RESIPI KEK LAPIS LEGIT PELANGI - Dapur Tanpa Sempadan...

Tuesday, June 26, 2018

RESIPI KEK LAPIS LEGIT PELANGI

rsz_klrp1
Assalammualaikum, salam Syawal semua. Rasanya masih belum terlewat che mat ucapkan selamat hari lebaran buat semua pengunjung2 blog tiffinbiru tak kira di mana jua anda berada sama ada di Malaysia atau pun di luar negara. Maaf zahir batin jika ada tersalah kata, tersilap tulis dan sebagainya. Biasalah pakcik pun dah menuju ke usia warga emas, jadi kesilapan ada kala tak dapat dielakkan. Hari ini baru berkesempatan mengemas kini blog. Di awal Syawal memang che mat sibuk, nak kata apa, semua bab masak2 kita yang kena uruskan, itu pun rendang, kuah kacang dan serunding che mat dah bikin awal, tiga hari sebelum raya. Kemudian taruk dalam bekas2 kecil dan simpan dalam freezer. Kita ni kena bijaklah membahagikan kerja agar tak stress dihujung2 Ramadan yea dak. Sebelum raya tu hari, che mat sempat melapis empat jenis kek lapis dan yang mana tak pernah buat barulah kita kongsikan resipinya di blog.

rsz_klrp
Kek lapis legit pelagi (kek lapis rempah) ini sama seperti kek lapis rempah biasa cuma kita beri warna pelangi. Untuk mendapat lapisan yang sama, adunan kek lapis yang telah siap, harus ditimbang, kemudian dibahagikan pada tujuh bahagian sama berat dan setiap bahagian diberi warna mengikut warna pelangi. Setiap warna kita bakar dua lapis. Che mat guna loyang berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci. Seperti biasa kek lapis memerlukan api grill (bahagian atas) untuk pembakaran setiap lapisan, kecuali dilapisan permulaan dan lapisan terakhir, kita bakar guna api atas dan bawah. Suhu biasanya bergantung pada oven masing2. Resipi che mat tuliskan di bawah ini, dan bolehlah cuba jika ada masa atau boleh buat masa raya haji nanti....Selamat mencuba semua !

BAHAN - BAHANNYA :-)
400 gram mentega (Golden Churn, SCS, Anchor atau sebarang mentega 'tulen' pilihan anda)*
120 gram susu pekat manis*(*disatukan dan kacau rata guna sudu atau spatula)
15 kuning telur gred A
150 gram gula kastor
1 camca teh esen vanilla
2 camca besar golden syrup
2 camca besar susu segar
100 gram tepung Hong Kong*
2 camca teh rempah kek lapis*
1/2 camca teh baking powder*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
5 putih telur gred A
40 gram gula kastor
1/4 camca teh cream of tartar
7 pewarna makanan, che mat guna jenis paste (ungu, biru tua, biru muda, hijau, kuning, oren dan merah)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 180C (api atas dan bawah). Lenser tin berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci dengan mentega dan alas dasarnya dengan kertas minyak, lenser juga permukaan kertas tadi dengan mentega, ketepikan.
  2. Dalam mangkuk adunan yang kering dan bersih, putar putih telur hingga berbuih, masukkan cream of tartar dan gula kastor (40 gram) sedikit demi sedikit hingga habis. Terus memutar hingga putih telur kembang dan kejung. Matikan mixer, dan alihkan putih telur tadi ke dalam bekas lain. Ketepikan.
  3. Dalam mangkuk yang sama, masukkan kuning telur dan putar hingga bersatu, masukkan gula kastor (150 gram) dan terus memutar hingga kembang dan gebu. Perlahankan mixer dan masukkan mentega yang telah dibancuh dengan susu pekat manis tadi, masukkan sedikit demi sedikit hingga habis Tambah esen vanilla dan golden syrup, putar rata.
  4. Masukkan tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit hingga habis, tambah susu segar dan putar hingga semua rata dan sebati, guna kelajuan perlahan. Matikan mixer dengan menggunakan spatula, ceduk 1/3 bahagian putih telur dan masukkan ke dalam adunan mentega, gaul dengan kaedah kaup balik hingga sebati, lakukan langkah yang sama untuk baki putih telur tadi. Gaul hingga rata. Ketpikan.
  5. Timbang bancuhan tadi kemudian bahagikan kepada tujuh bahagian sama banyak. Setiap satu diberi warna  ungu, biru tua, biru muda, hijau, kuning, oren dan merah, gaul rata. Tutup permukaan setiap bekas dengan plastik cling. Ok, sekarang kita boleh melapis
  6. Masukkan tin ke dalam oven dan panaskan lima minit. Sementara itu susun adunan kek lapis yang telah diwarnakan mengukut turutan warna pelangi. 1- Ungu, 2- Biru Tua, 3- Biru Muda, 4- Hijau, 5- Kuning, 6- Oren, 7- Merah. Keluarkan tin dari oven, masukkan 1/2 bahagian adunan bewarna ungu (lapisan pertama), ratakan dengan sudu dan bakar hingga keperangan. Keluarkan dari oven dan jika terdapat gelembong udara, cucuk dengan lidi sate bersih. Tekan dengan penekan kek lapis dan tuang baki adunan ungu, ratakan dan masukkan semula ke dalam oven, tukar api ke fungsi grill dan turunkan suhu kepada 170C, bakar hingga masak (kurang lebih 6 - 7 minit), dan lakukan proses melapis seterusnya dengan adunan warna lain pulak, jangan lupa jika terdapat gelembung udara, cucuk dulu dengan lidi sate dan baru ditekan perlahan dengan penekan kek lapis). Pastikan melapis mengikut turutan untuk mendapat hasil warna pelagi yang sempurna. Pastikan setiap adunan kita kacau dahulu sebelum melapis.
  7. Untuk lapisan terakhir, tukar semula api oven kepada api atas dan bawah. Bakar untuk 17 - 20 minit lagi hingga kek betul2 masak dan permukaan kek kering. Keluarkan kek lapis dari oven, biarkan sekejap dalam 5 minit, dan boleh keluarkan dari tin. Sejukkan kek sepenuhnya atas jaringan sebelum dipotong kepada 4 bahagian sama besar, balut kemas dengan plastik cling dan taruk dalam bekas kedap udara. Simpan dalam peti sejuk agar kek tahan lama. Boleh juga dibekukan dalam freezer jika nak jangka hayat kek lebih lama...Amacam, berani mencuba tak?...

No comments:

Peringatan

AMARAN KERAS!!!!

DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK. HAKCIPTA TERPELIHARA.