut marie, sepatutnya guna biskut marie biasa tapi sebab lupa nak beli, mat guna yang perisa coklat, sedap juga. Tambah sedikit badam keping (flake almonds) yang kita panggang dulu hingga wangi, kemudian biar sejuk, ramas dan campur dalam biskut marie yang telah dikisar hancur tadi. Sebelum ni mat dah pernah buat, tapi guna tin 8 inci, kali ni mat guna tin berukuran 10 inci. Ok mat letak resipi dia, tapi yang guna tin bulat 8 inci.

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram biskut marrie perisa biasa (mat guna 150 gram sahaja)
100 gram mentega tanpa gara (unsalted butter), cair dan sejukkan
1 genggam kepingan badam, goreng tanpa minyak hingga perang, sejukkan
250 gram cream cheese
60 gram gula kastor
2 biji buah mangga, satu kisar halus, satu lagi didadu kasar
1 1/2 camca besar gelatin halal
125 ml air suam
1 kotak kecil whipping cream (200 ml), disejukkan
1/2 camca teh esen mangga (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Patah2kan biskut marie tadi dan tumbuk halus atau masukkan dalam food processor dan kisar, tambah kepingan badam tadi, dan kisar sekejap hingga rata dan badam hancur. Tuang mentega cair sedikit demi sedikit hingga adunan boleh dikepal (mentega cair tu cukup2 saja). Tuang ke dalam springform tin berukuran 8 inci, ratakan dan tekan hingga padat. Simpan dalam peti sejuk.
  2. Putar cream cheese bersama gula kastor hingga sebati. Masukkan kisaran buah mangga tadi dan putar sebati. Dalam belas lain, putar whipping cream hingga kental (bila nampak kental saja dah ok, kalau anda putar lagi, nanti ia akan berubah menjadi cecair). Masukkan ke dalam adunan keju dan gaul rata dengan kaedah kaup balik. Tambah juga esen mangga, jika guna.
  3. Sementara itu bancuh gelatin dengan air suam, kacau rata hingga gelatin bersatu. Jika masih tidak larut, anda masukkan bekas berisi gelatin tadi dalam bekas yang berisi sedikit air panas, , kacau hingga rata. Biar sejuk sedikit dan boleh tuang ke dalam bancuhan keju tadi, gaul rata2.
  4. Masukkan 1/2 mangga yang didadu tadi. Gaul rata2 dan tuang dalam tin. Ratakan dan simpan dalam peti sejuk hingga kek membeku. Keluarkan kek dari tin, dan hias dengan baki mangga tadi. Hidangkang.
CATATAN MAT GEBU :- Untuk mengeluarkan kek dari tin, anda gunakan tuala dapur bersih, celup dalam air suam, perah sedikit dan tekap bahagian luar tin tadi, buat sekeliling tin. Perlahan2 longgarkan ensel tin. Insya Allah dengan mudah kek akan keluar. Jika ada bahagian tepi kek yang tidak licin, anda boleh kemaskini dengan pisau yang kita layur atas api sekejap dan ratakan pada bahagian kek yang kurang menarik... Selamat mencuba!!..