Lemak Tempoyak Ikan Keli
Salam semua, masa kemas kini kan folder2 masakan sat tadi, mat terperasan satu masakan yang belum masuk kat blog, walaupun resipi ni dah ada kat blog, lemak tempoyak ikan keli ni exceli typical masakan orang2 Negeri Sembilan...Arwah nenek mat sendiri orang Rembau dan Datuk pulak dari Labu. Satu keunikkan orang2 negeri ni, mereka datang dari "12 jenis suku", yang mat tau arwah nenek dari keturunan suku"Tiga Nenek" (masa 1st time dengar, aku gelak macam nak pingsan!!, tak senonoh kann!!), manakala arwah datuk dari suku "Biduanda Waris" (yang ni kalau ikut keturunan suku, boleh jadi "Undang"..apa itu undang?...boleh baca disini..). Ok, berbalik pada masakan ni, pada mat untuk mendapat masak lemak cili padi yang sedap, bahan utama ikan mesti yang segar, cili padi dan kunyit hidup ditumbuk halus bersama sedikit garam kasar. Kalau tak makan tempoyak, boleh abaikan. Selain penggunaan asam gelugor, asam belimbing dan jus limau kasturi pun boleh digunapakai. Kali ni mat campurkan rebung madu yang ada dalam stok....Ok jom kita lihat resipi yang mudah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 ekor ikan keli sederhana besar (nak sedap guna keli sungai)
8-10 ketul rebung madu (lihat sini cara memotong....)
2 batang serai, dititik
2 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor (kalau nak masam, tambah 1 lagi..)
600 ml santan cair
300 ml pati santan
1 camca besar tempoyak
Garam secukup rasa
1/2 cawan cili padi kampung*
1 inci kunyit hidup*(*ditumbuk halus)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan keli dilumur dengan asam jawa, biar 5 minit, cuci dan siang. Bersihkan dan perap lagi dengan sedikit garam, sedikit tepung dan jus limau nipis selama 10-15 minit, bilas dan toskan. Ketepikan.
  2. Dalam periuk, masukkan cili padi, tempoyak, serai titik dan asam gelugor. Tambah santan cair dan kacau rata. Didihkan dan masukkan rebung. Masak hingga rebung lembut.
  3. Tambah ikan dan tuang santan pekat. Kacau rata dan masukkan garam secukup rasa dan secubit gula. Masak dengan api perlahan sambil dikacau sekali sekala. Akhir sekali masukkan daun kunyit. Masak 1 - 2 minit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat dan ulam2man...
CATATAN MAT GEBU :- Jika tak guna tempoyak, boleh guna jus limau kasturi dan tak payah guna asam gelugor. Nak ganti rebung dengan belahan belimbing buluh pun ok, tapi masukkan last sekali. Kalau nak masukkan petai pun ok. Kiranya masakan ni versatile....lagi satu, kalau dah guna garam kasar semasa menumbuk cili padi dan kunyit tu, penambahan garam perlu dijaga. Garam kasar kalau kita guna untuk menumbuk cili dan kunyit, ianya akan mempercepatkan proses menumbuk jadi lagi halus. Nak bess lagi, hidangkan dalam mangkuk antik...