BEN ASHAARI

Friday, December 8, 2017

RESIPI KUIH BINGKA DURIAN

rsz_kbd
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat nak berkongsi dengan anda semua resipi kuih bingka durian yang sedap, lemak, wangi dan mudah dibuat. Kan sekarang ni musim durian, jadi bila dah musim durian, maka keluarlah segala resipi berasaskan durian, termasuk seri muka durian, kek durian, cis kek durian, kek durian dan macam2 lagi lah. Kalau durian banyak, boleh kita bekukan dalam freezer. esok2 bila teringin nak makan bubur kacang durian, dah ada stok. Satu che mat nak kongsikan, bila kita bikin kuih atau kek yang ada durian, kesedapan bergantung pada mutu atau jenis durian. Kalau guna durian biasa2, mungkin rasa dia pun biasa2 juga. Kalau guna isi durian jenis berkualiti, sudah tentu rasa dan keharuman dia berbeza. Pada che mat tak tak kesah apa jenis durian pun, semua ok. Kalau isi durian kita tu macam keras sikit, pun boleh dijadikan bingka, kau kisar kasi halus. Cuma kalau isi durian yang bagus, lembut, kuih bingka akan jadi sedap dan masa makan tu terasa isi durian dia. Resipi asal bingka durian ini dari blog Kak Yatie Memories....Terima kasih kak Yatie....Tapi che mat buat setengah bahagian saja dari resipi asal. Kat bawah ni resipi yang che mat gunakan....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji telur gred A
1/2 cawan santan pekat (boleh guna santan kotak - 125 ml)
1 cawan tepung gandum
1 camca besar mentega, cair dan sejukkan
1 cawan penuh isi durian, dilecek
1/4 cawan + 3 camca besar penuh gula pasir
2 cawan air
1/4 camca teh garam
Sedikit pewarna makanan kuning
Bijan secukupnya untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 190C, lenser tin berukuran 6 inci x 6 inci x 3 inci dengan mentega. Alas dengan aluminium foil, lebihkan pada bahagian kanan dan kiri tin, tujuan untuk memudahkan kita angkat keluar kuih bingka bila masak nanti. Sapu juga mentega pada permukaan aluminiun foil tadi. Masukkan tin ke dalam oven dan biarkan tin panas.
  2. Dalam satu mangkuk besar, satukan semua bahan2 diatas kecuali isi durian, pewarna makanan kuning dan bijan. Kacau semua hingga rata dan sebati. Tapiskan bancuhan ke dalam mangkuk bersih. Masukkan isi durian dan pewarna makanan kuning. Kacau hingga rata.
  3. Berhati2 keluarkan tin dari oven, kemudian tuang bancuhan tadi. Tabur bijan rata2 atasnya sebagai hiasan. Bakar selama 50 minit hingga 1 jam. Untuk mendapat permukaan kuih yang perang, tukar fungsi api oven pada grill dan sambung membakar selama 5 - 7 minit. Uji kuih dengan mencucuk bahagian tengah kuih dengan lidi sate bersih, jika keluarnya bersih, tanda kuih telah masak.
  4. Keluarkan kuih dari oven. Biarkan 15 minit, dan boleh keluarkan kuih bingka durian dari tinnya. Sejukkan sepenuhnya sebelum dipotong. Boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi. Selamat mencuba!!

No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.