RESIPI DALCA TULANG - Dapur Tanpa Sempadan...

Wednesday, December 5, 2018

RESIPI DALCA TULANG

rsz_dtmg
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak kongsikan resipi dalca tulang, guna tulang rusuk lembu. Mungkin hidangan dalca, anda dah  biasa masak. Tapi ada juga yang tak biasa dan tak berapa pasti cara nak memasaknya, betul tak. Dalca satu masakan seakan2 kari yang ada campuran daging atau ayam atau ada juga yang gunakan kaki, leher dan kepak ayam kemudian dicampur dengan sayur2an dan kacang dhal. Bukan dalca kalau tak letak kacang dhal. Sayur asas untuk masakan dalca terdiri dari kacang panjang, kentang, lobak merah, tomato dan terung. Tapi ada juga yang masukkan pisang muda dan nangka. Itu terpulang pada selera masing2. Dalca dihidangkan dengan nasi minyak atau sebarang nasi berperisa. Selain tu sedap juga dihidangkan dengan roti canai, lempeng, roti jala atau roti bai/roti paun. Habis tu che mat makan dengan apa? Semalam masa ke Johor Bahru, sempat juga singgah kedai roti Encik Salahuddin di Jalan Dhobby, biasanya roti paun dan roti inti menjadi pilihan che mat. Untuk dalca ni kita orang cecah dengan roti paun, hmmm, sedap wakkk!...Nak cuba masak dalca? Jomm kita semak resipi kat bawah ni

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg tulang rusuk lembu
1 inci halia, hiris*
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 camca teh penuh garam*
Air secukupnya*
3/4 cawan kacang dhal, cuci dan rebus hingga empuk
2 biji kentang, kupas dan potong kiub
1 batang lobak merah, kupas dan potong berbaji
5 tangkai kacang panjang, kerat pendek
1 biji terung ungu bulat, dipotong kiub
2 biji tomato saiz kecil, belah 4 setiap 1
3 camca besar cili kisar
4 camca besar penuh rempah kari daging, Babas
1/2 camca besar gula melaka
1 kotak 200 ml santan Kara*
1/4 cawan air panas*(*disatukan dan kacau rata)
1 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
Air panas, jika perlu
1 camca besar minyak sapi - QBB

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 batang serai, dihiris

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 pelepah daun kari
1 helai daun pandan, disimpul

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tulang rusuk lembu dicuci bersih, kemudian gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan perap 20 minit, cuci kembali hingga bersih. Masukkan ke dalam periuk, tuang air hingga tulang tenggelam dan rebus selama 30 minit. Buang air rebusannya dan masukkan bahan2 bertanda (*) dan tuang air baru. Rebus kembali hingga daging pada tulang lembut. Jika guna periuk tekanan, masa merebus kurang lebih 15 minit. Ketepikan.
  2. Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes rempah. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak sapi dan biarkan minyak sapi cair. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga bawang kekuningan. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak, gunakan api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan air rebusan tulang dan air rebusan kacang dhal. Kacau rata dan biarkan mendidih. Masukkan kentang, lobak merah dan tulang rusuk. Kacau rata dan masak hingga kentang dan lobak empuk. Masukkan kacang dhal, terung, kacang panjang dan asam gelugor. Kalau kurang kuah boleh tambah sedikit air panas. Kacau dan biarkan mendidih.
  4. Tambah kacang panjang dan tuang santan, kacau perlahan dan boleh masukkan gula Melaka. Perasakan dengan garam secukupnya. Akhir sekali masukkan tomato, kacau sentiasa dengan api sederhana hingga dalca mendidih. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Dalca lagi sedap jika dibiarkan beberapa jam sebelum dimakan. Selamat mencuba!

2 comments:

sheayang said...

Sedapnyaaaa... Lapar pula tengok petang-petang gini.

PeRdU cINta said...

Sedapnya makan dengan roti canai atau roti jala.

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.