BEN ASHAARI

Saturday, October 28, 2017

RESIPI ASAM PEDAS AYAM BELIMBING BULUH

image-2017-10-28
Assalammualaikum, salam semua. Lama juga tak masukkan entri dalam blog, maklumlah masak pun biasa2 saja dan kebanyakkannya che mat pernah kongsikan resipinya. Hari ni memang plan nak masak asam pedas ayam, tapi tak nak masak asam pedas yang pekat sangat, nak kuah dia sederhana, tak cair. Mula2 ingat nak masukkan kentang tapi teringat ada stok belimbing buluh, ok kita masukkan belimbing buluh. Ayam che mat guna ayam kampung, jadi saiznya tidaklah besar mana, dah nama pun ayam kampung, kalau ayam kampung kawin saiznya mungkin lebih besar sikit. Bila masak asam pedas, tak kiralah asam pedas ikan, ayam atau daging, kuah dia paling che mat suka. Selain sedap dimakan sama nasi panas, kuah asam pedas juga enak jika dicecah sama lempeng pekak, roti canai atau roti biasa. Kali ni che mat hanya masukkan bunga kantan dan daun limau purut, kita skip daun kesom, Tapi bagi yang gemar aroma daun kesom, boleh gantikan daun limau purut dengan daun kesom. Resipi mudah dibuat dan jika nak mencuba, boleh rujuk di bawah ini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung (che mat guna ayam kampung yang usia dalam 6 bulan )
10 - 12 biji belimbing buluh
1 cawan cili kisar
2 batang serai, diketuk
2 kuntum bunga kantan, dibelah 2 setiap 1
3 helai daun limau purut, dikoyak (atau segenggam daun kesom)
1 kiub pati ayam Maggi (optional)
1/3 cawan jus asam jawa
1 camca teh lada hitam, tumbuk hancur
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam kampung dipotong ikut suka, cuci dan toskan. Gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan jus dari sebiji limau nipis, gaul rata dan perap 10 minit. Kemudian cuci bersih dan toskan. Belimbing dibuang sedikit bahagian pangkal dan hujungnya. Belah dua tapi tak putus setiap satu, ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis serai titik dan bahan2 tumbuk halus (boleh juga dikisar halus). Kemudian tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Gunakan api sederhana dan kacau sentiasa (tambah sedikit lagi minyak masak jika perlu).
  3. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya hingga ayam tenggelam. Masukkan kiub pati ayam Maggi (jika guna) dan lada hitam tumbuk. Kacau rata dan masak hingga ayam empuk (tambah air panas jika kuah kering tapi ayam masih belum empuk).
  4. Masukkan bunga kantan, daun limau purut dan jus asam jawa, kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan belimbing buluh, kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan asam pedas ayam dengan nasi panas dan lauk2 lain. Selamat mencuba!!

No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.