BEN ASHAARI

Thursday, July 27, 2017

RESIPI KAMBING MASAK MERAH

rsz_kmmm
Assalammualaikum, salam semua. Lepas2 raya ni nak masak pun tak rajin sangat, errr..bukan malas yea, tapi kurang rajin. Hari ni nak kongsikan satu resipi yang sesuai dimakan bersama semua jenis nasi atau boleh juga dicicah dengan roti, lempeng dan juga prata/roti canai. Dah beberapa kali che mat masak sebenarnya masa raya tu hari, tapi tak sempat nak masukkan dalam blog. Bagi yang tak makan kambing, boleh gantikan dengan daging lembu. Tak lama lagi kan raya korban, mesti ada yang dapat daging korban, boleh lah cuba masak menu macam ini. Resipi tak susah sangat cuma bahan2 dia agak banyak juga lah. Che mat bikin dalam 1+ kg, daging kambing semata2. Kalau guna daging kambing yang siap bertulang, boleh guna dalam 1.5 kg -2 kg macam tu atau pun ikut lah banyak mana nak masak, samada kurang atau lebih. Nak mencuba?...resipi seperti di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1+ KG daging kambing tanpa tulang, dipotong kiub besar2*
1 camca besar tepung gandum*
1 biji limau nipis, perah jusnya*(*disatukan, gaul rata dan perap 25 minit)
1 batang serai, diketuk#
3 helai daun limau purut#
1 inci halia, hiris nipis#
5 ulas bawang putih, diketuk (tak perlu dikupas)#
Air secukupnya#

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
12 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit, toskan
8 ulas bawang putih
10 biji bawang merah kecil
2 inci halia

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
7 kuntum bunga cengkih
1 biji bawang besar, hiris halus
3 batang serai, diketuk

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
1 camca besar penuh minyak sapi
1 cawan air rebusan daging kambing
150 ml susu cair
150 gram tomato puree
3 camca besar penuh cili sos
2 camca besar penuh tomato sos
3 biji limau kasturi, perah jusnya
1 camca besar penuh gula melaka
1 genggam kismis
2 biji tomato merah, didadu kecil
Garam dan gula secukup rasa (gula tu jika perlu)
1 genggam daun pudina
1 pokok daun ketumbar, hiris kasar
Gajus goreng, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci daging kambing yang telah diperap, hingga bersih. Toskan dan masukkan ke dalam periuk bersama2 bahan yang tanda (#). Rebus hingga daging kambing empuk, tambah air panas jika air rebusan kering tapi daging masih keras. Asingkan daging kambing yang telah empuk berserta 1 cawan air rebusannya. Ketepikan. (jika guna periuk tekanan @ pressure cooker, rebus 15 minit),
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/4 cawan). Masukkan minyak sapi dan biarkan cair. Masukkan bahan2 tumis dan masak hingga harum dan bawang layu. Masukkan bahan2 kisar halus, kacau rata dan masak hingga naik minyak. 
  3. Tambah tomato puree, sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap. Masukkan daging kambing rebus dan gaul rata. Tuang air rebusan dan masukkan susu cair. Kacau dan biarkan mendidih.
  4. Tambah tomato yang didadu, kismis, gula melaka dan jus limau kasturi, kacau dan masak dengan api kecil hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan jika suka lebih manis, tambah sedikit gula pasir. Akhir sekali masukkan daun pudina dan daun ketumbar, kacau rata dan biarkan sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. tabur gajus goreng sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!

No comments:

Disclaimer

Dunia masakan memang unik. Dari bahan-bahan asas boleh bertukar kepada ribuan jenis masakan yang berbeza rupa, gaya dan rasa.. Itulah keajaibannya... Tiada sempadan untuk berkongsi ilmu mengenainya....

AMARAN KERAS!!!!
DILARANG MELAKUKAN PENGAMBILAN SEBARANG MATERIAL TERUTAMA "GAMBAR" DARI BLOG INI TANPA IZIN DARI PEMILIK... HAKCIPTA TERPELIHARA.