rsz_dsc_4675
Salam semua, rendang pedas itik ni bukan baru mat masak, tapi Sabtu lepas. Sepatutnya dah masuk dalam entri tapi atas sebab2 yang tidak boleh dielakkan, ianya terpaksa ku tunda. Seumur hidup mat ni lah pestime masak itik, kalau makan tu pernah lah sekali dulu, tu pun seketul, sebab nak rasa. Ada orang tak makan itik, sebab berbau hamis katanya. Tapi yang ni pada mat ok saja. Itik yang siap disembelih (opkos HALAL) mat beli di MyDin, sekor dalam RM 21+. Dan yang menyiangnya dah pasti bonda ku. Siap buang kulit lagi. Kena ingat itik tak sama macam ayam dari segi cutting body dia, bahagian belakang itik agak kurang berdaging, tapi bahagian kanan dan kiri dia, yep, berdaging. Peha pun pendek dan dempak, takde lah macam peha ayam. Selepas disiang, cuci bersih dengan limau nipis dan tepung, mat cucuk2 daging itik tadi dengan garfu dan perap dengan halia dan bawang putih yang telah ditumbuk halus selama 1-2 jam, sebelum memasak. Itik ni agak cepat empuknya. Mat guna kurang lebih 1200 ml santan dan bila kering, sedang elok sahaja empuk.Ok kita semak resipi, bagi yang tak makan itik, anda bleh ganti dengan ayam atau daging...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor itik yang telah siap dibersihkan
11/2 inci halia tua*
4 ulas bawang putih*(*tumbuk halus)
1200 ml santan
Air jika perlu (air panas)
2 keping asam gelugor
5 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit, disiat
2 helai daun kunyit, hiris halus
2 camca besar penuh rempah kari daging
2 1/2 camca besar penuh kerisik
Garam dan gula melaka secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1/2 cawan cili padi kampung (boleh kurangkan)
3/4 inci kunyit hidup
2 inci halia
1 inci lengkuas
8 batang serai, hiris halus
12 biji bawang merah
4 ulas bawang putih

BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkeh
3 biji buah pelaga
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Itik dipotong ikut suka, buang kulit, cuci dan perap dengan jus limau nipis dan sedikit tepung gandum selama 10 minit. Cuci kembali dan toskan. Cucuk daging itik tadi dan lumur dengan halia dan bawang putih tumbuk, gaul rata2 dan perap 1-2 jam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum. Sementara itu satukan bahan kisar halus dan rempah kari, kacau rata2 dan masukkan ke dalam kuali, tumis hingga rempah garing dan terbit minyak. Guna api sederhana dan kacau selalu.
  3. Masukkan itik, daun limau purut dan daun kunyit yang disiat. Gaul rata dan biar hingga daging itik sedikit mengecut. Tuang santan dan kacau rata. Biar mendidih. Sederhanakan api, dan biar merenih hingga pekat. 
  4. Masukkan kerisik dan asam gelugor. Tambah garam, tapi awas jangan banyak2, rasa lemak2 sudah cukup, kalau garam dia terasa, nanti rendang kering akan jadi masin. Kacau rata dan terus memasak hingga sedikit kering, jika daging itik masih keras boleh tambah sedikit air panas dan terus memasak hingga itik lembut.
  5. Tambah gula melaka (anggaran 1 camca besar) dan hirisan halus daun kunyit, kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, roti atau pulut kuning...